Skip to main content
Program Mobiliti Engineering Exchange CHEST X Mechapro di Universitas Islam Indonesia (UII): Perkongsian ilmu dan inovasi tenaga boleh diperbaharui

Program Mobiliti Engineering Exchange CHEST X Mechapro di Universitas Islam Indonesia (UII): Perkongsian ilmu dan inovasi tenaga boleh diperbaharui

YOGYAKARTA, 27 September 2024 – Seramai 20 orang pelajar daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menyertai program mobiliti Engineering Exchange CHEST X Mechapro di Universitas Islam Indonesia (UII) baru-baru ini.  

Program selama lapan hari itu diketuai oleh Pensyarah FTKKP yang juga penasihat program, Ts. Junaidi Zakaria dan Dr. Jun Haslinda Haji Sharaffuddin, serta diiringi penasihat bersama, Ts. Dr. Azizul Helmi Sofian. 

Menurut Dr. Jun Haslinda, program ini bertujuan untuk memperluas pemahaman dalam bidang kejuruteraan serta inovasi tenaga. 

“Kehadiran kami adalah untuk memberikan bimbingan dan sokongan kepada para pelajar dalam menjalani pelbagai aktiviti dan pembelajaran sepanjang program tersebut.

“Salah satu acara kemuncak dalam program di sini adalah sesi kuliah khas yang disampaikan oleh Ts. Junaidi bersama pensyarah UII, Dr. Muflih Arisa Adnan. 

“Mereka membincangkan topik bertajuk ’Innovation in Renewable Energy: Driving the Future’, yang menyentuh mengenai kepentingan inovasi dalam tenaga boleh diperbaharui sebagai pendorong utama ke arah masa depan yang lebih lestari,” ujarnya. 

Seramai 40 orang pelajar dari Malaysia dan Indonesia telah menyertai sesi ini.

Tambahnya lagi, mereka bertukar idea dan pendapat mengenai cabaran serta potensi dalam bidang tenaga hijau.

“Dalam usaha merangsang kreativiti dan pemikiran kritikal para pelajar, mereka telah dibahagikan kepada tujuh kumpulan untuk mengadakan sesi perbincangan dan penyelesaian masalah berkaitan inovasi tenaga yang turut menyentuh berkenaan kesediaan kedua-dua negara dalam komitmen mencapai pelepasan karbon sifar bersih (net-zero emmissions) menjelang tahun 2050. 

“Setelah melalui proses perbincangan dan penilaian, tiga kumpulan terbaik telah dipilih berdasarkan kualiti idea dan kebolehlaksanaan projek yang dicadangkan.

“Program ini bukan sahaja berjaya memperkukuh hubungan akademik antara dua negara, malah turut memberikan peluang kepada pelajar untuk memahami perspektif antarabangsa dalam bidang kejuruteraan dan tenaga boleh diperbaharui,” ujarnya. 

Selain BASF Chemicals Sdn. Bhd. yang juga merupakan penaja utama dan rakan industri, program itu turut ditaja oleh Era Jaya Plantation Sdn. Bhd., Forthwith Engineering Sdn. Bhd., Zhes Engineering (M) Sdn. Bhd., MNR Multitech Sdn. Bhd., Taat Bestari Sdn. Bhd., KN WWS Next Pro AIA Berhad, Fluid Center UMPSA, SMARRT Centre UMPSA, UMPSA Advanced, dan orang-orang perseorangan.

Disediakan oleh: Ts. Dr. Azizul Helmi Sofian, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia  Dan Proses (FTKKP)
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim