Program GOT KPT-MDEC latih bakal graduan UMPSA pacu ekonomi digital global
PUTRAJAYA, 6 November 2024- Penganjuran Program Global Outsourcing Talent (GOT) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui inisiatif-inisiatif inovatif yang disesuaikan dengan ekonomi digital.
Program GOT adalah sebahagian daripada inisiatif di bawah payung PENJANA KPT-Career Advancement Programme (PENJANA KPT-CAP) yang menyasarkan pelajar tahun akhir dan graduan bagi membangunkan kemahiran digital mereka melalui latihan dalam bidang seperti Reka Bentuk Web, Media Kreatif, Pengurusan Media Sosial, Pembantu Maya, dan Linguistik.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Datuk Ts. Mustapha Sakmud meraikan kejayaan seramai 5,518 peserta yang berjaya dilatih sebagai pekerja bebas digital atau ‘freelancer’ berkemahiran tinggi pada Majlis Penutupan yang diadakan di KPT.
Hadir sama Pengerusi MDEC, Tuan Syed Ibrahim Syed Noh, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman serta Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dato’ Profesor Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman.
Turut sama hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMPSA, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd. Rusllim Mohamed dan Pengarah Pusat Kerjaya UMPSA, Profesor Madya Dr. Izwan Ismail.
Dalam ucapannya, Datuk Ts. Mustapha turut menekankan mengenai kepentingan ekonomi digital sebagai masa depan Malaysia dan menyatakan bahawa program ini membantu graduan dan mahasiswa untuk lebih bersedia menghadapi ekonomi gig yang kini semakin memainkan peranan penting dalam ekonomi global.
Dalam pada itu, Profesor Ts. Dr. Aida berkata, program ini mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam ekonomi gig yang semakin diterima ramai sebagai sumber pendapatan alternatif.
“Saya berharap agar pelajar UMPSA dapat mengambil peluang ini dan mengikuti latihan yang disediakan kepada para graduan bagi memberikan mereka kemahiran relevan yang diperlukan dalam pasaran kerja global.
“Malah, melalui inisiatif ini, ia bukan sahaja dapat membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan tetapi juga memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab bakat digital bertaraf dunia,” katanya.
Sementara itu, bagi penerima Anugerah Pencapaian Cemerlang (Kategori Universiti), Muhammad Abid Akhras Mohd Ansarullah Eu Abdullah@Eu Kin Kuang yang merupakan pelajar UMPSA yang kini mengikuti pengajian di tahun ketiga program Sarjana Muda Sains Komputer (Sistem Komputer dan Rangkaian) dengan Kepujian berkata, beliau bersyukur apabila dipilih untuk menerima anugerah dan berpeluang mengikuti Latihan Profesional Menjadi Digital Freelancer.
“Program ini memberi pendedahan buat pelajar berkaitan bidang kerja sebagai Pembantu Alam Maya, Reka Bentuk Web dan IT serta Media Kreatif.
“Program ini adalah khas buat pelajar yang bersedia untuk menjadi freelancer terlatih.
“Saya berharap agar pengalaman yang ditimba ini dapat memberi peluang buat saya untuk bersaing di pasaran global dan mendapat tempat dalam pasaran kerja di mana ekonomi gig yang semakin mendapat tempat dewasa ini,” katanya yang merupakan pelajar daripada Fakulti Komputeran (FK).
Disediakan oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 74 views