Skip to main content

Pelajar UMPSA cetus inspirasi kepimpinan teknologi dan laluan kejayaan TVET di Kolej Vokasional Kuantan

KUANTAN, 11 Jun 2016 – Seramai 130 orang pelajar Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dari Kolej Vokasional Kuantan berpeluang menimba ilmu dan mendapatkan pendedahan mengenai laluan pendidikan tinggi menerusi Program Service Learning Malaysia University for Society (SULAM) bertemakan ‘Program Kepimpinan Pelajar Diploma Vokasional Malaysia (DVM); Dari Diploma Ke Degree, Dari Kemahiran Ke Profesional’ yang dikendalikan oleh pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Program yang berlangsung di Kolej Vokasional Kuantan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif SULAM melalui kursus Foundation in TVET (UHE 3262) yang dibimbing oleh Dr. Rohana Hamzah. 

Program ini bertujuan melatih 32 pelajar UMPSA untuk menyampaikan ilmu pengetahuan kursus dan berkongsi pengalaman mereka kepada pelajar DVM bagi meningkatkan kesedaran mereka terhadap kepentingan pengajian tinggi bagi melatih dan membangunkan potensi pemikiran aras tinggi, inovatif dan kreatif. 

Menurut Dr. Rohana Hamzah, program ini dirangka selari dengan keperluan untuk merealisasikan hasrat untuk menjadikan  Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi dan negara dengan menyediakan tenaga berkemahiran tinggi bagi memimpin pembangunan teknologi negara.

“Namun, pendidikan TVET hari ini berhadapan dengan cabaran apabila ramai pelajar DVM melihat latihan yang mereka ikuti sebagai berorientasikan dunia pekerjaan bukan melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. 
“Fakta menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan DVM adalah 96.5 peratus (Nabil Aiman Nor Azwan (2024,

November 26),  https://majoriti.com.my/berita/2024/11/26/lebih-95-pelajar-tvet-lebih-m… berbanding-lulusan-ipt---tpm.). 

“Realiti di sebalik kenyataan ini menunjukkan ramai pelajar DVM memilih untuk berkerja  berbanding menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi terutamanya di Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN), di antaranya UMPSA yang sehingga ke hari ini memegang rekod sebagai MTUN terbaik di Malaysia dan menyediakan pelbagai program khas untuk pelajar aliran pendidikan TVET,” ujarnya. 

Oleh itu katanya, terdapat satu keperluan untuk mereorientasikan kembali pemikiran pelajar DVM daripada berorientasikan belajar untuk bekerja kepada belajar untuk memimpin teknologi. 

“Maka, program ini turut dirangka untuk memberi pendedahan mengenai laluan pendidikan daripada peringkat diploma ke ijazah sarjana muda, sekali gus membuka minda pelajar DVM untuk merancang masa depan akademik dan profesional mereka,” jelasnya. 

Menurut pengarah program, Muhammad Syafie Notzir, yang kini sedang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Mekatronik, program ini juga dirangka bagi membantu pelajar memahami kelebihan laluan pendidikan TVET adalah satu kelebihan kerana mereka telah menguasai kemahiran teknikal sebelum menyambung pengajian diperingakat Ijazah Sarjana Muda. 

“Apabila menyambung pengajian, potensi mereka sebagai pemimpin inovasi dalam bidang Teknikal dan Kejuruteraan akan terus digilap bagi melahirkan tenaga profesional yang kompeten dan berdaya saing dalam industri,” katanya. 

Pelajar UMPSA cetus inspirasi kepimpinan teknologi dan laluan kejayaan TVET di Kolej Vokasional Kuantan

 
Pengarah program, Muhammad Syafie Notzir sedang menyampaikan ucapan

Antara pengisian utama program ialah sesi perkongsian bertajuk ‘Cabaran Graduan TVET Abad Ke-21’ yang membincangkan keperluan graduan untuk menguasai kemahiran teknikal dan kemahiran insaniah dalam menghadapi dunia pekerjaan yang semakin mencabar. 

Peserta turut didedahkan kepada perubahan teknologi, Revolusi Industri 4.0 dan kepentingan pembelajaran sepanjang hayat.

Sesi kedua pula yang bertemakan ‘Diploma kepada Degree: Membina Kerjaya Profesional Melalui TVET di UMPSA’ memberi fokus kepada peluang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda, khususnya melalui ekosistem pendidikan teknikal yang ditawarkan oleh UMPSA. 

Pelajar diberikan penerangan mengenai program-program akademik, kemudahan makmal, rekreasi dan prospek kerjaya yang boleh diceburi selepas tamat pengajian.

Selain itu, sesi ‘Kepimpinan TVET, High Skills, High Income dan High Values’ turut mengetengahkan kepentingan pembangunan sahsiah, kepimpinan dan nilai profesional dalam membentuk graduan yang holistik. 

Peserta didedahkan melalui perkongsian pengalaman oleh para fasilitator tentang konsep akademik di UMPSA yang bertujuan membangunkan potensi pelajar yang seimbangan antara kecemerlangan akademik, kemahiran teknikal dan kemahiran insaniah sebagai asas kejayaan dalam menghadapi cabaran kerjaya di masa hadapan.

Pelajar UMPSA cetus inspirasi kepimpinan teknologi dan laluan kejayaan TVET di Kolej Vokasional Kuantan

 
Perkongsian daripada salah sorang fasilitator program

Bagi memperkukuh pemahaman peserta, aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) bertajuk ‘Peta Laluan Kerjaya Kepimpinan TVET Profesional’ turut diadakan. 

Aktiviti ini memberi peluang kepada pelajar merancang matlamat pendidikan dan kerjaya mereka secara lebih strategik melalui perbincangan serta perkongsian idea bersama fasilitator.

Program ini sejajar dengan usaha kerajaan dalam memperkasakan TVET sebagai pemacu pembangunan modal insan negara. 

Melalui pendekatan perkongsian ilmu antara pelajar universiti dan institusi TVET, peserta bukan sahaja memperoleh maklumat berkaitan peluang pendidikan tinggi, tetapi turut terinspirasi oleh perkongsian pengalaman sebenar oleh pelajar UMPSA

Majlis diakhiri dengan sesi penyampaian sijil penghargaan dan fotografi sebagai simbolik kejayaan program serta komitmen bersama dalam melahirkan generasi TVET yang berkemahiran tinggi, berdaya saing dan bersedia menyumbang kepada pembangunan negara.

Disediakan Oleh: Mohd Irfan Mohamed Azlan dan Dr. Rohana Hamzah, Pusat Sains Kemanusiaan
 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri