Atlet tae kwan do UMPSA unggul di Hwa Rang Hero Cup 2026
PETALING JAYA, 19 April 2026 – Pasukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mencipta sensasi apabila meraih pencapaian cemerlang dalam Hwa Rang Hero Cup Taekwon-Do Championship 2026 yang berlangsung di Dewan Komuniti B.U.11, Bandar Utama, Selangor baru-baru ini.
Tumpuan utama terarah kepada atlet berbakat dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Muhammad Muizzuddin Ahmad Zol yang menjuarai kategori Sparring Black Belt Lightweight (Kyorugi) dengan memperoleh pingat emas selepas menewaskan pencabar dari kelab luar dengan skor 3 - 1 dalam perlawanan akhir yang penuh dramatik.
Suasana di dalam Dojang ketika perlawanan akhir nyata mendebarkan apabila sorakan penyokong bergema, diselangi detik-detik senyap setiap kali kedua-dua atlet mengatur langkah.
Dalam ketegangan itu, Muizzuddin kekal tenang, memperlihatkan disiplin tinggi dan kawalan emosi yang luar biasa pada saat-saat genting.
Dari sudut teknikal, beliau memanfaatkan sepakan Dolyo Chagi (sepakan pusing) yang pantas dan tepat untuk mengutip mata awal, sebelum mengukuhkan kedudukan dengan Yeop Chagi (sepakan sisi) yang berfungsi sebagai serangan balas efektif.
Kepantasan gerakan kaki dan keupayaan membaca ritma lawan membolehkan beliau mengawal tempo perlawanan dari awal hingga akhir.

Analisis strategi menunjukkan kemenangan Muizzuddin bukan sekadar bergantung kepada kekuatan fizikal, sebaliknya didorong oleh kecerdasan taktikal yang tinggi.
Beliau bijak memancing serangan lawan sebelum melancarkan serangan balas, di samping mengekalkan pertahanan yang kukuh bagi mengekang percubaan mata oleh pihak lawan.
Selain itu, UMPSA turut mencatat kejayaan membanggakan melalui beberapa orang atlet lain.
Nurul Shafika Mohammad Ali dari Fakulti Pengurusan Industri (FIM) muncul juara bagi kategori Sparring Junior Colour Belt Micro Weight dengan memperoleh pingat emas diikuti Nur Shahira Mohd Sufian dari Fakulti Komputeran (FK) bagi kategori Sparring Senior Colour Belt Heavyweight juga memenangi pingat emas dan Muhammad Thaqif Mohd Luqman dari FTKKP bagi kategori sparring senior colour belt microweight turut menggondol pingat emas.
Pingat perak pula disumbangkan oleh Muhammad Irfan Mohd Zulkipli dari FTKKP bagi kategori Sparing Senior Colour Belt Middleweight.

Dalam acara Poomsae, beberapa atlet turut menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan meraih pingat gangsa termasuk Mohd Syazwan Solih dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) (Pattern Senior Colout Belt), Siti Sarah Aleya Mazlan dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) (Pattern Junior Colour Belt) dan Jeggades a/l Vengadesan dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) (Pattern Black Belt 1st).
Manakala Muhammad Haziq Daniel Mohd Najib dari FTKKP bagi kategori Sparring Senior Colour Belt Lightweight turut menyumbang gangsa dalam kategori sparring.
Kejohanan yang berlangsung dari 17 hingga 19 April 2026 itu menghimpunkan penyertaan pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) dan kelab luar menjadikannya platform penting untuk mengasah kemahiran dalam kedua-dua disiplin Kyorugi dan Poomsae.
Pihak pengurusan Kelab Tae kwan do ITF UMPSA turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mohammad Baihaqi Hasni, selaku Penasihat Kelab ITF UMPSA atas bimbingan dan sokongan berterusan dalam memastikan kejayaan pasukan.

Kejayaan ini mencerminkan hasil latihan konsisten di Dojang dan semangat juang tinggi dalam kalangan atlet.
Ia sekali gus menjadi bukti bahawa gabungan teknik, strategi dan kekuatan mental mampu mengangkat nama UMPSA sebagai antara pencabar utama dalam arena tae kwan do IPT.
Disediakan Oleh: Mohammad Baihaqi Hasni, Pusat Bahasa Moden (PBM)
- 28 views
Reports by: