Suara mahasiswa bergema lantang di Parlimen UMPSA membawa aspirasi ke realiti
PEKAN, 19 April 2026 – Sidang Parlimen Mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kali keempat diteruskan dengan perbincangan yang komprehensif dan berimpak tinggi melalui pembentangan usul di bawah teras-teras utama yang menyentuh aspek akademik serta kebajikan mahasiswa. Perbahasan yang berlangsung memperlihatkan kematangan pemikiran perwakilan mahasiswa dalam menilai serta memperhalus setiap cadangan yang dikemukakan.
Bagi Teras Tiga yang bertajuk ‘Pemantapan Tadbir Urus Akademik ke Arah Kemampanan Universiti’, sebanyak tujuh usul telah dibentangkan.
Daripada jumlah tersebut, empat usul telah diterima, dua usul ditolak manakala satu usul digugurkan selepas melalui sesi perbahasan yang mendalam serta penelitian yang teliti.
Sesi soal jawab turut memainkan peranan penting dalam memperincikan setiap cadangan agar selari dengan keperluan semasa serta hala tuju akademik universiti.
Manakala bagi Teras Empat di bawah Teras Hal Ehwal Kebajikan Mahasiswa yang bertajuk ‘Kebajikan Mahasiswa: Teras Strategik Kecemerlangan Institusi’, sebanyak tujuh usul telah dibentangkan dan kesemuanya telah diterima sebulat suara.
Perbahasan yang berlangsung menunjukkan kesepakatan tinggi dalam kalangan perwakilan terhadap kepentingan menjaga kebajikan mahasiswa sebagai asas kepada kecemerlangan institusi.
Sesi soal jawab yang aktif turut memperkukuh setiap usul yang dikemukakan agar lebih holistik dan inklusif.
Menurut Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMPSA Sesi 2025/2026, Adam Al-Wafiy Muhammad Zailani, adalah menjadi harapan agar setiap usul yang telah diterima tidak hanya kekal sebagai perbincangan semata-mata, tetapi dapat diterjemahkan kepada tindakan yang efektif dan berimpak tinggi.
“Diharapkan juga agar hasil sidang ini mampu memperkukuhkan sistem tadbir urus akademik serta memperkasa kebajikan mahasiswa secara menyeluruh, seterusnya mewujudkan persekitaran universiti yang lebih kondusif, mampan dan sejahtera untuk semua.
“Keseluruhannya, sidang ini membuktikan bahawa mahasiswa memainkan peranan signifikan sebagai agen perubahan yang bukan sahaja peka terhadap isu semasa, malah berupaya mengemukakan solusi yang konstruktif demi pembangunan universiti yang mampan dan sejahtera,” katanya.
Disediakan Oleh: Nurul Adlina A'zmi, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)
- 49 views
Reports by: