Pernah terima bantuan UMPSA pemangkin kejayaan buat Muhammad Hakimie Haikal
PEKAN, 8 Jun 2026 - Suatu ketika dahulu, impian untuk melanjutkan pengajian ke universiti bukanlah sesuatu yang mudah buat Muhammad Hakimie Haikal Kamaruddin.
Berasal daripada keluarga sederhana yang menetap di Kuala Lumpur, beliau membesar dengan memahami cabaran kehidupan yang dihadapi oleh ibu bapanya dalam menyediakan keperluan harian keluarga.
Sebagai anak kedua daripada tiga orang adik-beradik, Muhammad Hakimie Haikal menjadi harapan keluarga apabila berjaya mencipta kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), sekali gus melayakkan beliau mengikuti pengajian di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Kekangan kewangan menimbulkan kebimbangan keluarganya terhadap kos pendaftaran, peralatan pembelajaran dan perbelanjaan awal sebagai pelajar universiti.
Menyedari keadaan ini, UMPSA melalui Yayasan UMPSA tampil menghulurkan bantuan menerusi Program Siswa Sulung 3.0 dan Bantuan Insentif Pendidikan bagi memastikan impian beliau untuk melanjutkan pengajian tidak terhalang.
Ujar Muhammad Hakimie, ibunya, Siti Hajar Ghazali tidak menyangka menerima bantuan daripada UMPSA dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan ini amat bermakna serta memberi sinar baharu kepada keluarga mereka.
Malahan UMPSA turut mengunjungi kediaman beliau dan menyampaikan sumbangan bakul makanan yang mengandungi keperluan asas bagi membantu meringankan beban keluarga.
Keluarganya amat bersyukur dan berterima kasih kepada UMPSA serta KPT yang membantu Muhammad Hakimie Haikal meneruskan pengajian.
Jelas Siti Hajar Ghazali, bantuan ini benar-benar meringankan beban keluarga dan memberi semangat kepada Hakimie untuk belajar bersungguh-sungguh.
Bantuan yang diterima ternyata menjadi pemangkin kepada kejayaan Muhammad Hakimie Haikal.
Beliau membuktikan bahawa kesusahan bukan penghalang untuk berjaya apabila menunjukkan prestasi akademik yang amat membanggakan sepanjang pengajian di UMPSA.
Hasil usaha gigih, disiplin tinggi dan kesungguhan dalam menuntut ilmu, beliau kini berjaya memperoleh Purata Nilai Gred (PNG) 4.00 bagi tiga semester berturut-turut.
Kecemerlangan ini melayakkan beliau menerima pelbagai pengiktirafan dan bantuan pendidikan, antaranya Insentif Kecemerlangan Yayasan UMPSA, Biasiswa Kecemerlangan Yayasan UMPSA, Sumbangan Zakat UMPSA serta menerima Anugerah Prestasi Akademik Terbaik Yayasan UMPSA sempena Majlis Apresiasi Sukarelawan Yayasan UMPSA.

Malahan Muhammad Hakimie Haikal kini aktif dalam aktiviti kesukarelawan dan sebagai skuad Yayasan UMPSA terlibat secara langsung dalam Kembara Mobiliti 2026 @Dolokgede Indonesia, aktiviti khidmat komuniti dengan mengecat Mural di Sekolah Kebangsaan Sri Maulana, The Think Tank 2025 dan menyertai aktiviti luar, E-Motion UMPSA: Metal Fabricator serta Formula Student Malaysia 2026.

Lain-lain, beliau juga dilantik sebagai Pengarah Program CSR di Rumah Kebajikan Orang Tua, Kembara Mobiliti China 2025 dan Ketua Jawatankuasa Multimedia, Warrior Challenge 2026.

Buat bakal pelajar UMPSA dan para ibu bapa yang sedang membuat persiapan pendaftaran, pelbagai bentuk bantuan disediakan termasuk bantuan pendidikan, bantuan makanan, zakat dan inisiatif pendidikan serta bantuan lain termasuk bagi pelajar yang memerlukan keperluan semasa pendaftaran.
Kisah Muhammad Hakimie Haikal membuktikan bahawa bantuan pendidikan yang disalurkan kepada golongan memerlukan bukan sekadar bantuan kewangan, malah mampu mengubah kehidupan seseorang.
Beliau kini muncul sebagai antara pelajar cemerlang UMPSA yang menjadi inspirasi kepada rakan-rakan dan masyarakat.
Semoga kejayaan beliau menjadi pembakar semangat kepada lebih ramai pelajar untuk terus berusaha, menghargai peluang pendidikan yang diberikan dan membalas kepercayaan keluarga serta pihak yang sentiasa menyokong perjalanan mereka menuju kecemerlangan.
Semoga Muhammad Hakimie Haikal terus cemerlang.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 218 views
Reports by: