Sidang parlimen mahasiswa UMPSA menjadi medan dialog dinamik suara mahasiswa
PEKAN, 18 April 2026 – Sidang Parlimen Mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ke-4 telah berlangsung dengan jayanya dalam suasana penuh komitmen, profesionalisme dan semangat kebersamaan dalam memperjuangkan suara mahasiswa.
Sidang ini menjadi platform penting bagi mahasiswa untuk menyuarakan pandangan, membincangkan isu-isu semasa serta mengemukakan cadangan penambahbaikan demi kesejahteraan seluruh warga kampus.
Sepanjang sidang berlangsung, sesi perbahasan telah dijalankan secara matang dan berstruktur, di mana setiap usul dibincangkan secara teliti daripada pelbagai sudut pandangan.
Selain itu, sesi soal jawab turut membuka ruang interaksi dua hala yang konstruktif, membolehkan perwakilan mahasiswa mendapatkan penjelasan lanjut serta memperkukuhkan hujah bagi setiap cadangan yang dikemukakan.
Bagi Teras 1 yang bertajuk ‘Suara Siswa: Manifestasi Tuntutan Hak dan Keberkesanan Reformasi Polisi’, sebanyak sembilan usul telah dibentangkan, dengan lapan usul diterima dan satu usul ditolak selepas melalui sesi perbahasan dan penelitian yang rapi.
Manakala bagi Teras 2 yang bertajuk ‘Suara Mahasiswa: Penggerak Masa Depan Berimpak Tinggi dan Progresif Dalam Mencorak Pembangunan Holistik’, sebanyak lima usul telah dibentangkan, dengan empat usul diterima dan satu usul ditolak hasil daripada sesi perbahasan yang komprehensif.
Menurut Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMPSA Sesi 2025/2026, Adam Al-Wafiy Muhammad Zailani, sidang ini jelas mencerminkan bahawa mahasiswa bukan sekadar penerima dasar, tetapi merupakan rakan strategik yang memainkan peranan penting dalam mencorakkan ekosistem universiti yang lebih inklusif, progresif dan berdaya tahan.
“Setiap usul yang diketengahkan membawa aspirasi besar ke arah memastikan kebajikan serta pembangunan mahasiswa terus menjadi keutamaan.
“Diharapkan agar segala keputusan dan usul yang telah dipersetujui dapat dilaksanakan secara berperingkat dengan penuh komitmen dan akauntabiliti oleh pihak berkaitan.
“Semoga hasil daripada sidang ini menjadi pemangkin kepada penambahbaikan berterusan dalam sistem universiti, seterusnya melahirkan persekitaran akademik dan sosial yang lebih dinamik, sejahtera serta relevan dengan keperluan mahasiswa masa kini dan akan datang,” katanya.
‘Wadah Perbahasan, Suara Kebersamaan’ bukan sekadar slogan, tetapi satu manifestasi komitmen mahasiswa dalam membawa perubahan yang bermakna dan berimpak tinggi.
Disediakan Oleh: Nurul Adlina A'zmi, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)
- 69 views
Reports by: