Sukarelawan Yayasan UMPSA dinobat Kumpulan Penasihat Terbaik MARS 2025
GAMBANG, 16 Jun 2026 – Komitmen berterusan dalam memperkasakan budaya kesukarelawanan dan pembangunan sahsiah mahasiswa membolehkan Sukarelawan Yayasan UMPSA dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kumpulan Penasihat Terbaik dalam Majlis Anugerah Mercu Sanjung (MARS) UMPSA 2025
Pengiktirafan itu diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan UMPSA, Mohd Jamil Ja’afar dan Penolong Eksekutif Yayasan UMPSA, Akmal Asyraf Mior Azalian yang bertindak sebagai penasihat kepada pasukan sukarelawan tersebut.
Anugerah berkenaan merupakan penghargaan terhadap komitmen dan dedikasi mereka dalam merancang, menyelaras serta membimbing pelaksanaan pelbagai program kesukarelawanan yang memberi impak kepada mahasiswa, universiti dan komuniti.
Menurut Akmal Asyraf, beliau berasa terkejut dan tidak menyangka pasukan Sukarelawan Yayasan UMPSA akan menerima pengiktirafan tersebut.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja milik kami sebagai penasihat, malah merupakan penghargaan kepada seluruh warga Sukarelawan Yayasan UMPSA yang sentiasa komited menyumbangkan masa, tenaga dan usaha dalam menjayakan pelbagai program kebajikan, pembangunan mahasiswa serta khidmat komuniti.
“Kejayaan ini adalah hasil usaha bersama yang dibina melalui semangat kerja berpasukan dan kesungguhan untuk memberi manfaat kepada masyarakat.
“Sepanjang penglibatan sebagai penasihat, pelbagai program berimpak tinggi berjaya dilaksanakan melibatkan pembangunan mahasiswa, kebajikan pelajar, bantuan kemanusiaan dan aktiviti khidmat komuniti yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat,” ujarnya.
Antara cabaran terbesar yang dihadapi adalah dalam merancang, menyusun dan memastikan kesinambungan program-program sukarelawan agar sentiasa relevan serta mampu memberi impak berterusan kepada mahasiswa dan komuniti.
Akmal Asyraf berkata, merancang aktiviti sukarelawan sepanjang tahun memerlukan komitmen yang tinggi kerana setiap program perlu dirangka dengan teliti agar mencapai objektif yang ditetapkan dan memberi pengalaman bermakna kepada para sukarelawan.
“Pada masa sama, kami perlu memastikan setiap program yang dilaksanakan mampu memberi nilai tambah kepada mahasiswa dan meningkatkan kemahiran insaniah mereka,” ujarnya.
Akmal Asyraf turut menzahirkan penghargaan kepada Mohd Jamil Ja’afar yang banyak memberikan bimbingan dan kepercayaan dalam menjayakan pelbagai inisiatif kesukarelawanan di bawah Yayasan UMPSA.
Menurutnya, kepimpinan dan sokongan yang diberikan telah membantu memperkukuh gerakan kesukarelawanan mahasiswa serta melahirkan lebih ramai sukarelawan yang aktif dan berdaya saing.
Beliau berkata, antara pencapaian yang paling membanggakan adalah apabila dapat melihat mahasiswa berkembang daripada peserta biasa kepada pemimpin program yang mampu merancang dan melaksanakan aktiviti berimpak tinggi untuk masyarakat.
“Mahasiswa perlu didedahkan dengan pengalaman sebenar melalui aktiviti sukarelawan, kepimpinan dan khidmat komuniti kerana pengalaman tersebut mampu membentuk sahsiah diri, meningkatkan kemahiran insaniah dan menambah nilai kebolehpasaran graduan.
“Saya berharap lebih ramai mahasiswa UMPSA berani keluar daripada zon selesa dan melibatkan diri secara aktif dalam program pembangunan diri serta kesukarelawanan.
“Penglibatan dalam aktiviti di luar bilik kuliah bukan sahaja membantu meningkatkan kemahiran kepimpinan dan komunikasi, malah membentuk graduan yang lebih holistik dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, akademik dan kokurikulum perlu bergerak seiring kerana kedua-duanya menjadi tunjang utama dalam membentuk graduan yang cemerlang, berdaya saing dan mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi.
“Semoga budaya kesukarelawanan yang diterapkan di UMPSA akan terus berkembang dan menjadi legasi yang mampu melahirkan generasi mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah sentiasa bersedia berbakti kepada masyarakat serta negara,” ujarnya.
Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
Foto: Khairu Aidilnishah Rizan Jalil, Pusat Komunikasi Korporat
- 14 views