Skip to main content

Presma Band cipta persembahan memukau, rangkul tempat ke-3 Battle of the Band

KUANTAN, 10 Jun 2026 - Kumpulan Presma Band yang mewakili Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berjaya mengharumkan nama universiti apabila meraih tempat ketiga dalam pertandingan Battle of the Band anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang berlangsung di Dewan Kompleks Kementerian Dalam Negeri Bandar Indera Mahkota, Kuantan baru-baru ini. 

Pertandingan tersebut menghimpunkan pelbagai kumpulan muzik dari institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat yang menampilkan bakat serta kreativiti dalam persembahan muzik secara langsung. 

Kejayaan memperoleh tempat ketiga membuktikan komitmen dan kesungguhan ahli-ahli Presma Band dalam memberikan persembahan yang berkualiti, sekali gus menyerlahkan potensi mahasiswa UMPSA dalam bidang seni dan kebudayaan. 

Presma Band merupakan ahli Kelab Sigma Melody yang bernaung di bawah Pusat Kebudayaan.

Di samping itu, ketika pertandingan berlangsung, Presma Band mempersembahkan lagu ‘Jampi’, nyanyian Hael Husaini yang berjaya menyerlahkan kekuatan vokal serta keserasian persembahan muzik di atas pentas. 

Selain itu, mereka turut mempersembahkan sebuah lagu ciptaan sendiri berjudul ‘Layar Kecil’, yang mengetengahkan kreativiti dan kebolehan kumpulan ini dalam menghasilkan karya muzik asli. 

Gabungan persembahan lagu popular dan karya asli tersebut berjaya memikat perhatian para juri dan menyerlahkan identiti muzik yang unik dan tersendiri.

Menurut Presiden Kelab Sigma Melody, pelajar tahun 4, Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), menyifatkan kejayaan tersebut merupakan hasil kerjasama erat dan latihan yang konsisten oleh semua ahli kumpulan sepanjang tempoh persediaan.

“Pencapaian ini amat bermakna buat kami kerana dapat membawa nama UMPSA ke pentas pertandingan yang kompetitif. 
“Kami amat berterima kasih kepada pihak universiti khususnya Pusat Kebudayaan yang sentiasa memberikan sokongan dan galakan,” ujarnya. 

Sementara itu, Penasihat Kelab Sigma Melody, Muhammad Fakhruddin Fadzil turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli Presma Band atas dedikasi dan semangat yang ditunjukkan sepanjang pertandingan.

Katanya, kejayaan ini membuktikan bahawa mahasiswa UMPSA bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai bakat yang mampu diketengahkan dalam bidang seni dan kebudayaan. 

“Diharapkan pencapaian ini menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain untuk terus aktif dalam aktiviti pembangunan sahsiah dan bakat. 

“Justeru, pencapaian ini membuktikan bahawa mahasiswa UMPSA mampu menyerlah bukan sahaja dalam bidang akademik dan penyelidikan, malah turut berdaya saing dalam arena seni dan budaya,” katanya. 

Kejayaan yang diraih oleh Presma Band menjadi manifestasi keberkesanan usaha universiti dalam menyediakan ekosistem pembangunan bakat yang menyeluruh, sekali gus memperkukuh jenama UMPSA sebagai universiti yang melahirkan graduan seimbang, kreatif dan berkemahiran tinggi. 

Malah, kejayaan ini juga diharapkan agar dapat menyuntik inspirasi kepada mahasiswa lain untuk terus meneroka potensi diri dan mengharumkan nama universiti melalui pelbagai platform kebudayaan serta kesenian di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa.

Sehubungan itu, kejayaan ini turut mencerminkan peranan penting Pusat Kebudayaan sebagai platform pembangunan bakat, pembentukan jati diri dan keperibadian mahasiswa yang seimbang melalui penglibatan aktif dalam aktiviti seni dan budaya. 

Melalui pelbagai program, latihan dan penyertaan dalam aktiviti seni serta kebudayaan, pusat ini berupaya melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja berdaya saing dan kreatif, malah berdisiplin serta berkeperibadian unggul. 

Pendedahan kepada aktiviti kesenian turut membantu mahasiswa meningkatkan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan dan pemikiran kritis yang menjadi nilai tambah penting dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan serta kehidupan bermasyarakat.

Oleh itu, Pusat Kebudayaan komited untuk terus memperkukuh pembangunan seni dan budaya sebagai salah satu agenda penting dalam melahirkan graduan yang berketerampilan dan berdaya saing. 

Melalui sokongan berterusan terhadap aktiviti kesenian dan kebudayaan, Pusat Kebudayaan berhasrat untuk meletakkan UMPSA sebaris dengan institusi pengajian tinggi yang mempunyai reputasi cemerlang dalam bidang seni dan budaya. 

Malah, usaha ini diyakini mampu meningkatkan daya saing universiti di peringkat kebangsaan dan membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik, pertukaran budaya serta perkongsian kepakaran dengan institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara. 

Oleh: Adibah Shaharom, Pusat Kebudayaan
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim