Canselor UMP saran perkukuh budaya kebahagiaan dan integriti dalam sistem pendidikan
Kuantan, 10 November- Penyesuaian strategik universiti hendaklah mengutamakan aspek ketelusan urus tadbir berpaksikan integriti, akauntibiliti dan etika yang sama sekali tidak boleh dikompromi oleh kepimpinan universiti. Malahan, aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mewujudkan sistem pendidikan yang bersendikan budaya kegembiraan, kebahagiaan, kasih sayang, kemanusiaan dan hormat-menghormati adalah amat tepat pada masanya.
“Budaya murni tersebut tidak hanya relevan dalam memperkaya pengalaman kampus mahasiswa kita, tetapi juga patut diterapkan dalam projek-projek kemasyarakatan UMP sama ada di dalam atau di luar negara,” titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang merupakan Canselor UMP dalam Majlis Konvokesyen UMP Kali Ke-13 yang berlangsung di UMP Gambang. Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad dan Naib Canselor UMP, Prof. Dato Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim.
Dalam pada itu, jaringan strategik dan professional juga tidak hanya penting dalam konteks penjenamaan universiti, tetapi juga dalam aspek pemajuan mahasiswa, pengembangan penyelidikan serta pengimarahan ekosistem wakaf dan endowmen di universiti. Justeru baginda berharap supaya kepimpinan UMP memberikan perhatian khusus kepada inisiatif Industry Network Alumni Platform atau INAP sebagai medium interaksi strategik para alumni secara intra-cluster dan inter-cluster demi manfaat kerjaya dan pembangunan alma mater universiti. Ianya juga merupakan satu cabaran kepada graduan untuk mula memikirkan sumbangan balas kepada UMP yang menjadi semaian subur kejayaan mereka kini.
Dalam pada itu, Tengku Abbdullah mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan (Elektronik) kepada mantan Pengarah Urusan Motorola Solutions Sdn. Bhd, Dr. Hari Narayanan P Ondiveeran sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap ketokohan, kewibawaan dan kepimpinan beliau yang kini menyandang Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia.
Sementara itu, Prof. Dato Sri Dr. Daing Nasir, berkata seiring dengan universiti teknologi, UMP membangunkan aplikasi Valid8 yang berfungsi merekodkan maklumat pendidikan graduan UMP. Aplikasi mudah alih yang dihasilkan dapat mengesahkan kesahihan sesebuah ijazah menggunakan kod QR pada ijazah tersebut dan semua data graduan disimpan dalam bentuk Blockchain yang tidak dapat digodam atau dipalsukan.
Selain itu juga, konvokesyen kali ini juga buat pertama kalinya UMP juga memperkenalkan e-Book Konvokesyen sebagai amalan hijau dan seiring dengan penggunaan teknologi, para ibu bapa, graduan, pelajar dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat pantas berkaitan majlis konvokesyen dalam e-Book menggunakan aplikasi UMP Convocation dengan capaian Android (versi 4.0 ke atas) dan iOS (versi 8.0 ke atas).
Majlis juga menyaksikan seramai 28 orang penerima anugerah dan hadiah kecemerlangan universiti atas pencapaian akademik, sumbangan khidmat komuniti serta kecemerlangan dalam pelbagai bidang. Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) dianugerahkan kepada Joanne Bong Shan Shan dari Fakulti Pengurusan Industri (FPI) dan Umi Zaidatul Azeera Mohd Nawi dari Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian (FSKKP).
Manakala Tan Jia Shun dari FPI dinobatkan Anugerah Canselor dan Lee Wei Keat dari FSKKP menerima Anugerah Naib Canselor. Lain-Lain anugerah adalah Anugerah Profesional Pembelajaran Sepanjang Hayat- Program Profesional/Eksekutif yang dianugerahkan kepada YM Tengku Dato’ Sri Kamarulzaman Al Haj Ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar dan Kumaran A/L Alagamuthu Nadar dari UMP Advanced.
Manakala anugerah lain termasuklah Anugerah Emas, Anugerah Profesor Dato’ Dr. Mashitah Mohd Yusoff, Anugerah Srikandi Matahari, Anugerah Prihatin Komuniti Puspanita, Anugerah Kecemerlangan Hei Tech, Anugerah Kecemerlangan Ir. Kee Book Hee, Anugerah Kecemerlangan Sapura Industrial Berhad, Anugerah Kecemerlangan Telekom Malaysia Berhad, Anugerah Kecemerlangan Perodua, Anugerah Kecemerlangan Dimension Bid dan Anugerah Kecemerlangan Soho Niaga. Manakala hadiah kecemerlangan industri adalah Hadiah Kecemerlangan Yayasan Pahang, Hadiah Kecemerlangan Program Dwi –Ijazah sumbangan Association of German Engineers, Hadiah Kecemerlangan BASF Petronas Chemicals Sdn. Bhd dan Hadiah Kecemerlangan Setegap Ventures Petroleum Sdn. Bhd.
Seramai 652 graduan diijazahkan dalam Sesi Pertama Majlis Konvokesyen yang turut dihadiri pelajar sekolah sekitar Kuala Pahang, Pekan yang menerima manfaat daripada Bridge of Love Project @ KP House kelolaan UMP di perkampungan nelayan di Kuala Pahang. UMP meraikan seramai 2773 graduan yang akan menerima ijazah dan diploma masing- masing dalam empat sidang yang berlangsung selama dua hari. Seramai 2773 dirai dalam majlis yang berlangsung dengan empat sidang. Daripada jumlah ini seramai 63 orang merupakan graduan Ijazah Sarjana Kedoktoran (PhD), 172 orang graduan Sarjana, 221 graduan Sarjana Eksekutif, 52 orang Bacelor Eksekutif, 1713 orang graduan Sarjana Muda, 40 graduan Dwi Ijazah, 270 orang graduan Diploma dan 242 orang graduan Diploma Eksekutif membabitkan sembilan fakulti dan dua pusat pengajian.
- 168 views