UMPSA perkasa bakal pemimpin muda menerusi Leaders of Tomorrow 4.0
PAYA BESAR, 26 Julai 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh peranannya dalam melahirkan generasi pemimpin masa depan apabila seramai 99 pelajar sekolah menengah sekitar daerah Kuantan menyertai Program Leaders of Tomorrow (LOT) 4.0 yang berlangsung selama tiga hari dua malam bermula 24 hingga 26 Julai lalu.
Program anjuran Perwakilan Mahasiswa Kolej Kediaman 1 (PEKA 1) itu bertujuan memperkasa potensi kepimpinan, membina keyakinan diri serta memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai kehidupan di institusi pengajian tinggi (IPT).
Sepanjang program berlangsung, para peserta mengikuti pelbagai aktiviti berimpak tinggi yang memberi penekanan terhadap pembangunan kepimpinan, kemahiran komunikasi, kerja berpasukan dan pemikiran kritis.
Antara pengisian yang disediakan ialah sesi suai kenal, lawatan sekitar kampus UMPSA, perkongsian bersama fakulti, aktiviti bersama Akademi A.D.A.B, explorace, sesi bersama barisan pemimpin pelajar serta Malam Apresiasi sebagai kemuncak program.

Melalui pendekatan pembelajaran secara interaktif, peserta bukan sahaja berpeluang mengasah kemahiran menyelesaikan masalah dan meningkatkan keyakinan diri, malah dapat membina semangat kerjasama serta mengembangkan potensi kepimpinan dalam suasana yang kondusif.
Program ini turut membuka ruang kepada peserta untuk berinteraksi secara langsung dengan mahasiswa dan warga UMPSA sekali gus memberikan gambaran lebih jelas mengenai kehidupan di universiti serta peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh Pengetua Kolej Kediaman 1, Ts. Dr. Yusnita Muhamad Noor.
Turut hadir ialah Penasihat Program Leaders of Tomorrow 4.0, Nur Hazuani Nasaruddin dan Pengarah Program, Mimi Diana Sahar.
Dalam ucapannya, Ts. Dr. Yusnita berkata, kepimpinan bukan sekadar memimpin orang lain, sebaliknya bermula dengan keupayaan memimpin diri sendiri melalui pembentukan sahsiah, disiplin, integriti dan kesediaan untuk terus menimba ilmu.
“Leaders of Tomorrow juga merupakan platform terbaik untuk mencungkil potensi kepimpinan generasi muda agar lebih bersedia mendepani cabaran masa hadapan.
“Kejayaan penganjuran program itu merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Wakaf FELDA selaku penaja utama serta Sinar Sejati Resources dan KK Mart sebagai penaja bersama, di samping sokongan pengurusan UMPSA, pihak sekolah, fasilitator dan jawatankuasa pelaksana.
“Penganjuran Leaders of Tomorrow 4.0 diharapkan dapat diteruskan sebagai platform strategik dalam melahirkan generasi muda yang berilmu, berintegriti dan berdaya kepimpinan, sekali gus mengukuhkan hubungan antara UMPSA dengan komuniti sekolah melalui perkongsian ilmu, pengalaman serta aspirasi pendidikan tinggi,” ujarnya.
Inisiatif itu juga selari dengan aspirasi UMPSA untuk melahirkan graduan holistik, kompeten dan berdaya saing yang mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta negara di peringkat global.
Disediakan Oleh: Iffah Aqilah Ag Jaludin, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP)
- 109 views
Reports by: