Skip to main content

Pelajar UMPSA perkukuh peranan sukarelawan melalui bengkel kebangsaan di UPNM

KUALA LUMPUR, 12 April 2026 – Komitmen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dalam melahirkan pelajar berjiwa komuniti terus diperkukuh apabila wakil universiti ini menyertai Bengkel Memperkasa Sukarelawan Universiti Awam Malaysia 2026 yang berlangsung pada 10 hingga 12 April 2026 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan sekitar Cheras, Selangor.

Program anjuran UPNM dengan kerjasama Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (MASKUM) ini menghimpunkan seramai 57 peserta daripada pelbagai universiti awam seluruh negara bagi memperkasa kompetensi sukarelawan pelajar melalui pendekatan latihan, perkongsian pakar dan aktiviti lapangan. 

UMPSA telah diwakili oleh Eksekutif Kesukarelawanan dan Kelestarian, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMPSA, Nur Afiqah Akbar dan Timbalan Presiden Sekretariat Kesukarelawanan Mahasiswa (SKM) UMPSA, Muhamad Raziq Syahmi Rizal, yang turut memainkan peranan aktif sepanjang program berlangsung. 

Menurut Nur Afiqah, sepanjang tiga hari program, peserta didedahkan dengan pelbagai pengisian berimpak tinggi termasuk forum berkaitan peranan sukarelawan dalam misi kemanusiaan dan pengurusan bencana, selain perkongsian pengalaman sebenar pengurusan organisasi sukarelawan pada peringkat universiti. 

“Kemuncak program menyaksikan pelaksanaan aktiviti khidmat komuniti di Sekolah Kebangsaan Cheras Jaya yang melibatkan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI). 

“Peserta bergotong-royong menceriakan sekolah melalui aktiviti mural, penyusunan bilik darjah dan pembangunan mini kebun, sekali gus menyokong pembelajaran inklusif. 

Tambah Muhamad Raziq Syahmi, program diteruskan di Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah dengan pelaksanaan modul pembangunan diri melibatkan aktiviti sukaneka, pengurusan kebersihan diri, pendidikan kitar semula serta pembinaan sahsiah dan nilai kerohanian dalam kalangan penghuni. 

“Penglibatan mereka ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan dalam kalangan pelajar UMPSA, malah membuka ruang jaringan strategik bersama pemimpin sukarelawan universiti lain di bawah platform MASKUM. 

“Lebih penting, penyertaan ini selari dengan aspirasi UMPSA dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga berfungsi sebagai ejen perubahan sosial yang berimpak tinggi kepada komuniti,” katanya. 

Melangkah ke hadapan, pengalaman dan amalan terbaik yang diperoleh daripada bengkel ini akan diterjemahkan ke dalam pengukuhan ekosistem kesukarelawanan di UMPSA, khususnya melalui pendekatan lebih sistematik, berimpak dan mampan.

Disediakan Oleh: Mohd Raizalhilmy Mohd Rais, Akademi Adab, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri