Skip to main content
UMP E-Newsletter

Aktiviti Pelajar

Jejak Ramadan Palu bangkit keinsafan mahasiswa UMP

BIL. 34  JUN 2019

Pengalaman sukarelawan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam menghulurkan bantuan membantu mangsa tsunami dan gempa bumi di daerah Palu, Sulawesi Tengah, Sulawesi Indonesia tatkala umat Islam menjalani ibadah berpuasa pada 16 Mei 2019 yang lalu memberikan keinsafan terhadap lima mahasiswa UMP. 

Mereka adalah Ezwan Shah Mohd Nordin, Nurul Waheeda Abdu Rahman, Nor Adzwa Rosli, Muhammad Zulhazmi Zakaria dan Nurdiana Wirman dengan diiringi Eksekutif Kanan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA), Abdul Rahman Ahmad.

Misi kemanusiaan ini adalah anjuran Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) dengan kerjasama Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UMP, Persatuan Pelajar Kejuruteraan Kimia (CHEST),  Ibsan Foundation dan Bernama News Channel bersama Ikon Youth of Strength & Happiness (YOSH) iaitu Ardell Aryana dan Nadzmi Adhwa. 

BIL. 34  JUN 2019

Menurut Pengarah Program, Ezwan Shah yang juga Exco Kesukarelawanan dan Khidmat Komuniti Majlis Perwakilan Pelajar UMP, seramai 16 sukarelawan terlibat termasuk mahasiswa UMP dan sasaran program ini untuk menyalurkan bantuan dan dana yang telah dikumpul untuk disampaikan kepada mangsa tsunami dan gempa bumi  sekitar lokasi zon merah bencana gempa bumi dan tsunami iaitu di Balaroa, Pantai Talise, Petobo, Desa Jono Oge dan Desa Sibalaya. 
 
“Sukarelawan Malaysia dibantu oleh Relawan Nusantara Palu dan antara sumbangan termasuklah kelengkapan solat seperti telekung, sejadah dan al-Quran untuk warga Desa Bangga, Dusun 2, Sigi yang merupakan sebuah desa yang teruk terjejas akibat gempa bumi. 

“Peralatan sekolah seperti buku, pensel, bekas pensel dan sebagainya untuk anak-anak hasil sumbangan warga UMP turut disampaikan buat anak-anak di sini,” katanya.
 
Selain itu, terdapat juga sumbangan barang asas yang diberikan untuk warga Desa Bangga dan Dapur Umum hunian sementara di sana yang dikenali sebagai ‘sembako’ yang mengandungi minyak masak, gula, garam, beras dan sebagainya turut dihulurkan buat komuniti Lero Ngapa, Desa Lero dan Darul Tauhid.

BIL. 34  JUN 2019

Manakala hunian sementara atau ‘Huntara’ ini ditempatkan di lereng bukit yang jauh dari laut untuk warga Desa Lero dan Darul Tauhid yang menjadi mangsa tsunami. 

Di sini semua sukarelawan dari Malaysia dan relawan Indonesia dapat beramah mesra bersama warga desa dan mengadakan program bersama anak-anak.
 
Bagi sukarelawan UMP, Nurul Waheeda berkata, mereka juga mengadakan program bersama anak-anak seperti mewarna, belajar bahasa Inggeris dan aktiviti pembelajaran menggunakan modul akademik yang sesuai memandangkan kanak-kanak di sana telah ketinggalan dalam pelajaran dan aktiviti berbuka puasa bersama masyarakat Palu.
 
Sementara itu menurut sukarelawan Nor Adzwa Rosli pula, pihaknya juga telah melakukan aktiviti trauma healing kepada anak-anak Desa Bangga di sekolah bagi menghilangkan trauma anak-anak di sana akibat bencana yang dihadapi. 

“Jelas terpancar keseronokan anak-anak menyambut ketibaan sukarelawan Malaysia dan mereka tetap berminat untuk belajar walaupun berdepan dengan kesukaran akibat kekurangan kemudahan,” katanya. 
 
Manakala bagi Muhammad Zulhazmi Zakaria dan Nurdiana Wirman kedua-duanya bersyukur terpilih berpeluang menyertai misi ini dan dapat menerapkan sikap kesukarelawan dalam diri setiap peserta serta melahirkan keinsafan atas kebesaran Allah SWT serta kesabaran penduduk di sini berdepan dengan musibah serta bencana apatah lagi buat pertama kalinya mereka menyambut Ramadan dalam situasi sebegini. 

Pihaknya juga merakamkan penghargaan terima kasih buat pengurusan UMP terutamanya pihak JHEPA dan fakulti yang banyak menyokong dalammenjayakan Misi Kemanusiaan Palu kali ini. 

Apa yang pastinya ianya menggamit kenangan buat mahasiswa apabila menamatkan pengajian kelak.


Penyelidikan dan Inovasi

Teknologi Penanaman Terung secara fertigasi di dalam kampus UMP

BIL. 34  JUN 2019

Dalam usaha memanfaatkan ruang kosong dalam kampus, UMP Technology Sdn. Bhd. (UMPT) yang merupakan  anak syarikat milik penuh UMP Holdings Sdn. Bhd. yang bertanggungjawab membantu mempergiatkan aktiviti pengkomersialan produk UMP berjaya mengusahakan tanaman pokok terung secara fertigasi di UMP Pilot Fertigation Plant di UMP Kampus Gambang. 

Kajian dan perancangan bagi menjalankan projek ini telah bermula sejak pertengahan tahun lalu, walau bagaimanapun kerja-kerja penyediaan tapak projek dan lain-lain hanya bermula sepenuhnya pada Januari tahun ini setelah mendapat kelulusan pihak pengurusan universiti dan UMP Holdings Sdn. Bhd. 

Menurut Pengurus Besar UMPT, Dr. Nur Aainaa Syafini  Mohd Radzi berkata, tapak fertigasi yang berkeluasan 3.86 ekar ini telah ditanam sebanyak 15,000 pokok terung bagi tujuan komersial dan 1,000 pokok lagi dikhaskan bagi tujuan percubaan dan penambahbaikan teknologi serta produk UMP yang berkaitan sehingga menjadikan jumlah keseluruhan kini sebanyak 16,000 pokok terung yang ditanam. 

“Pokok-pokok terung ini mulai disemai sebelum dipindahkan ke polibeg yang disediakan di tapak semaian pada bulan Mac dan April lalu dan hasil terung mulai dituai sejak pertengahan Mei lalu.

“Alhamdulillah, kini terung ini telah mula boleh dituai dengan hasilnya sekitar 250 hingga 350 kg setiap dua hari dan mengikut jangkaan hasil tuaian ini akan mula meningkat sehingga 1.2 ke 1.5 tan sehari bermula pertengahan Jun ini. 

“Hasil ini dijangka boleh terus dituai sehingga November ini,” katanya. 

Pada masa ini, hasil tuaian dijual secara terus di ladang kepada pemborong dan pasar raya berhampiran pada harga RM6 per kg.

Tambahnya lagi, tanaman fertigasi ini bukanlah sesuatu yang asing bagi UMP. 

BIL. 34  JUN 2019

“Malahan sebelum ini, UMP telah mengusahakan beberapa projek penanaman secara fertigasi bagi tujuan kajian di UMP Model Farm dan beberapa aktiviti kemasyarakatan untuk meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat melalui projek Facelift D’ Kuala di Kuala Pahang.

“Namun, melihat kepada potensi penggunaan sistem terkawal ini melalui aktiviti yang telah dijalankan terutamanya terhadap potensi memberikan pulangan lumayan, iaitu sehingga tiga atau empat kali ganda lebih tinggi berbanding kaedah pertanian konvensional telah menarik minat pihaknya untuk menjalankannya sendiri secara komersial di samping membuka peluang kepada produk-produk UMP untuk mula diguna pakai dalam sistem komersial.

“Fertigasi adalah teknik pertanian yang memaksimumkan hasil tanaman melalui penggunaan air dan baja yang terkawal,” katanya.

Aplikasi ini juga memastikan bahawa kesan negatif baja kepada akar, tanah dan air bawah tanah dapat dielakkan. Apabila menggunakan sistem tanpa tanah seperti fertigasi yang mana substrat dan media seperti sabut kelapa atau sekam bakar digunakan.

Penanaman ini boleh dilakukan tanpa tanah subur dan boleh dilakukan di dalam kawasan bandar ataupun di kawasan dengan tanah yang terhad. Sistem tanpa tanah juga mampu meningkatkan hasil melalui pencegahan penyakit bawaan tanah. 

Selain bertindak sebagai aktiviti penjanaan pendapatan kepada syarikat milik universiti, projek perintis tanaman fertigasi yang dibangunkan ini mempunyai kelebihan tersendiri kerana kedudukannya yang berada di dalam kawasan kampus. 

Beliau turut mengharapkan ladang fertigasi milik UMPT ini sebagai permulaan kepada penggunaan produk-produk UMP yang berpotensi dalam bidang pertanian secara komersial, sebelum dipasarkan secara besar-besaran di pasaran terbuka. 

Pihaknya juga berhasrat untuk meluaskan lagi penanaman sayuran secara fertigasi ini agar UMPT mampu menjadi salah satu pembekal sayuran segar terbesar di negeri Pahang.

Dalam pada itu, melalui projek ini juga dapat membuka peluang pekerjaan kepada mahasiswa UMP dan masyarakat setempat untuk menambah pendapatan mereka. 

UMPT kini dalam proses untuk mengenal pasti kawasan berdekatan yang boleh dipajak kepada syarikat untuk jangka masa tertentu serta turut mendapatkan kawasan tanah yang bersesuaian bagi meluaskan lagi usaha penanaman secara fertigasi ini.

Dalam melaksanakan projek fertigasi ini, UMPT turut mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian sepanjang proses pembangunan projek dan menjalankan kolaborasi bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi tujuan pengkomersialan hasil tanaman. 

Bagi mereka yang berminat untuk menjalankan aktiviti pertanian secara fertigasi ini sendiri, UMPT turut menawarkan perkhidmatan rundingan, serta latihan yang bersesuaian untuk memulakan projek.


Aktiviti Pelajar

Siswazah UMP berbakti hulur sumbangan buat anak yatim

BIL. 34  JUN 2019

Institut Pengajian Siswazah (IPS), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Postgraduate Association berpeluang mengadakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersama-sama dengan anak-anak di Pusat Jagaan Hembusan Kasih Sayang yang terletak di Taman Guru, Kuantan, Pahang pada 30 Mei 2019 yang lalu. 

Dalam program ini, seramai 60 orang anak yatim dan kurang berkemampuan telah menerima sumbangan berupa barangan keperluan asas, makanan dan duit raya.

Menurut Pengarah Program, Helmi Mohamed Isa, program tahunan ini memberi peluang pihaknya bersama siswazah turun padang bertemu dengan penghuni di sini dalam menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

BIL. 34  JUN 2019

“Program CSR ini dapat membentuk sifat kasih sayang dan menghargai golongan yang kurang bernasib baik. 

“Pihak IPS juga berazam agar program-program seperti ini akan terus dilaksanakan pada masa hadapan,” katanya.

Manakala menurut Pengetua Pusat Jagaan Hembusan Kasih Sayang, Mohd Uqbah, untuk menampung tempat tinggal anak-anak tersebut yang terdiri daripada 29 orang lelaki dan 31 perempuan, pihaknya perlu menyewa empat buah rumah.

Oleh itu ujarnya, sumbangan dan bantuan daripada semua pihak yang sudi adalah amat dialu-alukan bagi meringankan beban kewangan di samping dapat membantu para penghuni pusat jagaan tersebut menjalani kehidupan yang lebih selesa. 

Bagi yang mereka yang berhasrat untuk menghulurkan sumbangan boleh menghubungi pihak pengurusan Pusat Jagaan Hembusan Kasih Sayang iaitu Ustaz Uqbah (019-517 3072) atau Puan Nazihah (019-262 5313).