Bengkel Pemerkasaan Juruaudit AQMS Pascasiswazah perkukuh kualiti akademik UMPSA
PEKAN, 30 Mac 2026 – Bengkel Juruaudit Academic Quality Management System Pascasiswazah (AQMS-PG), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Adullah (UMPSA) telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Bankuet Canseleri Tun Abdul Razak, Pekan.
Program itu menghimpunkan seramai 30 orang pensyarah dan pegawai akademik UMPSA dalam usaha memperkukuh amalan jaminan kualiti bagi program pascasiswazah yang melibatkan dua belas prosedur AQMS-PG.
Pengarah Pusat Jaminan Kualiti Akademik (PJKA), Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Juliawati Alias dalam ucapannya menekankan objektif dan tujuan kepentingan pematuhan kepada kualiti akademik serta peranan juruaudit dalam memastikan kelestarian sistem pengurusan kualiti universiti.
“Selain itu, pendedahan ini adalah diharapkan memberi pengetahuan kepada juruaudit semasa Audit Dalam AQMS-PG yang kali pertama diadakan di UMPSA,” ujarnya.
Sesi perkongsian utama telah disampaikan oleh Pengarah Pusat Verifikasi Kualiti (QVC), Profesor Madya Ts. Dr. Mohamad Shaiful Abdul Karim yang memberikan pendedahan berkaitan konsep, prosedur serta amalan terbaik dalam pelaksanaan audit dalaman AQMS bagi peringkat pascasiswazah.
Peserta turut didedahkan dengan pendekatan praktikal bagi meningkatkan keberkesanan audit dan memastikan pematuhan kepada keperluan standard yang ditetapkan.

Manakala menurut salah seorang peserta bengkel dari Fakulti Teknologi Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Dr. Mohd Shamil Shaari, bengkel ini memberi pendedahan yang jelas dan sistematik berkaitan pelaksanaan audit dalaman AQMS, sekali gus meningkatkan kefahaman peserta terhadap standard kualiti akademik pascasiswazah supaya seiring dengan Pelan Strategik UMPSA30.
“Penganjuran bengkel ini amat signifikan dalam meningkatkan kualiti akademik universiti, khususnya melalui pengukuhan proses pemantauan, penilaian dan penambahbaikan berterusan program pascasiswazah.
“Melalui latihan juruaudit yang sistematik, institusi dapat memastikan setiap program memenuhi standard yang ditetapkan dan meningkatkan kredibiliti akademik, kebolehpasaran graduan serta kepercayaan pihak berkepentingan terhadap kualiti pendidikan yang ditawarkan,” katanya.
Bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan UMPSA dalam memperkasa budaya kualiti dan kecemerlangan akademik selaras dengan aspirasi pendidikan tinggi negara serta Pelan Strategik UMPSA30 yang menekankan pengukuhan tadbir urus akademik, pemantapan sistem jaminan kualiti dan pembangunan program pascasiswazah yang berdaya saing di peringkat global.
Disediakan Oleh: Zahiruddin Mohd Zain, Pusat Jaminan Kualiti Akademik (PJKA), Pusat Pengurusan Strategik dan Kualiti (PPSK) dan Jamilah Bebe Mohamad, Pusat Bahasa Moden (PBM)
- 49 views
Reports by: