Senandika Amal 2.0 pupuk nilai empati dan keprihatinan sosial
PEKAN, 18 April 2026 – Kelab Teater Senandika dengan kerjasama Pusat Kebudayaan (PusKeb) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan program Senandika Amal 2.0 bertempat di Rumah Anak Yatim dan Miskin Perempuan Darussalam Al-Mukhtar, Pekan.
Selain mengadakan persembahan teater, Program Senandika Amal 2.0 ini merupakan inisiatif mahasiswa bertujuan mendekati masyarakat melalui aktiviti kebajikan berasaskan seni teater dan interaksi sosial.
Seni teater berperanan sebagai medium untuk meningkatkan keyakinan diri, komunikasi dan kerjasama melalui aktiviti permainan teater dan lakonan santai.
Pendekatan pengisian ini adalah salah satu usaha dalam memberi sokongan emosi dan moral kepada anak-anak yatim.
Selain itu, nilai kerja berpasukan dan tanggungjawab turut diterapkan melalui sesi gotong-royong yang menggalakkan interaksi, saling membantu dan semangat kebersamaan sekali gus memupuk nilai empati, keprihatinan sosial dan semangat kesukarelawanan melalui penglibatan langsung dalam aktiviti bersama komuniti.
Menurut Pengarah Program yang juga merupakan mahasiswa tahun 2, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Airil Najmi Mohd Noor Hazani, merangka perjalanan program ini agak mencabar memandangkan ini adalah pengalaman pertama beliau sebagai pengarah program.

“Alhamdulillah, dengan kerjasama rakan-rakan Kelab Senandika ‘yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing’ semua cabaran dapat diatasi dan perjalanan program menjadi mudah.
“Program seperti ini perlu diperluaskan lagi agar menjadi platform untuk membina kepercayaan dan semangat kerjasama yang tinggi dalam membentuk kesejahteraan antara ahli kelab serta komuniti setempat,” ujarnya.
Manakala bagi Presiden Kelab Senandika dan Timbalan Pengarah Program, Siti Nafisah Rahmad memanjatkan rasa syukur atas kejayaan program ini.
“Walaupun ini merupakan program pertama kami bersama komuniti luar UMPSA, namun ia adalah permulaan yang baik untuk kami belajar lebih banyak lagi tentang jaringan kolaborasi dengan agensi luar sebagai salah satu langkah strategik yang mendekatkan kami dengan masyarakat setempat.
“Dalam konteks profesional mahupun kemasyarakatan, kolaborasi ini membawa dimensi baharu yang lebih segar kepada kami,” katanya.
Senandika turut menyumbang pelbagai barang keperluan untuk kegunaan penghuni-penghuni rumah tersebut.
Program ini turut dihadiri Pengarah Pusat Kebudayaan UMPSA, Mohd Zaki Ahmad.
Disediakan Oleh: Noor Afiza Mohd Asmi, Pusat Kebudayaan
- 13 views
Reports by: