400 pelajar UMPSA timba ilmu pengurusan kewangan bersama Financial Faiz dan CIMB
GAMBANG, 9 Mei 2026 – Seramai 400 pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) membanjiri program Be$mart Financial Literacy bersempena dengan Financial Literacy Month yang dianjurkan dengan kerjasama CIMB bagi memperkukuh tahap celik kewangan dalam kalangan generasi muda.
Program berimpak tinggi itu mendapat sambutan luar biasa apabila menghimpunkan pelajar daripada pelbagai fakulti untuk mendalami ilmu pengurusan kewangan yang semakin penting dalam mendepani cabaran kos sara hidup dan perancangan masa depan.

Lebih istimewa, pihak CIMB telah membawakan pendidik kewangan terkenal tanah air, Faiz Azmi atau lebih dikenali sebagai Financial Faiz, sebagai penceramah jemputan.
Kehadiran beliau berjaya menarik perhatian peserta menerusi perkongsian yang santai, praktikal dan relevan dengan kehidupan mahasiswa.
Sepanjang sesi berlangsung, para peserta didedahkan dengan pelbagai strategi pengurusan kewangan peribadi, teknik membuat keputusan kewangan yang bijak, pengurusan hutang secara berhemah serta kepentingan membina tabiat menyimpan dan melabur sejak usia muda.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan UMPSA bersama rakan strategik industri dalam memperkasakan kemahiran insaniah mahasiswa, khususnya aspek kecerdasan kewangan yang menjadi antara elemen penting dalam melahirkan graduan berdaya tahan dan berdaya saing.
Program Be$mart Financial Literacy diharap dapat menjadi pemangkin kepada perubahan minda mahasiswa untuk mengurus kewangan dengan lebih berkesan, sekali gus membentuk generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai asas kewangan yang kukuh demi menjamin kesejahteraan ekonomi pada masa hadapan.
Disediakan Oleh: Nurul Adlina A'zmi, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), UMPSA
- 73 views
Reports by: