Teater Ratna Kadhal raih 4 anugerah di Festival Teater Zon Timur 2026
KUANTAN, 11 Ogos 2026– Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melakar pencapaian membanggakan apabila dinobatkan sebagai Naib Johan Festival Teater Negeri Zon Timur 2026 yang berlangsung baru-baru ini
Lebih membanggakan, produksi UMPSA yang membawa naskah ‘Ratna Kadhal’ turut meraih Anugerah Sinografi Terbaik, sekali gus membuktikan keupayaan pasukan Senandika UMPSA dalam mengangkat aspek visual, ruang, artistik dan reka bentuk pentas sebagai elemen penting dalam sesebuah pementasan teater.
UMPSA mewakili negeri Pahang bertemakan Roh Alam dan Falsafah Hidup, telah memilih naskah ‘Ratna Kadhal’ karya Khairunazwan Rodzy arahan Fendi alumni Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) tahun 2019, Fendi Shah Zabri.
Menurut Fendi Shah, Ratna Khadal mengangkat kisah cinta dan konflik kemanusiaan yang merentasi perbezaan bangsa, agama serta zaman.
“Pendekatan pementasan yang menggabungkan elemen tradisi dengan sentuhan persembahan kontemporari menjadikan karya ini mempunyai kekuatan tersendiri dalam menyampaikan mesej kepada penonton,” katanya.
Tambahnya, beliau berasa bangga dengan pencapaian yang diperoleh.
“Produksi ini sempurna dengan gabungan dua kelab teater UMPSA iaitu Senandika dan Waris dengan penglibatan alumni.
“Produksi ini memberi komitmen yang baik sehingga menghasilkan jalan cerita yang baik untuk dipertontonkan.
“Saya berharap ahli produksi dapat belajar daripada kejayaan ini,” katanya.
Selain itu, dua orang ahli produksi Ratna Kadhal turut menerima pengiktirafan individu iaitu pelajar Fakulti Kejuruteraan (FK), Ahmad Afi Ahmad Ridzuan dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, manakala pelajar FSTI, Kirthee Nair R. Sivakumar menerima Anugerah Pelakon Harapan Wanita.

Ahmad Afi berkata bahawa beliau berasa seronok sepanjang produksi.
“Berada dalam produksi ini menggamit memori mengadakan teater di UMPSA.
“Saya berharap UMPSA lebih menyokong kelab teater di UMPSA supaya mereka boleh berkembang lebih jauh,” katanya.
Kejayaan di Festival Teater Negeri Zon Timur 2026 turut memperlihatkan komitmen dan kesungguhan mahasiswa dan alumni dalam memperkasa seni teater sebagai wadah kreativiti, ekspresi dan pembentukan bakat mahasiswa.

Pencapaian ini bukan sekadar sebuah kemenangan, sebaliknya menjadi pengiktirafan terhadap kerja keras seluruh produksi yang telah bertungkus-lumus menjayakan pementasan tersebut.
Kejayaan yang diraih ini menjadi satu lagi pencapaian penting buat teras kebudayaan UMPSA serta menyemarakkan lagi usaha universiti dalam memperkukuh penglibatan mahasiswa dalam bidang seni dan kebudayaan.

Festival Teater Negeri Zon Timur 2026 turut menjadi platform penting dalam mempertemukan bakat-bakat teater di Zon Timur, sekali gus membuka ruang kepada generasi muda untuk terus berkarya, bereksperimen dan membawa seni teater ke tahap yang lebih tinggi.
Tahniah diucapkan kepada seluruh produksi Ratna Kadhal atas pencapaian membanggakan ini.
Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak karya berkualiti serta pencapaian yang lebih gemilang pada masa akan datang.
Disediakan Oleh: Noor Afiza Binti Mohd Asmi, Pusat Kebudayaan
- 18 views
Reports by: