2 sahabat baik tunai impian melanjutkan pengajian bersama di UMPSA
PAYA BESAR, 19 Julai 2026 – Persahabatan yang terjalin sejak di bangku sekolah membawa tuah buat dua sahabat baik dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Selayang, Batu Caves apabila kedua-duanya berjaya melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bagi Sesi Akademik 2026/2027.
Muhammad Fakrul Razif Rafizal dan Syarif Syahiran Iddy Ismail masing-masing berjaya diterima mengikuti pengajian Diploma Sains Industri di Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), UMPSA.
Kedua-duanya meluahkan rasa syukur kerana dapat merealisasikan impian untuk menyambung pengajian di universiti yang sama selepas menamatkan persekolahan di SMK Taman Selayang.
Menurut Muhammad Fakrul Razif, peluang untuk belajar bersama sahabat yang telah dikenali sejak di sekolah menjadi satu semangat baharu untuk mereka saling membantu dan memberi motivasi sepanjang bergelar mahasiswa.
Sementara itu, Syarif Syahiran pula berkata, mereka berharap dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di kampus dan memanfaatkan segala peluang yang disediakan oleh UMPSA untuk membangunkan potensi diri dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Kedua-dua mereka turut berazam untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang dan mengharumkan nama keluarga, sekolah dan universiti pada masa akan datang.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 180 views
Reports by: