Agha Khilfi raih Anugerah Khas Mercu Sanjung Pemerkasaan Mahasiswa
KUANTAN, 20 Jun 2024 – Mantan Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2022/2023, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Agha Khilfi Suarno dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) diiktiraf ikon pemerkasaan mahasiswa dalam mengangkat agenda pemerkasaan di UMPSA.
Beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Mercu Sanjung Pemerkasaan Mahasiswa sempena Majlis Malam Anugerah Mercu Sanjung (MARS), UMPSA baru-baru ini.
MARS mengiktiraf mahasiswa yang telah menunjukkan kepimpinan yang holistik dan kompeten selari dengan inisiatif strategik dalam melahirkan graduan yang berkualiti.
Agha mendedahkan kisah hidupnya yang penuh dengan cabaran dan ujian menjadi kekuatan buatnya untuk terus melangkah jauh.
Beliau kini bertugas sebagai Penolong Pengurus Besar di KYP Educational Sdn. Bhd. (KESB) dan juga Pegawai Khas kepada Pengarah Sekreteriat Mahasiswa Negeri Pahang.
Beliau dilahirkan daripada keluarga yang susah dan mempunyai tiga orang adik-beradik iaitu dua lelaki serta seorang perempuan.
Jelas anak sulung ini lagi, ibunya banyak berkorban dan berjuang untuk membesarkan mereka selepas kematian ayahnya.
“Saya telah kehilangan ayah pada tahun 2019 dan sejak dari itu ibu bekerja keras untuk membesarkan kami.
“Tidak terhenti disitu, ujian besar buat kami apabila adik lelaki saya baharu sahaja meninggal dunia pada 3 Mei yang lalu.
“Kini, saya hanya tinggal bersama ibu dan adik perempuannya yang berumur 16 tahun dan masih bersekolah,” katanya.
Agha mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sultan Abdullah sebelum melanjutkan pelajarannya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pahang Muadzam dan Sekolah Menengah Kebangsaan Cenderawasih untuk pendidikan menengahnya.
Beliau kemudian menyambung pengajiannya di UMPSA dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal dan seterusnya menyambung pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang Kejuruteraan Pembuatan juga di UMPSA.
Di samping cemerlang dalam bidang akademik, Agha juga turut bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti di kampus.
Katanya, beliau juga terlibat dalam aktiviti kebudayaan dan kesenian, serta menjadi wakil universiti dalam pertandingan tarian di beberapa universiti seperti Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dari tahun 2017 hingga 2020.
“Kami berjaya merangkul Anugerah Kumpulan Harapan, Anugerah Tatarias Terbaik dan Anugerah Perdana bagi Pertandingan Zapin Makum 2018 juga Berjaya menjadi Johan bagi Festival Zapin Johor 2019,” tambahnya.
Pencapaian Agha tidak terhenti di situ, kecekapan dalam bidang sukan juga menjadi kelebihannya apabila beliau meraih gelaran Naib Johan Sukan Fakulti 2018 bagi sukan badminton dan Juara Badminton Terbuka Sukan Norma Baharu UMPSA.
Keberhasilan dan pengalaman Agha turut diiktiraf menerusi penglibatan aktifnya dalam kegiatan kepimpinan.
Beliau pernah menyandang beberapa jawatan utama antaranya sebagai Timbalan Presiden Sekreteriat Mahasiswa Anak Pahang UMPSA, Setiausaha Pembangunan Majlis Perwakilan Pelajar UMPSA, Setiausaha Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Ahli Panel Pemikir bagi Yayasan Era Suria dan Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar UMPSA.
Ketika ditanya tentang harapannya kepada pelajar-pelajar di luar sana, beliau berharap agar pelajar lain sentiasa bersungguh-sungguh dan berusaha dalam mencapai impian mereka.
“Usaha bersungguh-sungguh dalam apa yang diminati, yakin dan percaya dengan apa yang kita percaya, usaha semampu boleh dalam memastikan kita sentiasa yang terbaik.
“Pastikan juga agar kita sentiasa mengutamakan akademik, tetapi aktiviti kurikulum bukanlah nombor dua, juga letakkan seiring dengan kepentingan akademik kita kerana pengalaman di luar bilik darjah adalah sangat berharga dan susah untuk kita beli di mana-mana,” ujarnya.
Mengakhiri perkongsiannya, beliau sentiasa berpegang teguh dengan prinsip hidupnya dalam apa jua yang dilakukan.
“Tidak salah bermimpi kerana ia percuma, tetapi salah jika mimpi itu dibiarkan saja menjadi mimpi.
“Buatlah sesuatu perkara tanpa tapi dan lakukan tanpa nanti,” katanya sambil mengukir senyuman.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 76 views