2 pasangan suami isteri bersama menabur bakti, warnai perjalanan perkhidmatan 20 tahun di UMPSA
PEKAN, 8 Oktober 2026 – Perjalanan membina kecemerlangan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) turut diwarnai kisah dua pasangan suami isteri yang bersama-sama mencurahkan bakti dan komitmen dalam melaksanakan amanah sebagai warga universiti.
Kisah tersebut dikongsikan menerusi sesi temu bual bersama Ketua Jabatan (Bahasa Asing), Pusat Bahasa Moden (PBM), Dr. Nor Yazi Khamis, dan suami, Ketua Teknikal, PBM, Dr. Azwin Arif Abdul Rahim, bersempena dengan Majlis Sanjungan Budi dan Apresiasi 2026 yang berlangsung di UMPSA.
Pasangan ini berkongsi pengalaman dan kenangan sepanjang perjalanan berkhidmat selama 20 tahun di UMPSA, termasuk pengalaman melaksanakan tanggungjawab dan amanah dalam bidang masing-masing.
Bagi mereka, tempoh perkhidmatan di UMPSA bukan sahaja menjadi sebahagian daripada perjalanan kerjaya, malah turut membuka ruang untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan universiti serta membentuk kenangan yang bermakna sepanjang bergelar warga UMPSA.

Sementara itu, turut berkongsi kisah perjalanan perkhidmatan selama 20 tahun di UMPSA ialah Profesor Madya Ts. Dr. Norashikin Mat Zain dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) bersama suaminya, Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE).
Kedua-duanya yang merupakan warga akademik UMPSA turut berkongsi pengalaman, kenangan dan perjalanan sepanjang menabur bakti dalam dunia pendidikan tinggi.
Dedikasi dan komitmen yang dicurahkan oleh kedua-dua pasangan ini menjadi sebahagian daripada sumbangan bermakna dalam memperkukuh kecemerlangan UMPSA, di samping memperlihatkan bahawa perjalanan berkhidmat di universiti turut disulami dengan pengalaman, kebersamaan dan kenangan yang akan terus dikenang.
Kisah dua pasangan suami isteri ini menjadi cerminan bahawa setiap warga memainkan peranan penting dalam membentuk perjalanan dan kejayaan sesebuah institusi.
Semoga segala jasa, bakti dan sumbangan yang telah dicurahkan terus menjadi inspirasi kepada seluruh warga UMPSA untuk bersama-sama memperkukuh kecemerlangan universiti serta melakar legasi yang bermakna untuk generasi akan datang.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 35 views
Reports by: