WELLT 2025 pacu jalinan akademik dan budaya serantau melalui keindahan bahasa dan suara global
PEKAN, 8 Oktober 2025 – Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sekali lagi mengorak langkah dalam memperkukuh dan memacu jaringan akademik dan budaya serantau menerusi penganjuran Webinar on Language Learning and Teaching Practices 2025 (WELLT2025) yang bertemakan ‘Nusantara Discourse: Regional Language and Culture – Malaysia & Vietnam Perspectives’.
Program ini telah berjaya menghimpunkan lebih daripada 170 orang peserta yang terdiri daripada ahli akademik, pelajar, dan pengamal bahasa bukan sahaja dari Malaysia dan Vietnam, tetapi turut disertai oleh peserta dari Brunei, Indonesia, China serta bandar-bandar metropolitan seperti Brussels dan New York.
Kehadiran peserta daripada pelbagai latar geografi ini menjadikan webinar tersebut wadah ilmiah yang signifikan dalam memperkukuh hubungan akademik, memperluas jaringan kolaborasi global, dan memperdalam pemahaman terhadap silang budaya serantau.
Dekan PBM, Profesor Madya Dr. Zuraina Ali dalam ucapan alu-aluannya menegaskan bahawa penganjuran ini mencerminkan komitmen UMPSA terhadap pengukuhan kerjasama akademik antarabangsa melalui pemahaman budaya dan bahasa.
“Program ini menjadi bukti komitmen kami terhadap pemahaman budaya dan kerjasama akademik serantau.
“Kami amat menghargai kehadiran para penceramah yang sudi berkongsi pandangan dan kepakaran mereka dalam wacana ini.
“Usaha sebegini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Vietnam, tetapi juga membuka ruang kepada dialog dan perkongsian ilmu yang bermakna,” ujar beliau.
Webinar yang berlangsung selama tiga jam itu turut menampilkan tiga penceramah utama dari Malaysia dan Vietnam yang membicarakan tema lintas disiplin merangkumi linguistik, antropologi budaya, dan diplomasi antara tamadun.
Penceramah pertama, Pensyarah Pelawat di PBM UMPSA, Dr. Jurgen Martin Burkhardt, telah membentangkan topik ‘Berawan and Malays: Linguistic, Religious, Cultural and Political Connections’.
Beliau mengupas hasil penyelidikan linguistik mengenai komuniti Berawan di Sarawak, termasuk hubungan sejarah, keagamaan, dan politiknya dengan masyarakat Melayu, sekali gus memperlihatkan kesinambungan identiti dan bahasa dalam konteks kepelbagaian etnolinguistik di Malaysia.
Sesi kedua pula menampilkan, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Latihan Sumber Manusia Asia, Universiti Vietnam, Profesor Madya Dr. Phan Thi Hong Xuan dengan pembentangan bertajuk ‘Cultural Anthropology and Cross-Cultural Comparison within ASEAN’.
Dalam pembentangan beliau, simbol budaya seperti rumah panjang, topi konikal, dan pakaian tradisional dijelaskan sebagai manifestasi nilai bersama antara masyarakat Asia Tenggara yang membentuk identiti kolektif ASEAN.
Slot ketiga menampilkan Konsul Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh City, Firdauz Othman yang berkongsi pengalaman diplomatik melalui tajuk ‘Vietnamese and Malay Cultures: A Comparative Analysis’.
Beliau mengupas persamaan dan perbezaan budaya antara Malaysia dan Vietnam dari aspek makanan, adat, struktur sosial, dan politik, serta menekankan pentingnya kefahaman budaya dalam hubungan diplomatik, pendidikan, dan pembangunan insan.
WELLT 2025 turut disemarakkan dengan segmen persembahan budaya yang memperlihatkan kesenian sebagai bahasa sejagat penyatu komuniti ASEAN.
Antara persembahan tersebut ialah deklamasi sajak ‘Harum Emas Masa Depan’ karya dan persembahan Fadhlina Che Arshad dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis yang menyanjung bahasa Melayu sebagai warisan bangsa dan simbol kebersamaan Nusantara; persembahan sape Borneo oleh Brandon Xavier, pelajar UMPSA, yang mengalunkan melodi etnik Sarawak penuh harmoni; serta tarian dan nyanyian tradisional Vietnam oleh pelajar dari Vietnam National University Ho Chi Minh City (VNUHCM) yang menggambarkan kekayaan warisan budaya Vietnam.
Sesi soal jawab interaktif bersama penceramah membuka ruang wacana intelektual yang mendalam, mencakupi isu-isu seperti cabaran pengajaran bahasa serantau, adaptasi silang budaya dalam konteks pendidikan tinggi, dan strategi memperkukuh literasi budaya dalam kalangan pelajar ASEAN.
Menurut Pengarah Webinar, Jamilah Bebe Mohamad, inisiatif ini turut berakar daripada jalinan kolaborasi akademik yang terjalin di Festival of Languages and Cultures (FLC) 2025, anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada Mei lalu.
“Program seperti ini bukan sahaja memperkukuh hubungan akademik antara Malaysia dan Vietnam, tetapi turut meneguhkan semangat serantau ASEAN melalui diplomasi budaya dan bahasa,” ujarnya.
Program diakhiri dengan sesi bergambar dan rumusan harapan agar hubungan akademik dan budaya antara Malaysia dan Vietnam terus diperkukuh melalui program susulan berbentuk kolaborasi penyelidikan, mobiliti pelajar, dan seminar silang budaya.
WELLT 2025 dengan jelas menegaskan bahawa bahasa dan budaya bukan sekadar instrumen komunikasi, tetapi merupakan teras diplomasi dan kemanusiaan yang mampu menyatukan rantau ini di bawah panji kebersamaan ASEAN.
Disediakan Oleh: Yanti Salina Shaari, Mardhiyyah Zamani dan Amy Zulaikha Mohd Ali, Pusat Bahasa Moden (PBM)
- 91 views
Reports by: