Pelajar UMPSA raih tempat pertama dalam Cabaran Penceritaan AI FUTURESCAPES Peringkat Kebangsaan
PULAU PINANG, 13 Disember 2025 — Seramai tiga orang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sekali lagi mengharumkan nama universiti apabila berjaya meraih tempat pertama dalam pertandingan FUTURESCAPES: The AI Time Capsule Storytelling Challenge bersempena dengan Majlis Penutupan Higher Education English Language Carnival 2025 (HE ELCA 2025) yang berlangsung di Dewan Tunku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM).
Pasukan UMPSA terdiri daripada Nur Iffah Mohd Shokran dan Umaimah Azhar dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) dan Thavatchai Dengpradit a/l Edaf dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (FTKPM).
Pertandingan peringkat kebangsaan itu melibatkan penyertaan universiti awam (UA) dari seluruh Malaysia, yang masing-masing menghantar video penceritaan futuristik berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Penyertaan UMPSA berjaya menonjol dan memikat perhatian juri melalui kekuatan naratif, kreativiti penyampaian serta keupayaan mengintegrasikan isu teknologi dan kelestarian alam sekitar secara bermakna.
Pertandingan itu bertujuan untuk memperkasa kemahiran penulisan kreatif, menggalakkan pemikiran kritis, serta mencabar pelajar membayangkan masa depan yang realistik dan optimistik dengan sokongan AI dalam menangani cabaran ekologi dunia sebenar.
Karya yang dipersembahkan berjaya menangkap intipati tema FUTURESCAPES dengan menggabungkan penceritaan imaginatif dan refleksi mendalam tentang peranan AI dalam menyokong kelestarian alam sekitar serta tanggungjawab manusia terhadap masa depan planet ini.
Menurut Jurulatih Pertandingan, Dr. Wan Jumani Fauzi, kejayaan ini merupakan hasil komitmen tinggi pelajar yang berani berfikir di luar kebiasaan.
“Pasukan ini bukan sahaja menghasilkan cerita yang kreatif, malah mampu menghubungkan teknologi AI dengan isu kelestarian secara kritis dan beretika.
“Ini mencerminkan kematangan pemikiran pelajar UMPSA dalam mendepani cabaran masa depan,” ujarnya.
Sementara itu, menurut Pengurus Pasukan, Farah Liyana Ahmad A’azmey, kemenangan ini sebagai pencapaian kolektif hasil kerjasama berpasukan yang kukuh.
“Daripada peringkat perancangan, latihan sehinggalah penyertaan akhir, pelajar menunjukkan disiplin dan semangat kerja berpasukan yang tinggi.
“Kejayaan ini adalah milik seluruh warga UMPSA,” katanya.
Kejayaan ini juga selari dengan pengiktirafan UMPSA sebagai universiti pertama di Malaysia yang menerima ‘Eco Campus Green Flag’, sekali gus mengukuhkan komitmen universiti dalam mendukung agenda kelestarian alam sekitar dan pembangunan mampan.
Video pemenang ini secara langsung mencerminkan aspirasi UMPSA dalam mempromosikan kesedaran alam sekitar melalui pendekatan inovatif, kreatif dan berteraskan teknologi.
Futurescapes: The AI Time Capsule Storytelling Challenge direka untuk mencetuskan kreativiti, kerja berpasukan dan pemikiran futuristik dalam kalangan pelajar, di samping memberi pengalaman praktikal dalam menggunakan AI sebagai topik dan alat penceritaan.
Kemenangan ini membuktikan keupayaan pelajar UMPSA untuk bersaing di peringkat kebangsaan serta menyumbang idea bernilai dalam perbincangan masa depan teknologi dan kelestarian global.
Video pemenang boleh ditonton di pautan: https://youtu.be/PcFCWwePfkU
Disediakan Oleh: Noraisah Nurul Fatwa Mohd Razali dan Farah Liyana Ahmad A’azmey, Pusat Bahasa Moden (PBM)
- 52 views
Reports by: