Skip to main content

Bengkel Artikulasi FSTI–KV Chenor buka laluan sambungan pengajian di UMPSA

GAMBANG, 2 Julai 2025 – Seramai 15 orang delegasi daripada Kolej Vokasional (Pertanian) Chenor, Maran yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Nazrol Hassan telah menyertai Bengkel Artikulasi FSTI–KV Chenor yang dianjurkan oleh Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di Dewan Tun Teja, Kampus UMPSA Kampus Gambang.

Menurut Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), FSTI, Ts. Dr. Hanida Abdul Aziz, bengkel ini diadakan bertujuan untuk membuat semakan dan perbandingan struktur kurikulum program Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) yang ditawarkan di KV (Pertanian) Chenor dengan program-program pengajian di FSTI UMPSA.

Bengkel Artikulasi FSTI–KV Chenor buka laluan sambungan pengajian di UMPSA

“Semakan ini bertujuan membuka ruang dan peluang kepada pelajar SVM dan DVM untuk melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dan ijazah sarjana muda di FSTI.

“Kami juga meneliti potensi penawaran program bersama serta mekanisme pemindahan kredit yang boleh dilaksanakan antara kedua-dua institusi.

“Diharapkan bengkel ini dapat memperkukuh kerjasama akademik dan penyelidikan kedua-dua pihak, termasuk cadangan penempatan pelajar latihan industri, pembelajaran sepanjang hayat dan penawaran program latihan jangka pendek,” katanya.

Bengkel itu turut disertai 15 orang staf FSTI UMPSA yang bersama-sama menjayakan sesi perbincangan dan libat urus tersebut.

Disediakan Oleh: Dina Diyana Rastam Tan, Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri