SMK Mersing lawat UMPSA untuk beri pendedahan awal laluan kerjaya
PEKAN, 29 Ogos 2024 - Seramai 40 pelajar tingkatan 2 hingga 4 dan empat orang guru pengiring dari Sekolah Menengah Kebangsaan Mersing mengadakan lawatan sambil belajar ke Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Pekan.
Para pelajar yang terdiri daripada pelbagai aliran itu telah diberikan taklimat akademik oleh Ketua Program Diploma FTKEE, Dr. Mohd Helmi Suid dan Ketua Program Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Dr. Nur Aqilah Othman.
Turut hadir Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) FTKEE, Profesor Madya Dr. Mohd Anwar Zawawi.
Menurut Guru Bimbingan dan Kaunseling, SMK Mersing, Rapidah Amiruddin, lawatan ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan awal mengenai hala tujuan kerjaya kepada para pelajar.
"Saya juga mengharapkan lawatan ini sedikit sebanyak dapat meningkatkan motivasi dan semangat kepada para pelajar untuk berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh agar dapat melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT)
“Selain itu, lawatan ini diharapkan dapat memberi gambaran kepada pelajar mengenai suasana pembelajaran di universiti,” ujarnya.
Manakala bagi pelajar tingkatan 4, Nur Hanisah Liyana Ahmad Tajuddin, 16, berkata, beliau gembira kerana dapat mempelajari sedikit sebanyak mengenai elektrik dan elektronik di samping dapat menimba ilmu pengetahuan mengenai cara-cara kemasukan dan program-program yang ditawarkan di UMPSA
Sebelum mengakhiri lawatan para pelajar berpeluang untuk melawat makmal di fakulti seperti Makmal Pendawaian dan Makmal Robotik.
Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat