Pentas sulung Abryxa Band, 5 pelajar UMPSA gegar Busking Challenge MAKUM 2026
BATU PAHAT, 13 Jun 2026 - Pertandingan Busking Challenge MAKUM 2026 peringkat kebangsaan yang berlangsung selama tiga hari telah melabuhkan tirainya selepas menyaksikan persaingan sengit dalam kalangan pelajar universiti awam (UA) dari seluruh negara yang diadakan sejak 12 Jun hingga 14 Jun lalu di Dataran Astaka Shahbandar, Batu Pahat, Johor.
Acara berprestij itu dianjurkan oleh Pusat Sukan dan Kebudayaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Tourism Batu Pahat, Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM) serta Kelab Warisan UTHM.
Sebanyak 17 kumpulan busking yang mewakili 14 UA telah mengambil bahagian bagi mempamerkan bakat muzik dan kreativiti luar biasa masing-masing.
Kumpulan muzik mahasiswi yang baharu ditubuhkan iaitu Abryxa Band di bawah naungan Pusat Kebudayaan mewakili UMPSA dalam pertandingan Busking Challenge MAKUM 2026 sekali gus telah melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya menyertai pertandingan tersebut dan berjaya menampilkan persembahan yang membanggakan serta mendapat sambutan positif daripada para penonton dan juri.
Sebagai persediaan menghadapi pertandingan tersebut, kesemua ahli telah menjalani latihan intensif selama dua minggu yang melibatkan sesi latihan vokal, pemantapan permainan instrumen serta penyelarasan persembahan bagi memastikan penampilan yang mantap di pentas pertandingan.
Abryxa Band merupakan sebuah kumpulan muzik yang terdiri daripada lima orang mahasiswi UMPSA daripada pelbagai fakulti dan tahun pengajian.
Kumpulan ini diterajui oleh pelajar tahun 2 dari Fakulti Pengurusan Industri (FPI) sebagai penyanyi utama, Nurul Muslihah Tuzzaman Kamaruzaman dan pelajar Tahun 3 dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) sebagai pemain guitar bassist, Myra Anne Miranda.
Posisi pemain dram pula disandang oleh pelajar Tahun 2 dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Abby Chong Jia Qi.
Sementara itu, posisi sebagai pemain gitar dianggotai oleh dua orang pemain iaitu pelajar Tahun 1 dari FTKKP, Alisa Shafirra Shafel Hamizi serta pelajar Tahun 2 juga dari FTKKP, Nur Alia Sofea Defififaldi.
Gabungan bakat daripada pelbagai latar belakang akademik ini telah membentuk sebuah pasukan yang berdaya saing dan berpotensi untuk mengharumkan nama UMPSA dalam arena seni persembahan universiti.
Penyertaan Abryxa Band dalam Pertandingan Busking Challenge MAKUM 2026 telah memberikan impak yang signifikan kepada pembangunan sahsiah dan bakat mahasiswa UMPSA, khususnya dalam bidang seni persembahan.
Melalui pengalaman beraksi di pentas pertandingan antara universiti, para pelajar berpeluang meningkatkan kemahiran komunikasi, kreativiti serta keupayaan bekerja secara berpasukan dalam persekitaran yang kompetitif.
Penglibatan ini turut menjadi platform untuk mahasiswa mengasah bakat dan potensi diri di luar bidang akademik, selaras dengan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan yang seimbang dan berdaya saing.
Menurut ketua kumpulan Abryxa Band, Nurul Muslihah, penyertaan dalam Pertandingan Busking Challenge MAKUM 2026 merupakan satu pengalaman yang amat bermakna buat beliau dan rakan-rakan kumpulan.
“Peluang untuk mewakili UMPSA di pentas MAKUM merupakan satu penghormatan dan pengalaman yang sangat berharga buat kami.
“Walaupun berdepan dengan cabaran dalam tempoh persiapan yang singkat, setiap ahli menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang sesi latihan.
“Pengalaman ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran persembahan kami, malah mengajar kami tentang pentingnya disiplin, kerjasama dan semangat berpasukan dalam mencapai matlamat bersama,” ujarnya.

Selain itu, menurut Pengarah Pusat Kebudayaan, Mohd Zaki Ahmad, penyertaan Abryxa Band dalam Pertandingan Busking Challenge MAKUM 2026 mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkasakan pembangunan bakat mahasiswa melalui platform seni dan budaya yang berimpak tinggi.
“Pusat Kebudayaan sentiasa komited untuk menyediakan ruang, peluang dan sokongan kepada mahasiswa yang mempunyai minat serta bakat dalam bidang seni persembahan.
“Penyertaan dalam pertandingan seperti ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar, malah menjadi medan untuk mereka mengukur kemampuan dan membina keyakinan dalam bersaing di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Biarpun tidak tersenarai sebagai pemenang dalam edisi kali ini, penyertaan sulung tersebut tetap dianggap sebagai satu pencapaian yang membanggakan dan pengalaman berharga buat semua ahli kumpulan.
Pendedahan yang diperoleh sepanjang pertandingan telah memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai standard persembahan serta tahap persaingan dalam kalangan UA di Malaysia.
Berbekalkan pengalaman tersebut, Abryxa Band berazam untuk terus memperbaiki mutu persembahan, memperkukuh kemahiran muzik dan meningkatkan tahap profesionalisme dalam setiap penampilan akan datang.
Secara keseluruhannya, penyertaan Abryxa Band dalam Busking Challenge MAKUM 2026 membuktikan bahawa mahasiswa UMPSA mempunyai potensi besar untuk cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik, malah dalam bidang seni dan kebudayaan.
Dengan sokongan berterusan daripada pihak universiti menerusi Pusat Kebudayaan, UMPSA diyakini mampu terus melahirkan bakat-bakat berkualiti yang berupaya bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Inisiatif seperti ini selaras dengan aspirasi universiti untuk memperkasakan pembangunan mahasiswa secara menyeluruh, sekali gus memperkukuhkan jenama UMPSA sebagai institusi pendidikan tinggi yang unggul dalam melahirkan graduan berpengetahuan, berketerampilan dan berdaya saing.

Oleh: Adibah Shaharom, Pusat Kebudayaan
- 31 views