Skip to main content

Faqrur raih Anugerah Mercu Sanjung UMPSA 2024, angkat martabat seni dan warisan budaya

GAMBANG, 16 April 2025 – Nama Nurhaiqal Faqrur Islam Norashid kini terpahat indah dalam lipatan sejarah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) apabila beliau diumumkan sebagai penerima Anugerah Mercu Sanjung UMPSA 2024 dalam satu majlis gilang-gemilang baru-baru ini iaitu Majlis Malam Anugerah Mercu Sanjung (MARS) 2024 yang diadakan di Dewan Kompleks Sukan, UMPSA. 

Lebih bermakna beliau turut dianugerahkan dengan Anugerah Ikon Seni dan Warisan.

Dilahirkan di Hospital Mentakab, Pahang dan dibesarkan di Felda Jengka 5, Faqrur merupakan anak kedua daripada lapan orang adik-beradik. 

Beliau memulakan pendidikan di Sekolah Kebangsaan LKTP Jengka 5, sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 6, Kolej Matrikulasi Pahang dan seterusnya menyambung pengajian di UMPSA dalam program Ijazah Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dengan Kepujian.

Menjawat jawatan sebagai Presiden Kelab Pencak Silat Srikala Satria UMPSA (SRIKALA) bagi Sesi 2024/2025, Faqrur juga merupakan seorang atlet silat seni kategori tunggal putra yang aktif mewakili universiti dalam kejohanan MASUM dan SUKIPT. 

Di samping itu juga, beliau turut bergiat aktif dalam Badan Beruniform Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) UMPSA.

Katanya, beliau secara jujur sangat terkejut apabila namanya diumumkan sebagai penerima anugerah ini. 

“Perasaan saya ketika itu sangat terharu dan gembira, lebih-lebih lagi apabila berjaya melakar sejarah yang indah pada malam penuh gemilang ini.

"Terima kasih UMPSA atas penganugerahan ini. 

“Saya juga sangat teruja apabila berpeluang berjumpa dengan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato‘ Seri Abdul Razak Jaafar dan Naib Canselor, Profesor Dr. Yatimah Alias sejurus selepas menerima anugerah ini,“ ujarnya. 

Tambahnya lagi, beliau sama sekali tidak menjangkakan pencalonan apatah lagi kemenangan, kerana niatnya pada malam itu hanyalah untuk meraikan kejayaan rakan-rakan seperjuangan.

Faqrur raih Anugerah Mercu Sanjung UMPSA 2024, angkat martabat seni dan warisan budaya

Sepanjang pengajiannya di UMPSA, Faqrur telah memberi sumbangan signifikan dalam bidang seni dan sukan. 

Beliau adalah antara individu terawal yang memperkenalkan seni muzik tradisional Gendang Pahang dalam kalangan mahasiswa melalui penubuhan pasukan gendang UMPSA, yang kini giat mengiringi pelbagai program rasmi universiti.

Dalam bidang sukan, kejayaannya meraih Pingat Gangsa dalam Kejohanan MASUM 2024 dan SUKIPT 2024, serta Pingat Perak di Malaysia Varsity Silat International Championship (MAVSIC) merupakan pencapaian yang amat membanggakan. 

Lebih manis lagi, kemenangan di MAVSIC menyaksikan Faqrur berjaya menewaskan wakil elit kebangsaan dari Thailand, sekali gus menjadi atlet pertama dari UMPSA yang menyumbang pingat dalam kategori silat seni di peringkat antarabangsa.

Apabila ditanya mengenai dorongan utama di sebalik segala kejayaannya, Faqrur menyatakan bahawa doa ibu bapa merupakan sumber kekuatan utamanya. 

“Mereka tidak pernah berhenti memberi nasihat dan sokongan dalam apa jua perkara yang saya lakukan. 

“Walaupun mereka insan biasa di mata umum, tetapi luar biasa di hati kami sekeluarga,” katanya.

Faqrur turut berkongsi cabaran terbesar yang dihadapinya iaitu menyeimbangkan komitmen akademik dan kokurikulum. 

Beliau mengorbankan cuti semester untuk latihan intensif menjelang kejohanan, namun tetap berjaya mengekalkan prestasi akademik yang cemerlang.

Pengalaman paling bermakna baginya adalah mendapat bimbingan daripada penasihat dan jurulatih Kelab SRIKALA yang banyak membantu dalam memperkasakan budaya tradisi dan pembangunan atlet silat UMPSA.

Sebagai ikon pelajar, Faqrur berpesan kepada warga UMPSA agar tidak takut untuk mencuba sesuatu yang baharu. 

Katanya, beranilah menyahut cabaran. 

“Setiap niat yang baik pasti akan dibantu oleh Allah SWT. 

“Sabar adalah kunci, dan insya-Allah segalanya akan dipermudahkan,” katanya.

Faqrur menyimpan harapan besar untuk terus menyumbang kepada masyarakat dalam bidang kebudayaan dan kesenian, agar warisan budaya terus terpelihara dan dihargai oleh generasi akan datang.

Bagi beliau, Anugerah Mercu Sanjung bukan sekadar sebuah trofi atau penghargaan, tetapi satu simbol pengiktirafan terhadap usaha dan pengorbanan mahasiswa dalam mengharumkan nama universiti serta memberi sumbangan kepada masyarakat.

Jika diminta merangkumkan keseluruhan perjalanannya dalam satu ayat, Faqrur berkata, keikhlasan dalam setiap perbuatan boleh membuat amal yang kecil bernilai besar.

Semoga kisah inspirasi ini menjadi pembakar semangat buat seluruh warga UMPSA untuk terus mencipta kejayaan dalam apa jua lapangan.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Naqiah Puaad