UMPSA tawarkan program berteraskan keperluan industri dan teknologi semasa
PEKAN, 16 Jun 2026 - Tahniah kepada semua adik-adik lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang telah menerima tawaran kemasukan bagi lapan Program Diploma Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bagi Sesi Akademik 2026/2027.
Namun demikian, isu yang sering dibangkitkan ialah terdapat sesetengah pelajar mendapat tawaran selain daripada pilihan pertama semasa permohonan.
Setiap tahun perkara berkaitan penawaran tempat ke universiti awam (UA) menjadi topik perbincangan para ibu bapa dan pelajar.
Bagi tahun 2025, bilangan pelajar yang mendaftar untuk peperiksaan SPM ialah 413,299 orang dan layak mendapat sijil peperiksaan SPM ialah seramai 366,435 orang.
Manakala bilangan pelajar cemerlang (Gred A+, A & A-) dalam semua mata pelajar berjumlah 13,779 orang berbanding tahun sebelumnya.
Statistik ini menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun dan memberikan cabaran kepada UA bagi menawarkan tempat pengajian ke UA.
Sepertimana maklum, sistem permohonan UPU menguruskan kemasukan ke 20 UA merangkumi lima Universiti Penyelidikan, enam Universiti Komprehensif, lima Universiti Berfokus dan empat Universiti Teknikal termasuk UMPSA selain 36 Politeknik, 105 Kolej Komuniti dan Bahagian Pendidikan Tinggi, Majlis Amanah Rakyat (MARA)
Dasar pemilihan pelajar adalah berasaskan prinsip meritokrasi dengan mengguna pakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum.
Oleh yang demikian, ada beberapa perkara utama yang perlu diberikan perhatian sebelum susunan keutamaan kursus dibuat.
Dasar pemilihan berdasarkan kepada beberapa kriteria SPM.
Bahagian Kemasukan dan Ambilan UA (BKPA) Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) telah menetapkan dasar pengambilan pelajar berdasarkan kriteris seperti berikut.
i) Pencapaian akademik dalam SPM.
ii) Pencapaian dalam aktiviti ko-kurikulum.
iii) Kombinasi mata Pelajaran yang bersesuaian dengan program pengajian dimohon.
iv) Gred matapelajaran untuk tujuan pengiraan markah akademik.
v) Memenuhi syarat am & syarat khas yang ditetapkan.
vi) Lulus temuduga/ujian kemasukan sekiranya memohon program bertemu duga.
vii) Pilihan program pengajian mengikut keutamaan dan akhir sekali ialah sudah semestinya bergantung kepada bilangan tempat yang ditawarkan pusat pengajian.
Bagi ambilan Sesi Akademik 2026/2027, BKPA, JPT telah membuat beberapa penambahbaikan dalam sistem permohonan UPU.
Antaranya penambahbaikan yang dibuat ialah calon boleh menyemak bilangan permohonan semasa bagi setiap program ditawarkan.
Calon juga tidak lagi perlu membuat pengemaskinian keputusan SPM kerana padanan data keputusan SPM dibuat secara automatik bersama Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).
Selain itu, beberapa perkara lain perlu menjadi asas pertimbangan bagi pemilihan program sepertimana berikut:
Minat
Perkara pertama yang perlu diberi perhatian ialah minat calon.
Sudah semestinya pemilihan program adalah berteraskan kepada minat calon. Calon tidak boleh dipengaruhi dalam pembuatan keputusan pemilihan program melainkan kepada berdasarkan minat calon itu sendiri.
Syarat Permohonan
Untuk kemasukan ke UA, calon perlu memenuhi Syarat Am kemasukan bagi mata pelajaran berikut iaitu Kepujian Bahasa Melayu dan Lulus Sejarah dalam peperiksaan SPM.
Syarat Khas Program
Perkara seterusnya ialah syarat khas program. Setiap program mempunyai syarat khas berbeza antara satu sama lain sepertimanya yang ditetapkan oleh Senat Universiti. Calon perlu menyemak keperluan syarat khas program bagi pemohon memenuhi keperluan syarat khas tersebut. Calon yang memenuhi keperluan syarat khas program mempunyai peluang cerah untuk ditawarkan.
Merit Program
Sepertimana dimaklumkan sebelum ini, pemilihan adalah berdasarkan kepada kaedah meritokrasi. Setiap program mempunyai mata merit yang berbeza. Jumlah mata merit yang diperlukan boleh disemak melalui apps UPU Pocket.
Formula pengiraan adalah seperti berikut:
Subjek Wajib (40 peratus) (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah)
Subjek Pilihan (30 peratus) dua subjek mengikut aliran
Subjek Tambahan (10 peratus) dua subjek tambahan
Kokurikulum (10 peratus) Markah aktiviti kokurikulum
Jumlah merit = ((Jumlah/80) x 90) + Kokurikulum
Merit program di UMPSA tidaklah terlalu tinggi julat antara 63 -83 mata merit. Semakin tinggi merit yang diperoleh calon semakin cerah peluang calon untuk ditawarkan kemasukan.
Pemilihan Universiti
Salah satu daripada aspek pemilihan yang perlu diberi perhatian ialah berkaitan pemilihan universiti. Banyak keadaan di mana pemohon terlalu tertumpu kepada beberapa universiti ternama sahaja sedangkan program serupa turut ditawarkan oleh UA yang lain. Ini menyebabkan peluang untuk ditawarkan menjadi sempit dan terhad bergantung kepada bilangan unjuran yang ditawarkan bagi setiap program.
Pengisian Sistem Permohonan UPU
Calon bertanggungjawab untuk memastikan setiap maklumat yang diisi semasa membuat permohonan UPU adalah tepat dan betul. Calon wajib mengisi setiap maklumat yang diminta berserta dokumen lengkap yang jelas dan terang. Ada sesetengah keadaan calon melepasi semua syarat kelayakan masuk namun, demikian semakan mendapati dokumen yang dikemukakan tidak lengkap, tidak jelas/kabur dan tidak menepati sepertimana yang diperlukan. Ini mengakibatkan permohonan calon tidak dapat diproses ke peringkat seterusnya.
Selain itu, calon boleh mendapatkan khidmat nasihat secara terus dengan menghubungi UA untuk mendapatkan khidmat nasihat serta penerangan lebih jelas berkaitan program yang diminati. Ini penting bagi memastikan proses konsultasi antara calon dan UA berlaku semasa tempoh pemilihan UPU berlangsung. Calon boleh bertanya apa sahaja soalan berkaitan dan selepas itu boleh membuat pertimbangan sewajarnya bagi memastikan apa yang diimpikan tercapai. Setiap UA pasti membuka kaunter konsultasi kepada para pelajar dan ibu bapa bagi tujuan membantu apa jua persoalan yang dihadapi mereka.
Bagi kemasukan ke UMPSA, terdapat lapan program yang ditawarkan buat lepasan SPM dan 43 program peringkat ijazah sarjana muda selain satu program Asasi Sains dan Teknologi (AST). Namun demikian, untuk program Asasi ia ditawarkan melalui saluran terbuka dan permohonan secara terus ke UMPSA. Program ini tiada di dalam senarai permohonan UPU.
Berdasarkan kepada pengalaman lalu peluang kemasukan ke Universiti Teknikal seperti UMPSA sangatlah tinggi selagi calon melepasi syarat am dan syarat khas program ditetapkan. Purata merit program tidaklah terlalu tinggi dan semua program yang ditawarkan adalah program tidak bertemu duga.
Selaku Universiti Teknikal yang memfokuskan kepada penawaran program berteraskan Kejuruteraan dan TVET Termaju (Advanced TVET) yang kini merupakan pilihan utama pelajar dan ibu bapa, UMPSA komited untuk melahirkan graduan berkualiti tinggi, berketerampilan serta berkemahiran melalui pendekatan akademik dan praktikal yang diperlukan industri.
Pendekatan dan pelaksanaan ‘work-based learning’ (WBL)’ memberikan peluang yang cukup baik kepada pelajar tahun akhir merasai sendiri pengalaman latihan industri bersama pemain industri. Dengan kadar kebolehpasaran graduan yang tinggi iaitu sebanyak 97.2 peratus membuktikan program yang ditawarkan berkualiti dan mendapat tempat di pasaran pekerjaan.
Untuk sebarang pertanyaan boleh layari portal rasmi Pusat Pemasaran dan Kemasukan UMPSA di admission.umpsa.edu.my atau study.umpsa.edu.my.
Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 24 views