KUANTAN: Walaupun perjalanan hidup Siti Hawa Apandi berkerusi roda dari peringkat diploma hingga berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) cukup menginspirasikan, kisah sebenar di sebalik kejayaan itu ialah pengorbanan dan sokongan ibunya, Zaidah Tamjis, 63.
Selama lebih sedekad, Zaidah menjadikan kolej kediaman kampus Gambang Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sebagai rumah keduanya.
Beliau berpindah masuk bersama anaknya ketika Siti Hawa memulakan pengajian diploma pada 2007 dan terus setia menemaninya sepanjang pengajian ijazah.
Siti Hawa, 37, yang menghidap Spinal Muscular Atrophy (SMA) iaitu gangguan genetik yang melemahkan dan merosakkan fungsi otot secara progresif, sekali gus menyebabkan otot dikawal menjadi semakin lemah dan rosak secara beransur-ansur, menamatkan pengajian Sarjana Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) pada 2016 sebelum berjaya memperoleh PhD pada tahun lalu.