UMPSA cipta sejarah, SPE Student Chapter dinobat terbaik dunia
KUANTAN, 9 Jun 2026 – Society of Petroleum Engineers (SPE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Student Chapter melakar sejarah di persada global apabila berjaya merangkul anugerah tertinggi daripada Society of Petroleum Engineers (SPE), iaitu ‘2026 Presidential Award for Outstanding Student Chapter’.
Pengiktirafan antarabangsa yang amat berprestij itu telah menobatkan SPE UMPSA SC sebagai antara 12 student chapter terbaik di dunia bagi kategori Penglibatan Komuniti (Community Involvement) untuk kumpulan Saiz Sederhana (Medium Size Group).
Pencapaian luar biasa itu turut meletakkan UMPSA sebaris dengan 11 universiti terkemuka dunia lain yang turut menerima pengiktirafan tertinggi tersebut, antaranya Texas A&M University (AS), King Abdullah University of Science and Technology (Arab Saudi), Bandung Institute of Technology (Indonesia), Universitas Indonesia, dan British University in Egypt.
Kejayaan ini amat membanggakan memandangkan persaingan sengit melibatkan keseluruhan lebih 420 buah student chapter SPE yang aktif di seluruh dunia.

Antara inisiatif CSR berimpak tinggi yang telah dilaksanakan sepanjang sesi 2025/2026 sehingga melayakkan SPE UMPSA SC meraih anugerah ini termasuklah program Share the Wear 2.0 (jualan amal barangan terpakai) dan program CSR ZooCorp yang menggabungkan usaha pembersihan zoo bersama-sama dengan wakil pihak industri.
Selain itu, impak komuniti turut diperluas ke peringkat antarabangsa melalui program CSR ke Panti Asuhan Al-Akbar di Riau, Indonesia, yang dijalankan menerusi kolaborasi mobiliti bersama SPE UMPSA-UIR.
Sebelum melangkah ke pusingan global ini, SPE UMPSA SC terlebih dahulu membuktikan kecemerlangan apabila dianugerahkan '2026 Regional Outstanding Student Chapter Award – Asia Pacific Region' pada 24 April lalu.
Kejayaan di peringkat serantau tersebut telah melonjakkan organisasi itu ke pusingan akhir penilaian Presiden.
Anugerah global ini amat sukar dimenangi kerana hanya diberikan kepada kelompok sepuluh peratus pemohon terbaik sahaja di peringkat dunia berdasarkan penilaian ketat terhadap impak program (70 peratus), kekuatan testimoni ahli (15 peratus), inovasi (sepuluh peratus), dan kuantiti program (lima peratus).
Penyampaian anugerah kepada para pemenang dijadualkan berlangsung pada majlis President’s Luncheon bersempena dengan persidangan antarabangsa SPE Annual Technical Conference and Exhibition (ATCE) pada 21 hingga 23 Oktober 2026 akan datang di Houston, Texas, Amerika Syarikat.
Kejayaan cemerlang ini turut didorong oleh komitmen dan dedikasi tinggi barisan penasihat SPE UMPSA Student Chapter daripada FTKKP, iaitu Profesor Madya Ts. Dr. Norida Ridzuan, Ts. Dr. Norasyikin Ismail, Chm. Ts. Dr. Siti Qurratu' Aini Mahat, bersama-sama barisan kepimpinan pelajar, ahli-ahli SPE UMPSA SC serta pihak fakulti yang sentiasa memberikan bimbingan, sokongan dan dorongan berterusan.
Pada masa yang sama, kejayaan berprestij ini turut disokong oleh kerjasama strategik daripada SPE KL Section, SPE Terengganu Section, Reservoir Link Energy Sdn. Bhd. dan Polygon Synergy Venture Sdn. Bhd., selain para penaja program lain yang telah menzahirkan komitmen serta sokongan tidak berbelah bahagi dalam memperkukuh pelaksanaan pelbagai inisiatif dan aktiviti SPE UMPSA SC sehingga berjaya mengangkat nama UMPSA ke persada antarabangsa.
Kejayaan bertaraf dunia ini diharapkan dapat menjadi pemangkin semangat untuk warga universiti terus melakar kecemerlangan dan mengharumkan nama UMPSA serta negara di pentas antarabangsa.
Disediakan Oleh: Muhammad Nur Aqmal Nazri, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP)
- 27 views
Reports by: