Skip to main content

YBR NextGen Bootcamp 2026 lonjak potensi, bina masa depan generasi muda

PAYA BESAR, 13 September 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama Yayasan Bank Rakyat (YBR) selaku penaja telah berjaya menganjurkan YBR NextGen Bootcamp 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 11 hingga 13 September 2026 di UMPSA Kampus Paya Besar.

Program itu melibatkan seramai 250 orang pelajar daripada 20 buah sekolah menengah di daerah Kuantan dan Pekan, masing-masing melibatkan enam buah sekolah dari daerah Kuantan dan 14 buah sekolah dari daerah Pekan. 

YBR NextGen Bootcamp 2026 lonjak potensi, bina masa depan generasi muda

Para peserta yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini diberi pendedahan bagi memperkukuh persediaan akademik, membina keyakinan diri serta meneroka hala tuju pendidikan dan kerjaya selepas tamat persekolahan.

Sepanjang tiga hari program, peserta didedahkan dengan pelbagai pengisian merangkumi strategi menghadapi peperiksaan, pembangunan diri, ketahanan mental, perancangan hala tuju pendidikan, persediaan temu duga dan biasiswa serta literasi kewangan. 

Turut diadakan aktiviti interaktif, riadah, lawatan kampus dan sesi perkongsian inspirasi bersama alumni serta tokoh jemputan.

Pelbagai pengisian yang disusun secara interaktif ini memberi peluang kepada peserta untuk memperoleh ilmu dan pengalaman baharu, di samping meningkatkan kemahiran komunikasi, kerja berpasukan dan keyakinan diri dalam menghadapi fasa penting selepas tamat persekolahan.

Majlis penutup program turut dihadiri Menanggung Kerja Ketua Bahagian Operasi Yayasan Bank Rakyat, Mohammad Ferdaus Muhammad Sharoni  dan Ketua Pegawai Operasi UMPSA, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim. 
Turut hadir wakil daripada Pejabat Pendidikan Daerah Pekan, Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan serta Bank Rakyat Cawangan Pekan.

Penganjuran YBR NextGen Bootcamp 2026 mencerminkan komitmen YBR dan UMPSA dalam memperkasakan potensi generasi muda melalui pendidikan, pembangunan sahsiah dan pendedahan kepada pelbagai peluang masa hadapan.

Semoga segala ilmu, pengalaman dan inspirasi yang diperoleh sepanjang program menjadi bekalan kepada para peserta untuk melangkah dengan lebih yakin dalam mengejar impian serta membina masa depan yang lebih gemilang.

YBR NextGen Bootcamp 2026 lonjak potensi, bina masa depan generasi muda

Oleh: Nora Dhia Arissa Mohamad Napi, Sukarelawan Yayasan UMPSA
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim