50 kanak-kanak sertai program Khalifah Cilik UMPSA
PEKAN, 3 September 2026 – Seramai 50 peserta kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun menyertai program ‘Khalifah Cilik: Hijaukan Hati, Hijaukan Bumi’ anjuran Persatuan Wanita UMPSA (Matahari) dengan kerjasama Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) serta Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Program yang berlangsung selama dua hari bermula 2 hingga 3 September 2026 di Masjid Al-Jazari, UMPSA Pekan itu bertujuan memberikan pendedahan kepada kanak-kanak mengenai asas ibadah, pembentukan sahsiah serta tanggungjawab sebagai khalifah dalam menjaga kelestarian alam sekitar.
Pada hari pertama, para peserta mengikuti beberapa modul berkaitan penghayatan dan praktikal ibadah, bermula dengan Modul Jom Kenal Solat yang disampaikan oleh Ustaz Bukhari Hasan dalam memberi kefahaman kepada peserta mengenai kepentingan solat dalam kehidupan seharian

Program diteruskan dengan Solat Duha, sebelum peserta mengikuti Modul Wudukku, Cahaya Iman yang disampaikan oleh Ustazah Siti Sarah Sh Mohd Fadil yang memberi penekanan terhadap kepentingan berwuduk dengan betul serta kaitannya dengan kesempurnaan ibadah.
Seterusnya, peserta mengikuti Modul Solat Hebat, Hati Selamat yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Sallehudin Md Derus dalam memberi peluang kepada mereka mempelajari dan mempraktikkan cara solat dengan betul.
Sesi ini turut menekankan beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian bagi memastikan solat dilaksanakan dengan sempurna dan sah.
Pada sebelah petang, para peserta mengikuti Modul Tahsin al-Fatihah yang memberi fokus kepada pembetulan dan pemantapan bacaan Surah al-Fatihah serta bacaan dalam solat yang disampaikan oleh Nurul Fatihah Abdul Rahman.
Sementara itu, hari kedua program dimulakan dengan modul yang bertajuk ‘Saya Khalifah Penjaga Bumi’ yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC), Dr. Suhaidah Hussain.
Dalam sesi tersebut, para peserta didedahkan dengan peranan manusia sebagai khalifah yang bertanggungjawab memelihara bumi dan alam sekitar.
Peserta turut mempelajari kepentingan menjaga kebersihan, memelihara kelestarian alam, mengelakkan kerosakan dan pencemaran serta mengekalkan keseimbangan ekosistem.
Sesi berkenaan mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila peserta kelihatan teruja untuk mempelajari dan mempraktikkan kaedah pengasingan sampah serta konsep 3R (Reduce, Reuse, Recycle).
Program kemudian diteruskan dengan Modul penghasilan ‘Sisa ke Baja’ yang dikongsikan oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Dr. Jun Haslinda Haji Shariffuddin dalam memberi pendedahan kepada peserta mengenai penghasilan baja kompos dari sisa makanan.
Peserta turut mengikuti ‘Modul Penghasilan Eco Soap daripada Minyak Terpakai’ yang memberi pengalaman secara langsung kepada mereka untuk memahami konsep guna semula dan kitar semula dalam kehidupan seharian.
Sebagai pelengkap kepada pengisian STEM dan kelestarian, peserta turut diberi pendedahan dalam teknologi solar.
Presiden Persatuan Wanita UMPSA, Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim berkata, program Khalifah Cilik ini merupakan salah satu usaha Persatuan Wanita UMPSA Matahari dalam membentuk generasi muda yang bukan sahaja mempunyai asas pengetahuan agama yang baik, malah mempunyai kesedaran terhadap tanggungjawab mereka sebagai khalifah dalam memelihara alam sekitar.
“Program ini juga menjadi platform untuk kanak-kanak mempelajari ilmu agama dalam suasana santai dan interaktif, khususnya melalui pengisian berkaitan solat, wuduk dan bacaan al-Fatihah serta menjaga alam sekitar.
“Diharapkan ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini dapat diamalkan dalam kehidupan seharian dan seterusnya membentuk anak-anak yang mempunyai jati diri, berakhlak mulia serta prihatin terhadap agama dan alam sekitar,” ujarnya.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC)
- 36 views
Reports by: