Skip to main content

Pelajar UMP mulai pulang ke kampung balik mengundi

PAYA BESAR, 16 November 2022 - Kemeriahan bahang pilihan raya mulai dirasai apabila sebahagian pelajar mulai pulang ke kampung untuk menunaikan tanggungjawab kepada negara dan sebahagian besar merupakan pengundi baharu yang buat pertama kalinya bakal mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagi kemudahan pelajar pulang ke kampung sebanyak 20 buah bas disediakan oleh Universiti Malaysia Pahang (UMP) di bawah penyelarasan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) dengan kerjasama Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH) dan Sekretariat Anak Negeri bagi membolehkan seramai hampir 1,500 pelajar pulang mengundi pada 19 November 2022 (Sabtu) ini. 

Lapan Sekretariat Anak Negeri terlibat dalam inisiatif ini termasuk Sektetariat Majlis Mahasiswa Anak-anak Pahang (SeMAMPAN), Sekretariat Ikatan Siswa Anak Darul Ta’zim (Iskandar), Sekretariat Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA), Sekretariat Mahasiswa Perak (SILVER), Sekretariat Siswa Aman Makmur (ANSAR), Sekretariat Himpunan Siswazah Anak-anak Kelantan (SEHIMSAK), Sekretariat Mahasiswa Negeri Sembilan (Semanes) dan Persatuan Mahasiswa Selangor (PERMAS).

Pelajar UMP mulai pulang ke kampung balik mengundi

Selain itu juga terdapat inisiatif pelajar secara berkumpulan melalui sewaan bas persendirian. 

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), pelajar UMP diberi pelepasan kuliah dan aktiviti akademik untuk pulang mengundi dalam PRU15 bermula dari 17 hingga 21 November 2022 lanjutan pengumuman pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) baru-baru ini. 

“Seramai hampir 1,500 pelajar bakal menggunakan bas dengan pergerakan fasa pertama penghantaran pada jam 9.30 malam tadi yang melibatkan enam buah bas menuju ke destinasi Ipoh, Taiping, Pulau Pinang, Kedah,  Perlis dan Terengganu, manakala 14 bas lagi akan bergerak sepanjang hari ini,”  katanya.

“Berdasarkan data, seramai 1.14 juta orang yang tergolong pengundi berusia 18 hingga 21 tahun akan mengundi pada PRU15 kali ini  termasuklah mereka yang  menuntut di universiti. 

“Golongan berusia 18 tahun dan ke atas sebenarnya boleh dianggap matang. 

“Mereka sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi,” kata Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim. 

Sementara itu, sebagai mewakili Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Interim, Ahmad Fahmi Fazli mengucapkan terima kasih dan menghargai inisiatif terbaik dari pihak pengurusan UMP yang memberi pendedahan kepada pelajar menimba pengalaman dalam mengurus dan menyusun atur pergerakan pelajar serta pada masa sama membantu meringankan beban pelajar sendiri. 

“Initiatif ini selari dengan seruan MPP sesi ini iaitu #KebersamaanMahasiswa iaitu seruan yang menggalakkan pelajar bersama pelajar demi memperjuangkan kebajikan pelajar itu sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pelajar untuk menggunakan peluang sebaiknya untuk terlibat sama dalam pembentukan ke arah negara yang lebih baik memandangkan pelajar kini cukup matang dan tahu apa yang mereka inginkan untuk negara. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit