Karnival Bahasa Inggeris HE ELCa tingkat kemahiran dan kebolehpasaran graduan
GAMBANG, 9 November 2024 - Penganjuran Higher Education English Language Carnival (HE ELCa) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menyaksikan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sebagai tuan rumah penganjuran menjadi platform penting bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia.
Dengan objektif untuk memperkasa pelajar agar lebih yakin dan mahir dalam bahasa Inggeris, karnival ini menyediakan peluang bagi mereka untuk berkomunikasi di luar kelas secara tradisional.
Seramai 1,000 orang hadir terdiri daripada pelajar dari hampir keseluruhan universiti awam (UA) di Malaysia yang telah melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti dan pertandingan yang diadakan sejak Jun lalu.
Majlis perasmian penutupan telah dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Kecemerlangan Akademik (BKA), Jabatan Pendidikan Tinggi, Profesor Madya Dr. Azidah Abu Ziden.
Hadir sama Penolong Naib Canselor (Pengembangan Akademik), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh, Dekan Pusat Bahasa Moden, Profesor Madya Dr. Nik Aloesnita Nik Mohd Alwi dan Pengarah Pusat Hubungan Antarabangsa, Profesor Madya Dr. Mohd Azmir Mohd Azhari.
Menurut Profesor Madya Dr. Azidah, matlamat kementerian adalah untuk memupuk graduan holistik dan individu yang bukan sahaja berkemampuan dari segi akademik tetapi juga memiliki kreativiti, pemikiran kritis, dan keyakinan yang diperlukan untuk berkembang maju dalam ekonomi hari ini.
“HE ELCa juga sejajar dengan matlamat kementerian yang lebih luas, termasuk mengukuhkan ekosistem penyelidikan dan menggalakkan kerjasama antarabangsa.
“Penguasaan bahasa Inggeris bukan sekadar kemahiran malahan ia turut membuka potensi dan peluang lebih luas serta membolehkan kita berhubung dengan dunia global,” katanya yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
“Melalui HE ELCa, kementerian berharap dapat menyediakan graduan yang berdaya saing di peringkat antarabangsa dan mampu menyumbang kepada masa depan negara yang lebih baik,” katanya.
Selain itu, pelajar yang menyertai karnival ini bukan sahaja mengasah kemahiran bahasa, tetapi turut membangunkan kualiti diri yang diperlukan untuk bersaing di pentas global.
Karnival ini juga berjaya melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang secara akademik tetapi juga memiliki kemahiran berfikir kritis dan keyakinan diri yang diperlukan dalam ekonomi masa kini.
Turut berlangsung upacara penyampaian hadiah bagi lima kategori utama pertandingan iaitu ‘Mobile Journalism', 'Click, Create & Educate', 'Harmony Huddle', 'Trashion Show' dan 'Green City Challenge' dan Powerhouse Award.
Beberapa UA turut terlibat sebagai pempamer antaranya Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi MARA (UiTM0, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan lain-lain.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 35 views