20 peserta sertai Camp Survival anjuran UMPSA dan PPDK DAMAI Pekan
PEKAN, 23 September 2024 – Seramai 20 orang peserta telah menyertai Program Camp Survival anjuran Unit Perkhidmatan Orang Kurang Upaya, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (OkUMPSA) dan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK DAMAI) Pekan di Taman Rekreasi Air, UMPSA Pekan.
Menurut Pengarah Program, Norhayati Ismail, program ini akan membantu para peserta membina keyakinan diri melalui cabaran yang sesuai dan memupuk semangat kerjasama antara peserta melalui aktiviti berkumpulan.
“Di samping itu, ia juga dapat meningkatkan kemahiran komunikasi dan kerja berpasukan dalam persekitaran yang pelbagai.
“Pada masa yang sama, ia juga mampu memberi peluang kepada para peserta untuk mengembangkan keterampilan praktis, meningkatkan kepercayaan diri dan kemampuan menyelesaikan masalah.
“Malah, ia juga direka dengan usaha untuk mempertimbangkan keperluan khusus peserta terutamanya peserta OKU untuk dijadikan satu pengalaman yang berharga dan bermanfaat dalam kehidupan mereka,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, selain itu juga, program ini merupakan satu strategi dalam pembangunan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) setempat bagi tujuan pemulihan, latihan, pendidikan dan penyamaan peluang integrasi sosial orang kurang upaya.
“Antara aktiviti yang dijalankan adalah memberi pendedahan asas ikhtiar hidup seperti membuat tempat perlindungan iaitu teknik memasang khemah, teknik menghidupkan api dan juga teknik memasak telur menggunakan tanah,” katanya.
Program selama satu hari itu adalah di bawah kelolaan Penolong Pegawai Latihan Vokasional Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) merangkap fasilitator program, Mohammad Malindo Mohamad Arip dan Mohd Maliki Md Saad.
Selain daripada ahli jawatankuasa PPDK DAMAi sendiri, para peserta lain adalah terdiri daripada staf UMPSA, pelatih dan komuniti setempat.
Disediakan Oleh Fara Hazlini Mohd Som, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni
Jurugambar: Ts. Hairunnisa Osman, Fakulti Sains dan Teknologi Industri