Skip to main content

Pemimpin masa depan perlu ada impian besar, keberanian dan ilmu – Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul

KUALA LUMPUR, 12 Oktober 2026 - Golongan muda perlu mempunyai impian besar, keberanian dan ilmu pengetahuan untuk menjadi pemimpin masa hadapan yang berwibawa serta berupaya memperkukuh demokrasi dan membentuk masa depan negara.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul berkata, kepimpinan bukan sekadar berkaitan jawatan atau kuasa, sebaliknya bermula dengan keupayaan seseorang menetapkan hala tuju, membina keyakinan diri dan berani melakukan perubahan.

“Untuk menjadi seorang pemimpin, perkara pertama yang perlu ada dalam diri ialah impian yang besar. 

"Anda tidak boleh menjadi pemimpin jika tidak mempunyai impian,” ujarnya ketika menyampaikan ceramah khas bertajuk ‘Future Leader, Stronger Democracy, Empowering Youth to Shape the Nation sempena International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) 2026’ di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir serta Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias.

Menurut Tan Sri Dato’ Dr. Johari lagi, pemimpin perlu membayangkan jenis negara dan masyarakat yang ingin dibentuk, termasuk sebuah negara yang aman, harmoni, maju serta menghormati hak dan keselamatan setiap warganya.

Pemimpin masa depan perlu ada impian besar, keberanian dan ilmu – Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul

 

“Anda perlu bertanya kepada diri sendiri, jika saya berada dalam kedudukan kepimpinan dan mempunyai kuasa, 

'Apakah yang akan saya lakukan? 

“Negara dan masyarakat bagaimana yang ingin saya bentuk?,” katanya. 

Tambah beliau lagi, impian yang besar perlu disertai keberanian untuk bertindak, membuat keputusan dan berpegang pada prinsip yang betul, termasuk kesediaan mengakui kesilapan serta memperbaiki kelemahan diri.

“Keberanian ialah keupayaan untuk mengakui bahawa kita melakukan kesilapan dan keberanian juga bermaksud kita perlu memperbaiki diri sendiri,” katanya.

“Pemimpin juga perlu melakukan penilaian kendiri, menerima kritikan dan menjadi pendengar yang baik kerana kepimpinan menuntut keupayaan memahami pandangan serta keperluan orang lain.

“Tiada sesiapa boleh menjadi pemimpin sehingga dia menjadi seorang pendengar yang baik,” ujarnya.

Beliau turut menekankan kepentingan ilmu pengetahuan sebagai asas kepada kepimpinan yang berkesan, khususnya dalam memahami perbezaan pemikiran, latar belakang dan kepentingan masyarakat.

"Pemimpin tidak boleh membuat keputusan berdasarkan pandangan sendiri semata-mata, sebaliknya perlu mendapatkan maklumat yang mencukupi sebelum menentukan strategi dan mengambil tindakan.

Pemimpin masa depan perlu ada impian besar, keberanian dan ilmu – Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul

“Jika anda tidak mempunyai ilmu pengetahuan, anda tidak akan mampu bergerak ke hadapan. 

"Dalam kepimpinan, ilmu pengetahuan sangat penting kerana anda perlu memahami orang lain sebelum bercakap dan bertindak,” katanya. 

Mengulas mengenai demokrasi yang lebih kukuh, beliau berkata, sistem demokrasi tidak seharusnya dilihat sebagai medan untuk satu pihak menang sepenuhnya manakala pihak lain mengalami kekalahan, sebaliknya sebagai ruang untuk mencapai persefahaman melalui perundingan dan sikap saling menghormati.

“Demokrasi bukan tentang menang semuanya atau kalah semuanya. 

"Demokrasi ialah tentang memahami dan membuat penyesuaian. 

"Demokrasi juga bermaksud memberi dan menerima,” katanya.

Beliau turut menambah, perbezaan pandangan merupakan sebahagian daripada kehidupan bermasyarakat dan perlu diuruskan melalui perbincangan, kesabaran serta kesediaan mencari titik persamaan.

"Pemimpin yang berkualiti perlu mempunyai kerendahan hati untuk mendengar pandangan berbeza dan menghormati persetujuan yang dicapai bersama.

"Golongan muda perlu diberikan ruang, peluang dan tanggungjawab untuk terlibat secara langsung dalam proses demokrasi serta pembangunan negara," jelasnya. 

Beliau mengetengahkan inisiatif Sekolah Parlimen yang memberi pendedahan kepada pelajar mengenai fungsi Parlimen dan proses perbahasan, selain Parlimen Belia yang membuka peluang kepada golongan berusia 18 hingga 30 tahun untuk menyertai perbahasan dan menyuarakan pandangan mereka.

“Parlimen bukanlah tempat untuk golongan tertentu sahaja. 

“Parlimen ialah rumah demokrasi. 

"Sesiapa yang mempunyai idea dan ingin menyuarakan pandangan perlu diberikan ruang untuk berbuat demikian,” tambahnya. 

Beliau turut mengingatkan mahasiswa supaya tidak menjadikan kelayakan akademik sebagai satu-satunya ukuran kejayaan selepas menamatkan pengajian, sebaliknya menggunakan ilmu dan pengalaman yang diperoleh untuk mencipta peluang serta memberi manfaat kepada masyarakat.

“Bukan sekeping sijil yang menentukan kehidupan anda. 

“Ilmu yang diperoleh daripada universiti itulah yang akan menentukan kehidupan anda,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa masa depan negara dan demokrasi bergantung pada kesediaan generasi muda untuk mengambil tanggungjawab serta membentuk kepimpinan yang berpengetahuan, berani dan berwawasan.

“Semalam ialah masa saya, tetapi esok ialah masa anda. 

“Masa depan ini milik anda dan saya mahu mendengar apa yang anda inginkan,” katanya.

Penganjuran iFUTURE 2026 menghimpunkan mahasiswa dan pemimpin muda dari dalam serta luar negara sebagai platform perkongsian idea, pembinaan jaringan dan perbincangan mengenai kepimpinan generasi masa hadapan.

Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

Foto: Khairul Aidilnishah Rizan Jalil, Pusat Komunikasi Korporat dan Zaffaruddin Hamzah, Pejabat Naib Canselor
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim