Pemilihan MPP UMPSA Sesi 2023/2024 berjalan lancar
GAMBANG, 21 Disember 2023 - Suasana penuh semangat demokrasi melanda kampus Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ketika para mahasiswa aktif turut serta dalam proses Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) Sesi 2023/2024.
Sesi pengundian yang berlangsung di Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang dan Dewan Serbaguna UMPSA, Pekan itu bermula pada pukul 9 pagi hingga 5 petang telah mencapai kejayaan besar dengan penyertaan pelajar yang aktif.
Seramai 53 calon telah dipertandingkan dalam pertandingan ini, tetapi hanya 51 calon yang layak ke peringkat seterusnya.
Pertandingan ini melibatkan empat parti iaitu Revolusi Siswa Siswi, Demokrat Siswa, Aspirasi Siswa, dan Bebas, yang bertanding bagi kerusi umum dan fakulti.
Proses pemilihan ini turut dimeriahkan dengan tujuh sesi Sembang Siswa Madani di Kompleks Sukan Universiti UMPSA Kampus Gambang.
Sesi tersebut membincangkan mengenai analisis Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) 2023/2024 dari pelbagai sudut pandang termasuklah komuniti residen pelajar, ahli akademik, mantan MPP, dan mahasiswa.
Turut hadir dalam sesi terakhir Sembang Siswa Madani ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Ruslim Mohamed.
Beliau turut menyaksikan proses demokrasi pelajar dan memberikan ucapan sokongan kepada semua calon yang turut serta dalam pemilihan ini.
“Pihak pengurusan universiti mengharapkan agar MPP yang terpilih dapat mewakili suara pelajar dengan cemerlang dan membawa inisiatif yang positif bagi kemajuan serta keharmonian universiti,” ujarnya.
Menurut Pengarah Pemilihan MPP 2023/2024, Nur Amira Badri, inisiatif menarik telah diperkenalkan untuk meningkatkan kehadiran pelajar dalam pengundian PMPP kali ini.
“Antara inisiatif tersebut termasuk Karnival Jom Undi yang bertemakan Klasik Sarong Tradisional.
“Mahasiswa dapat hadir mengundi dengan mengenakan pakaian sarong atau tradisional.
“Selain itu, terdapat juga insentif tambahan untuk kelab persatuan yang memastikan ahli-ahlinya datang turun mengundi dengan peratusan sebanyak 80 peratus ke atas,” ujarnya.
Selain itu juga, diskaun makanan dan minuman juga diberikan kepada mahasiswa yang turun mengundi dengan menunjukkan bukti jari berdakwat semasa pembelian di kafe.
‘Pengundian kali ini dilaksanakan secara hibrid, mengambil kira isu COVID-19 yang kian meningkat dari hari ke hari.
“Namun, hal ini tidak menghalang semangat dan antusiasme pelajar dalam menyertai proses demokrasi.
Hasil undian menunjukkan bahawa seramai (53.97 peratus) 6,697 pelajar telah turun mengundi, sementara 4 peratus undi adalah rosak.
Keputusan telah diumumkan selepas dua jam sesi pengundian dan bantahan dilkasanakan.
Tahniah diucapkan kepada Farah Hanan Tajudin yang mendapat undian tertinggi (4,478 undi), diikuti oleh Syakirah Atifah Syafri (4,448 undi) dan Mohamad Khairul Anwar Abdul Aziz (42,86 undi) bagi pencalonan umum.
Hadir sama dalam acara pengumuman keputusan adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli, dan Pengurus Besar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Haryani Abdullah.
Turut hadir memberikan ucapan ialah Ketua Penolong Pengarah Seksyen Kepimpinan dan Sahsiah Kementerian Pendidikan Tinggi, Asyraf Radzwan.
Semoga Majlis Perwakilan Pelajar terpilih dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan cemerlang, membawa perubahan positif kepada kehidupan mahasiswa, dan menjadi perwakilan yang berkesan di peringkat universiti dan masyarakat.
Disediakan oleh: Nur Hazuani Nasaruddin, Protégé Pusat Komunikasi Korporat
- 100 views