Sentuhan mahasiswa UMPSA dalam mencorak pemimpin muda Clifford
KUALA LIPIS, 24 Mei 2025 – Kelab YOSH Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, Kuala Lipis, telah menganjurkan Program Kem Kepimpinan SMK Clifford Leaders Team yang melibatkan penyertaan seramai 200 orang pelajar sekolah menengah dan rendah.
Program sehari itu telah dilaksanakan dengan jayanya menerusi penglibatan 40 orang mahasiswa UMPSA yang bertindak sebagai fasilitator dan sukarelawan.
Sepanjang program, pelbagai aktiviti berimpak tinggi telah dijalankan termasuk senamrobik, latihan dalam kumpulan, explorace dan perkongsian pengalaman bersama tokoh alumni serta profesional.
Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer, UMPSA, Muhammad Al Hafizul Al Holidin turut berkongsi perjalanan beliau dalam meraih kejayaan akademik termasuk pencapaian straight A’s di Matrikulasi dan Ijazah.
“Kegagalan mencapai keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dahulu berpunca daripada ketiadaan tujuan belajar yang jelas dan kukuh.
“Perubahan besar berlaku apabila saya menyedari bahawa tujuan sebenar menuntut ilmu adalah sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah az-Zariyat, ayat 56: ‘Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku," ujarnya ketika sesi motivasi bersama alumni SMK Clifford.
Beliau turut menekankan bahawa niat belajar kerana Allah SWT akan melahirkan ketenangan dan semangat yang berterusan dalam menuntut ilmu.
Mahasiswa Doktor Falsafah Kejuruteraan Awam, Intan Najiha Akhmar Saharuddin turut berkongsi pengalaman beliau sebagai penuntut pascasiswazah dan juga sukarelawan aktif YOSH dalam slot inspirasi.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Guru Penolong Kanan Pentadbiran dan Kurikulum SMK Clifford, Hartini Lot yang turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kelab YOSH UMPSA atas komitmen dan usaha murni dalam menjayakan program ini.
Program ini bukan sahaja memberi impak positif terhadap pembangunan sahsiah dan kepimpinan pelajar sekolah, malah turut menjadi platform berharga bagi mahasiswa UMPSA untuk mengasah kemahiran kesukarelawanan, komunikasi, dan pengurusan program.
Dengan adanya inisiatif seperti ini, mahasiswa UMPSA terus membuktikan peranan mereka sebagai agen perubahan dan pemangkin kemajuan masyarakat.
Disediakan Oleh: Nur Afiqah Lihan, Mahasiswa Fakulti Komputeran Dan Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat
- 95 views