UMPSA hulur bantuan kepada pelajar mangsa kebakaran rumah
KUALA TERENGGANU, 4 Jun 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus komited dalam memastikan kebajikan pelajarnya sentiasa terpelihara apabila menghulurkan bantuan kepada seorang pelajar yang terkesan akibat insiden kebakaran rumah yang berlaku pada 2 Jun lalu.
Pelajar berkenaan, Nor Damia Batrisyia Mohamad Yusri yang sedang mengikuti pengajian di Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), telah kehilangan kediaman keluarganya dalam kejadian kebakaran yang berlaku selepas waktu Maghrib di Jalan Tok Hakim, Kuala Terengganu.
Menurut maklumat yang diterima, ketika kejadian berlaku, Nor Damia bersama ahli keluarganya berada di rumah neneknya.
“Syukur, tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam insiden tersebut,” ujarnya.
Kebakaran menyebabkan hampir 70 peratus struktur rumah musnah terbakar dan punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Buat masa ini, keluarga mangsa menumpang sementara di rumah datuk dan nenek mereka kerana keseluruhan harta benda serta keperluan asas keluarga telah musnah.

Prihatin dengan musibah yang menimpa pelajar berkenaan, wakil Bahagian Pembiayaan Kebajikan dan Disiplin Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Mohd Safwan Rizal Saripudin bersama pensyarah FSTI, Ts. Dr. Siti Noor Hidayah Mustapha telah mengadakan lawatan ziarah ke kediaman keluarga pelajar bagi menyampaikan sokongan moral dan bantuan kebajikan.
Dalam lawatan itu, pihak UMPSA turut menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM1,000 menerusi Manfaat Skim Kasih UMPSA di bawah kategori Ihsan Musibah sebanyak RM 500 dan sumbangan individu daripada FSTI sebanyak RM500 bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh pelajar dan keluarganya.
Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, pihak universiti sentiasa prihatin terhadap kebajikan pelajar dan akan terus berusaha membantu mereka yang berdepan dengan musibah atau kesulitan.
“UMPSA bukan sekadar institusi pendidikan, malah sebuah keluarga besar yang sentiasa bersama-sama warga universiti dalam apa jua keadaan.
“Kami berharap bantuan yang disalurkan ini dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh Nor Damia dan keluarganya serta memberikan semangat untuk terus tabah menghadapi ujian ini.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang tampil menghulurkan bantuan dan sokongan.
“Semoga keluarga pelajar ini dipermudah segala urusan dan dikurniakan ketabahan serta kekuatan untuk bangkit semula,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, UMPSA sentiasa komited dalam memupuk budaya prihatin dan cakna terhadap kebajikan warga universiti, khususnya pelajar yang berhadapan dengan situasi kecemasan atau musibah yang tidak diduga.
“Inisiatif penyaluran bantuan melalui Skim Kasih UMPSA merupakan antara usaha berterusan universiti dalam memastikan kebajikan pelajar sentiasa diberi perhatian agar mereka dapat meneruskan pengajian dengan lebih tenang meskipun berdepan cabaran kehidupan,” katanya.
Pihak UMPSA mendoakan agar Nor Damia Bayrisya dan keluarganya terus diberikan kekuatan serta dipermudah segala urusan dalam menghadapi ujian ini.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 19 views
Reports by: