Suburkan 4 budaya dan kebersamaan mahasiswa dalam kepimpinan baharu MPP
PAYA BESAR, 11 Januari 2021 - Barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang baharu dilantik bagi sesi 2021/2022 disaran memberi perhatian serius terhadap penyuburan budaya hikmah, sejahtera, hormat menghormati dan kasih sayang.
Ia boleh dilaksanakan melalui pelbagai program dan aktiviti agar UMP terus harmoni dan berseri dengan suasana kampus yang kondusif untuk tujuan pengajian dan juga perpaduan.
Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP, sebagai MPP mereka berupaya untuk menzahirkan kepimpinan berimpak dengan tertib dan adab, profesionalisme komunikasi serta kualiti kerja.
“Kematangan kepimpinan dicirikan dengan diplomasi, konferensi dan kesusilaan sewajarnya diangkat sebagai watak dan wibawa MPP UMP secara konsisten.
“Interaksi dengan pihak pengurusan melalui pelbagai saluran rundingan dan musyawarah yang harmoni dan profesional hendaklah dikekalkan.
“Ini adalah penting bagi memastikan MPP dilihat sebagai satu badan yang benar-benar mewakili kepentingan mahasiswa secara keseluruhannya,” ujarnya.
Tambahnya lagi, namun, apa yang lebih utama ialah keupayaan MPP untuk berperanan sebagai suara mahasiswa secara profesional tanpa dipengaruhi sebarang sentimen negatif sama ada dari dalam atau luar kampus,”
“Mereka ini akan bergerak seiring dengan pihak pengurusan untuk melestarikan iklim kampus yang sejahtera dan kondusif dalam kerangka Pelan Strategik UMP 2021-2025 (UMP25),” katanya dalam Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan MPP Sesi 2021/2022 bertempat di Dewan Astaka, UMP.
Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie turut merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada urus setia mahasiswa yang diketuai oleh mahasiswa Fakulti Pengurusan Industri UMP, Nurul Aina Jamaluddin dan mahasiswa Kolej Kejuruteraan (KKEJ) UMP, Syafiq Ahmad Abdul Aleem serta pasukan atas keupayaan menguruskan pemilihan MPP kali ini dengan lancar dan teratur yang dilaksanakan secara dalam talian keseluruhannya.
Dalam majlis itu, Yang di-Pertua MPP UMP 2021/2022, Ahmad Fahmi Fazli mengetuai acara bersama 24 perwakilan termasuklah Timbalan Yang di-Pertua (Pekan), Saiyidatul Marsyitah Aisyah Suhaime, Timbalan Yang di-Pertua (Gambang), Kaiyisah Khairah Hasri dan Bendahari Kehormat, Nur Amira Badri.
Bagi Ahmad Fahmi, penggunaan slogan baharu ‘Kebersamaan Mahasiswa; diharap dapat melonjak dan menaikkan lagi semangat mahasiswa dalam menuju kejayaan.
“Kebersamaan ini merupakan langkah pertama dan tidak hanya berfokuskan kepada taraf yang sama namun kebersamaan yang dibawa ialah berfokuskan hasil bersama yang dapat memberikan kebaikan.
“Malahan dengan kebersamaan ini, setiap mahasiswa dapat melahirkan kekuatan dan dengan kebersamaan jua mampu melahirkan perubahan,” katanya.
Hadir sama dalam majlis ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Ketua Pegawai Operasi/Pendaftar, Hazmin Aris dan Dekan Pembangunan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Dr. Ahmad Johari Mohamad.
Disediakan oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 139 views