Bilik 24 Jam Perpustakaan UMPSA magnet komuniti kampus
GAMBANG, 19 Ogos 2025 – Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Kampus Gambang kini menyediakan kemudahan baharu iaitu Bilik 24 Jam yang mampu menampung sehingga 200 orang pengguna dalam satu masa berbanding hanya 50 orang sebelum ini.
Bilik ini direka dengan elemen keselamatan dan keselesaan termasuk sistem pencahayaan mesra pengguna, soket kuasa mencukupi, sambungan Wi-Fi berkelajuan tinggi, serta pemantauan keselamatan 24 jam melalui CCTV.
Menurut Ketua Pustakawan, Kamariah Gono, penyediaan Bilik 24 Jam baharu ini adalah salah satu inisiatif pihak perpustakaan dalam menyokong keperluan pembelajaran kendiri dan budaya belajar sepanjang masa.
“Kami memahami keperluan pelajar yang memerlukan ruang belajar yang kondusif pada waktu luar operasi biasa.
“Tambahan pula, ruang ini menyediakan tempat duduk individu dan berkumpulan, serta kawasan rehat untuk keselesaan pelajar yang belajar dalam jangka masa panjang.
“Kemudahan ini mula dibuka secara rasmi kepada warga universiti bermula 1 Mac 2025 dan mencatatkan kadar penggunaan tertinggi ketika minggu peperiksaan, khususnya pada waktu malam sehingga awal pagi,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, keadaan ini menunjukkan kebergantungan pelajar terhadap ruang pembelajaran fleksibel dan selamat.
“Pihak Perpustakaan akan terus menambah baik kemudahan fizikal dan digital bagi memastikan pengguna memperoleh persekitaran pembelajaran yang kondusif, menyokong pencapaian akademik dan pembangunan pelajar secara holistik,” katanya.

Menurut pelajar pascasiswazah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Mohamad Jamil Arif Mansor, kemudahan ini sangat membantu beliau dalam menyiapkan penulisan tesis.
“Saya memerlukan ruang yang tenang dan kondusif untuk menulis serta menyemak tesis.
“Dengan adanya Bilik 24 Jam yang baharu ini, saya dapat memberi tumpuan sepenuhnya dalam suasana yang selesa dan bebas gangguan, walaupun pada waktu malam,” katanya.
Disediakan Oleh: Mohd Azfarshah Azizan, Wan Rosnur Irma Wan Mohamad, Rosfadilla Mohamad Zainun Dan Wan Nurulhuda Wan Zakaria, Perpustakaan UMPSA
- 45 views
Reports by: