Skip to main content

Syarikat pelajar UMPSA, Redroots Agro Technology raih 3 anugerah di Innopreneur 4.0

BANGI, 23 September 2026 – Syarikat pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Redroots Agro Technology berjaya meraih tiga anugerah dalam Program Innopreneur 4.0 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Bangi Golf Resort, Selangor. 

Majlis penutupan disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Hazlan Abdul Hamid.

Program ini dianjurkan oleh Bahagian Pertandingan Strategik, KPT dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti. 

Syarikat pelajar UMPSA, Redroots Agro Technology raih 3 anugerah di Innopreneur 4.0

Bertemakan ‘Smart Innovation, Future Entrepreneurs’, program tersebut menghimpunkan 43 pasukan terpilih dari seluruh negara, melibatkan lapan universiti awam (UA), 17 politeknik dan 18 kolej komuniti.

Menurut Pengarah Pusat Pembangunan Usahawan Kreatif (PUPUK) UMPSA, Dr. Nurul Ashykin Abd Aziz, Redroots Agro Technology memenangi tempat ketiga Anugerah Produk Inovasi Perniagaan dan tempat kedua Anugerah Jualan Terbanyak, kedua-duanya bagi Kategori Teknologi Kejuruteraan. 

“Syarikat pelajar itu turut menerima Anugerah Khas Usahawan Berpotensi bagi Kategori Universiti Awam.

“Syarikat pelajar Redroots Agro Technology mengetengahkan produk sistem fertigasi untuk kegunaan industri pertanian berskala kecil dan sederhana. 

“Sistem ini membantu pengusaha mengurus pembekalan air dan nutrien kepada tanaman dengan lebih teratur melalui penggunaan teknologi IoT,” ujarnya. 

Syarikat pelajar UMPSA, Redroots Agro Technology raih 3 anugerah di Innopreneur 4.0

Pasukan ini dianggotai oleh Muhamad Aqil Izzat  Azaman dan Nurul Shazwanie  Mohd Yazid dari Fakulti Pengurusan Industri (FPI), serta Muhammad Izzat Haikal Idris dari Fakulti Komputeran (FK).

Bagi memperkukuh gerak kerja pasukan, Dr. Nurul Ashykin Abd Aziz dari FPI yang juga merupakan Pengarah Pusat Pembangunan Usahawan Kreatif (PUPUK), tampil membimbing pasukan berkenaan sebagai mentor.

UMPSA turut diwakili oleh syarikat pelajar BakeByte di bawah Inkubator Keusahawanan GiGET bagi Kategori Teknologi Makanan. 

BakeByte mengetengahkan produk energy bar yang diinovasikan agar sesuai dengan keperluan kesihatan semasa. 

Pasukan ini dianggotai oleh Muhammad Haziq Syahmi Muhamad Asre dan Aminuddin Jahid Md Hatta dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), serta Muhammad Faris  Mohd Zahar dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP). 

Manakala mentor pasukan ialah Pengurus, Pusat Sains Matematik (PSM), Halizan Mohmood. 

Disediakan Oleh  Dr. Nurul Ashykin Abd Aziz, Pusat Pembangunan Usahawan Kreatif (PUPUK)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri