Skip to main content

Suhaidi Luqman bangkit daripada kecederaan, dinobatkan Kadet Keseluruhan Terbaik PASKAM

PEKAN, 5 September 2026 – Pernah berdepan kecederaan lutut ketika menjalani latihan di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), namun keadaan itu tidak mematahkan semangat mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Suhaidi Luqman Hafiz Azahari untuk meneruskan perjuangan dalam Pasukan Kadet Maritim Malaysia (PASKAM).

Sebaliknya, pengalaman tersebut menjadi antara ujian yang menguatkan dirinya untuk terus bertahan, sehingga akhirnya mahasiswa Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekatronik (Robotik) dengan Kepujian, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik itu dinobatkan sebagai Anugerah Kadet Keseluruhan Terbaik PASKAM pada Majlis Tamat Latihan dan Pemakaian Pangkat Leftenan Muda PASKAM Peringkat Universiti Awam Kali Pertama Tahun 2026.

Bagi Suhaidi Luqman, 24, pengiktirafan tersebut hadir sebagai satu kejutan yang tidak pernah dijangkakan.

Suhaidi Luqman bangkit daripada kecederaan, dinobatkan Kadet Keseluruhan Terbaik PASKAM

“Apabila diumumkan sebagai penerima anugerah ini, saya rasa sangat gembira dan terharu. 

“Sejujurnya, saya tidak menyangka langsung akan menerima anugerah ini.

“Pada masa yang sama, saya rasa bangga kerana segala usaha, masa dan pengorbanan yang telah saya berikan selama ini akhirnya dihargai,” ujarnya.

Bagi beliau, anugerah ini menjadi satu kenangan yang sangat bermakna dan memberi motivasi kepada saya untuk terus buat yang terbaik. 

Anak kelahiran Pahang itu berkata, antara pencapaian yang menyumbang kepada pengiktirafan tersebut ialah kejayaannya meraih Anugerah Kadet Terbaik Akademik semasa Kem Tahunan dan Pengukuhan Kadet PASKAM di AMSAS.

“Selain pencapaian berkenaan, saya juga sentiasa berusaha memberikan komitmen terbaik dalam setiap latihan dan aktiviti yang dijalankan sepanjang penglibatannya dalam PASKAM.

“Perjalanan tersebut bukan mudah kerana beliau perlu mengimbangi tuntutan akademik dengan komitmen terhadap latihan yang memerlukan ketahanan fizikal dan mental.

“Antara cabaran terbesar yang saya hadapi ialah membahagikan masa antara akademik dan kokurikulum,” katanya. 

Tambahnya, beliau perlu memastikan pelajaran dan tugasan tetap berjalan dengan baik, dalam masa yang sama perlu memberikan komitmen sepenuhnya dalam latihan dan aktiviti kokurikulum.

“Cabaran dari segi fizikal dan mental ketika menjalani latihan juga agak mencabar. 

“Pernah pada satu ketika semasa kem di AMSAS, saya mengalami kecederaan di bahagian lutut.

“Walaupun begitu, saya cuba kuatkan semangat dan teruskan latihan sebaik mungkin sehingga akhirnya saya berjaya sampai ke tahap ini,” ujarnya. 

Bagi Suhaidi Luqman, pengalaman tersebut mengajar dirinya bahawa kejayaan bukan sekadar bergantung kepada keupayaan fizikal, tetapi turut memerlukan kekuatan mental, disiplin dan kesungguhan untuk terus bangkit apabila berdepan cabaran.

Suhaidi Luqman bangkit daripada kecederaan, dinobatkan Kadet Keseluruhan Terbaik PASKAM

Beliau turut mengakui bahawa pengurusan masa dan disiplin diri menjadi kunci utama dalam memastikan prestasi akademik tidak terjejas walaupun aktif dalam aktiviti kokurikulum.

Katanya, beliau akan menyusun jadual dengan baik dan memastikan tugasan serta ulang kaji diselesaikan mengikut masa yang ditetapkan sebelum menghadiri latihan atau aktiviti kokurikulum.

“Saya percaya dengan perancangan yang baik, saya mampu memberikan komitmen sepenuhnya dalam kedua-dua aspek tanpa mengabaikan salah satunya,” jelasnya. 

Dalam perjalanan tersebut, beliau menyifatkan barisan jurulatih PASKAM, rakan-rakan seperjuangan serta ibu bapanya sebagai sumber kekuatan yang sentiasa memberikan sokongan dan semangat.

“Individu yang paling banyak memberi sokongan dan inspirasi kepada saya ialah barisan jurulatih PASKAM serta rakan-rakan seperjuangan saya.

“Mereka sentiasa memberikan sokongan dan semangat kepada saya, terutamanya ketika saya berdepan dengan cabaran sepanjang menyertai PASKAM.

“Selain itu, tidak lain tidak bukan ibu bapa saya sendiri yang tetap mendukung anaknya ketika susah mahupun senang,” katanya.

Beliau menyifatkan peluang menyertai PASKAM sebagai antara pengalaman penting sepanjang bergelar mahasiswa UMPSA kerana ia bukan sahaja membentuk disiplin, malah mengajarnya tentang kepimpinan, kerja berpasukan, pengurusan masa dan cara berdepan dengan cabaran.

Katanya, UMPSA turut memainkan peranan penting dengan menyediakan ruang dan peluang kepada mahasiswa untuk mengembangkan potensi diri bukan sahaja dalam bidang akademik, malah melalui aktiviti kokurikulum.

“UMPSA banyak membantu dalam membentuk kejayaan saya melalui pelbagai peluang dan sokongan yang diberikan kepada mahasiswa.

“Melalui aktiviti dan latihan yang saya sertai, saya dapat belajar tentang disiplin, pengurusan masa, kerja berpasukan dan cara menghadapi cabaran. 

“Saya rasa semua pengalaman ini banyak membantu saya menjadi seorang pelajar yang lebih bertanggungjawab dan yakin dalam menghadapi cabaran,” katanya.

Selepas menerima pengiktirafan tersebut, Suhaidi Luqman berhasrat untuk terus mengekalkan prestasi akademik di samping meneruskan penglibatan dalam aktiviti kokurikulum.

Beliau juga berharap dapat menggunakan pengalaman yang diperoleh sepanjang menyertai PASKAM untuk memperbaiki diri, mencuba perkara baharu serta terus memberikan sumbangan kepada UMPSA dan PASKAM.

Kepada mahasiswa lain yang ingin mencapai kecemerlangan, beliau berpesan agar tidak mudah berputus asa dan berani mengambil peluang untuk mencuba perkara baharu.

“Bagi saya, kejayaan bukan datang dalam masa yang singkat, tetapi memerlukan usaha, disiplin dan konsistensi.
“Pada masa yang sama, kita perlu pandai membahagikan masa antara akademik dan kokurikulum. 

“Yang paling penting, sentiasa percaya pada proses dan lakukan yang terbaik dalam setiap perkara yang kita sertai,” ujarnya. 

Beliau turut berharap agar UMPSA terus berkembang dan memberikan lebih banyak peluang kepada mahasiswa untuk meneroka pelbagai bidang serta mengembangkan potensi diri.

“Untuk mahasiswa akan datang pula, saya harap mereka berani untuk mencuba dan mengambil setiap peluang yang ada. 

“Jangan terlalu takut untuk gagal, sebab daripada pengalaman dan kesilapan itulah kita banyak belajar dan berkembang,” katanya.

Bagi Suhaidi Luqman, pengiktirafan tersebut membawa makna yang cukup besar kerana ia hadir selepas melalui perjalanan yang penuh dengan cabaran, termasuk keletihan fizikal dan mental serta kecederaan ketika menjalani latihan.

“Apabila usaha saya akhirnya mendapat pengiktirafan, saya rasa sangat terharu dan bersyukur. 

“Anugerah ini menjadi satu kenangan yang akan saya hargai dan pada masa yang sama memberi saya semangat untuk terus buat yang terbaik selepas ini,” katanya.

Lebih daripada sekadar pencapaian peribadi, beliau berharap pengalaman dan kejayaan tersebut dapat menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain supaya berani mencuba dan tidak mudah berputus asa.

“Kalau saya dapat membantu dan mampu mengubah seorang pelajar pun sudah cukup bermakna bagi saya,” tambahnya. 

Majlis Tamat Latihan dan Pemakaian Pangkat Leftenan Muda PASKAM Peringkat Universiti Awam Kali Pertama Tahun 2026 yang berlangsung di Padang Kawad Akademi A.D.A.B UMPSA Kampus Pekan pada 5 September lalu menyaksikan seramai 127 kadet daripada UMPSA, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ditauliahkan sebagai Leftenan Muda PASKAM.

Majlis tersebut menjadi simbolik kepada kejayaan para kadet menamatkan latihan selama empat semester, sekali gus menandakan permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar dalam membawa nama baik pasukan, universiti dan negara.

Majlis ini bukan sekadar meraikan kejayaan para kadet menamatkan latihan, malah menjadi lambang komitmen berterusan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan institusi pendidikan tinggi dalam membentuk generasi muda yang berdisiplin, berintegriti serta mempunyai kesedaran terhadap kepentingan maritim negara.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad dan Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri