Skip to main content

Saidatus Sobirah dinobatkan Kadet Terbaik Latihan Luar PASKAM

PEKAN, 5 September 2026 – Ketahanan fizikal dan mental, disiplin diri serta kesungguhan memberikan komitmen dalam setiap latihan menjadi antara kekuatan yang membawa mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Saidatus Sobirah Azizul Rahman, 21, dinobatkan sebagai Kadet Terbaik Latihan Luar pada Majlis Tamat Latihan dan Pemakaian Pangkat Leftenan Muda PASKAM Peringkat Universiti Awam Kali Pertama Tahun 2026.

Bagi mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Minyak dan Gas) dengan Kepujian, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) itu, pengiktirafan berkenaan hadir sebagai satu kejutan yang cukup bermakna selepas melalui pelbagai cabaran sepanjang latihan luar Pasukan Kadet Maritim Malaysia (PASKAM).

“Sejujurnya, saya amat terkejut dan tidak sangka menerima anugerah ini. 

“Namun, saya sangat bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan kerana usaha yang saya lakukan dalam setiap latihan yang diberikan akhirnya mendapat pengiktirafan.

“Bagi saya, anugerah ini merupakan satu penghargaan yang amat bermakna dan menjadi motivasi untuk saya terus memperbaiki diri,” ujarnya. 

Majlis yang berlangsung di Dewan Konvokesyen UMPSA, Pekan itu menyaksikan seramai 127 kadet daripada UMPSA, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ditauliahkan sebagai Leftenan Muda PASKAM.

Saidatus Sobirah berkata, sepanjang mengikuti latihan luar PASKAM, beliau sentiasa berusaha memberikan komitmen penuh dalam setiap aktiviti dan latihan yang disertai.

“Antara cabaran terbesar yang perlu dihadapi adalah keletihan fizikal dan mental, khususnya apabila menjalani latihan yang berlangsung secara berterusan selama beberapa jam.

“Setiap kem dan latihan yang dijalankan amat menguji ketahanan fizikal dan mental seseorang kadet. Latihan fizikal yang berterusan selama berjam-jam memerlukan kekuatan serta ketahanan diri.

“Saya percaya kemampuan untuk mengatasi keletihan dan terus memberikan komitmen sepanjang latihan menjadi antara faktor yang membantu saya menerima pengiktirafan sebagai Kadet Terbaik Latihan Luar,” katanya.

Menurut anak kelahiran Jitra, Kedah itu, pengalaman menyertai PASKAM bukan sekadar memenuhi tuntutan kokurikulum, sebaliknya menjadi platform penting dalam membentuk disiplin, keyakinan diri dan kemahiran kepimpinan.

Beliau turut aktif dalam sukan Ultimate Frisbee yang secara tidak langsung membentuk semangat berpasukan, daya tahan fizikal serta keupayaan berkomunikasi dan bekerjasama dengan rakan seperjuangan.

Dalam masa sama, Saidatus Sobirah mengakui kejayaan tersebut tidak dicapai secara bersendirian, sebaliknya hasil sokongan barisan jurulatih UMPSA dan rakan-rakan kadet PASKAM Siri 2.

“Mereka merupakan tulang belakang yang sentiasa memberikan semangat kepada saya dan rakan-rakan untuk terus berusaha melaksanakan latihan yang diberikan.

“Dengan kerjasama semua, kami kadet PASKAM Siri 2 mampu menamatkan latihan PASKAM selama empat semester,” katanya.

Mengulas mengenai keseimbangan antara akademik dan kokurikulum, Saidatus Sobirah berkata, pengurusan masa dan disiplin diri menjadi kunci utama dalam memastikan kedua-dua aspek dapat diberikan perhatian yang sewajarnya.

“Saya cuba memberikan keutamaan kepada akademik tanpa mengabaikan tanggungjawab dalam PASKAM. 

“Pada masa sama, barisan jurulatih juga bijak mengatur jadual latihan supaya masa pembelajaran kadet tidak terganggu.

“Perancangan tersebut membantu kami memberikan komitmen terbaik dalam latihan dan pada masa yang sama mengekalkan prestasi akademik,” katanya.

Hasilnya, beliau berjaya memperoleh Kepujian Dekan selama empat semester sepanjang pengajian di UMPSA, sekali gus membuktikan keupayaannya mengimbangi kecemerlangan akademik dengan penglibatan aktif dalam kegiatan kokurikulum.

Bagi Saidatus Sobirah, pengiktirafan sebagai Kadet Terbaik Latihan Luar merupakan antara pencapaian yang paling membanggakan sepanjang bergelar mahasiswa UMPSA.

“Anugerah ini menunjukkan bahawa saya berjaya mendisiplinkan diri dan memberikan komitmen dalam setiap perkara yang dilakukan. 

“Pada masa yang sama, saya bersyukur kerana walaupun sibuk dengan aktiviti PASKAM, saya masih dapat memberikan usaha terbaik dalam bidang akademik,” tambahnya. 

Beliau turut menyifatkan UMPSA sebagai institusi yang memberikan ruang luas kepada mahasiswa untuk berkembang secara menyeluruh, bukan sahaja dari aspek akademik, malah sahsiah, kepimpinan dan kemahiran insaniah.

“Penglibatan saya dalam PASKAM memberikan pengalaman yang berbeza daripada pembelajaran di dalam kelas. 

“Ia membantu saya menjadi lebih berdisiplin, yakin dan bersedia menghadapi cabaran,” katanya.

Saidatus Sobirah dinobatkan Kadet Terbaik Latihan Luar PASKAM

Saidatus Sobirah yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik kepada pasangan Azizul Rahman Ab Ghazi dan Che Saodah Ibrahim itu berkata, anugerah berkenaan bukan titik akhir, sebaliknya menjadi pemangkin untuk beliau terus memperbaiki diri.

“Sasaran saya adalah untuk mengekalkan prestasi akademik, terus aktif dalam aktiviti yang memberi manfaat kepada diri dan universiti serta membina kemahiran yang dapat membantu saya apabila memasuki alam pekerjaan nanti,” katanya.

Beliau turut menitipkan nasihat kepada mahasiswa lain supaya tidak menjadikan pencapaian orang lain sebagai alasan untuk berasa rendah diri atau berputus asa.

“Sentiasalah berusaha untuk memperbaiki diri. 

“Jangan melihat pencapaian orang lain dan merasakan kita tidak mampu, sebaliknya jadikan pencapaian mereka sebagai motivasi untuk terus berusaha mencapai sasaran diri sendiri,” ujarnya. 

Dalam pada itu, beliau berharap UMPSA akan terus menyediakan peluang kepada mahasiswa untuk mengembangkan potensi dalam pelbagai bidang, selain menggalakkan generasi mahasiswa akan datang supaya berani mengambil peluang dan keluar daripada zon selesa.

“Saya berharap mahasiswa tidak hanya mengejar kecemerlangan akademik, tetapi turut meluaskan pengalaman dalam bidang lain. 

“Pengalaman tersebut akan membantu kita membina diri menjadi individu yang lebih matang dan bersedia menghadapi alam pekerjaan serta kehidupan bermasyarakat,” katanya.

Menurut Saidatus Sobirah, pengiktirafan yang diterima turut membawa makna yang lebih besar apabila usaha dan komitmen yang dilakukan, termasuk perkara yang mungkin tidak dilihat oleh orang lain, akhirnya memberikan nilai kepada diri sendiri dan orang sekeliling.

“Anugerah ini menjadi peringatan kepada saya bahawa sekiranya kita terus memberikan komitmen yang terbaik dalam apa jua yang dilakukan, pasti ada nilai dan ganjarannya. 

“Saya berharap dapat meninggalkan legasi sebagai mahasiswa yang berani mengambil peluang, aktif, berdisiplin dan sanggup mencabar diri untuk keluar daripada zon selesa.

“Saya ingin menunjukkan bahawa seorang mahasiswa boleh berkembang dalam pelbagai aspek sekiranya berani mengambil peluang dan sanggup keluar daripada zon selesa,” ujarnya.

Malah, beliau juga berharap pengalaman yang diperoleh sepanjang berada di UMPSA dapat digunakan untuk memberi manfaat kepada masyarakat pada masa akan datang. 

Saidatus Sobirah dinobatkan Kadet Terbaik Latihan Luar PASKAM

Majlis berkenaan bukan sekadar meraikan kejayaan para kadet menamatkan latihan dan menerima tauliah, malah menjadi lambang komitmen berterusan APMM bersama institusi pendidikan tinggi dalam membentuk generasi muda yang berdisiplin, berintegriti, berdaya tahan serta mempunyai kesedaran terhadap kepentingan maritim negara.

Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta Dan Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim