Skip to main content

UMPSA sambut Hari Alumni pada setiap 12 Ogos

PEKAN, 26 Julai 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bakal menyambut Hari Alumni yang pertama pada 12 Ogos 2024 bagi menandakan satu lagi pencapaian penting dalam sejarah universiti ini.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin mengumumkan tarikh Hari Alumni UMPSA pada 12 Ogos setiap tahun dalam sidang media sempena Majlis Pelancaran Program Edutourism dan Hari Alumni UMPSA di Pusat Rekreasi Air, UMPSA Pekan baru-baru ini.  

Menurut beliau, dalam mesyuarat Majlis Alumni Universiti Awam Bil. 2/2021 pada 17 Jun 2021 menetapkan tarikh 18 Julai setiap tahun telah diiktiraf sebagai Hari Alumni Universiti Awam sebagai meraikan penubuhan Majlis Alumni Universiti Awam pada 18 Julai 2020.

UMPSA sambut Hari Alumni pada setiap 12 Ogos

“Justeru, UMPSA memilih tarikh 12 Ogos sebagai memperingati Majlis Konvokesyen Pertama Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (KUKTEM), yang kini dikenali sebagai UMPSA. 

“Pada awalnya, tarikh 12 Ogos 2006 menyaksikan seramai 364 orang graduan telah diisytiharkan bergraduat.

“Maka, UMPSA memilih tarikh 12 Ogos setiap tahun untuk diisytiharkan sebagai Hari Alumni UMPSA bersempena hari pertama bermulanya Majlis Konvokesyen diadakan,” ujarnya. 

Katanya lagi, menerusi Pusat Perhubungan Alumni UMPSA, pelbagai usaha diadakan bagi memperkasakan institusi alumni agar sentiasa relevan dengan perkembangan semasa. 

“Selain itu, ia juga merupakan salah satu strategi inisiatif untuk menggalakkan alumni agar terus mendampingi universiti secara berterusan. 

“Inisiatif ini juga merupakan langkah signifikan untuk mempererat hubungan antara universiti dan para graduan. 

“Matlamat utama adalah untuk menggalakkan alumni terus mendampingi universiti dan merapatkan hubungan melalui pelbagai aktiviti tahunan,” katanya. 

Menurutnya, sehingga 21 Julai 2024, jumlah alumni UMPSA telah mencapai seramai 44,763 orang, termasuklah 43,732 alumni tempatan dan 1,031 alumni antarabangsa. 

“Sambutan Hari Alumni akan memberikan platform kepada para alumni untuk berkumpul, berkongsi pengalaman, dan memperkukuhkan hubungan dengan alma mater mereka.

UMPSA sambut Hari Alumni pada setiap 12 ogos

“Sebagai tambahan kepada sambutan Hari Alumni, beberapa program strategik dan kerjasama turut dijadualkan,” katanya.
Ujarnya, antaranya adalah Majlis Temu Mesra Alumni Sarawak yang akan diadakan di Bintulu pada 16 Ogos 2024, Majlis Temu Mesra Alumni Selatan dijangka pada bulan September dan Temu Mesra Alumni Timur dijangka pada bulan November 2024. 

“Saya juga ingin menyeru agar alumni dapat sama-sama menyertai program ‘Alumni Turun Padang’ bersempena Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-19 pada tahun ini. 

“Platform ini membolehkan alumni berkongsi kepakaran dan motivasi kepada para pelajar selain dari ceramah kerjaya, sesi networking fakulti-alumni dan sukaneka alumni bersama fakulti. 

Dalam pada itu juga, UMPSA telah mengiktiraf tokoh alumni terkemuka pada Majlis Anugerah Mercu Sanjung 2023 kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal tahun 2010 yang kini bertugas sebagai Pengurus Besar Permula Sdn. Bhd. dan juga merupakan penerima Ikon Alumni iaitu Datuk Ts. Mohd Faiz Zulkifli. 

Manakala Muhammad Redzuad Ras Abdul Rask, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Automotif tahun 2018 kini sebagai Pengarah Urusan MURS Ventures Sdn. Bhd. merupakan penerima Ikon Alumni Inspirasi dan Lt. (PA) Kang Wei Xian, graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrikal tahun 2019, Pegawai Operasi Pasukan Khas Pertahanan Awam, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia merupakan penerima Ikon Alumni Harapan.

Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie berkata, UMPSA melahirkan graduan dan alumni yang bukan hanya berpengetahuan dalam akademik bahkan mempunyai kemahiran insaniah yang selari dengan kehendak industri apabila mencapai 97.3 peratus kadar kebolehpasaran graduan yang antara tertinggi dalam kalangan universiti awam (UA) bagi tahun 2023.

“Sebanyak 83.6 peratus antara tertinggi bilangan graduan berkaitan kerja mahir atau mengikut Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) adalah dalam Kumpulan Utama 1: Pengurus; Kumpulan Utama 2: Profesional; Kumpulan Utama 3: Juruteknik dan Profesional Bersekutu dan antara peratusan tertinggi dalam kalangan UA bagi pendapatan usahawan yang dihasilkan universiti ini. 

“Lebih membanggakan, graduan UMPSA juga memperoleh pendapatan graduan ijazah pertama dengan graduan berpendapatan bulanan RM4,001 dan ke atas serta bergaji premium mencatat peratusan antara tertinggi dalam sektor perkhidmatan (36.2 peratus),pembuatan (20.4 peratus), pembinaan (19.7 peratus), professional, saintifik dan Teknikal (11.5 peratus), maklumat dan komunikasi (10.8 peratus) dan lain-lain (1.5 peratus).

“Selain itu, UMPSA turut menawarkan program berteraskan Kejuruteraan dan Teknologi serta penawaran program kerjasama antarabangsa yang membolehkan universiti mencatat pencapaian antara tertinggi graduan yang bekerja di luar negara,” ujarnya. 

Antaranya, penawaran Program Ijazah Dual UMPSA hasil kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) dan Mannheim University of Applied Sciences (HMA) dan hasil kerjasama dengan Beijing Jiaotong University (BJTU) membabitkan bidang Kejuruteraan Awam, Mekanikal dan Elektrikal yang bakal menyumbang terhadap pembangunan industri rel negara.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Naqiah Puaad