Skip to main content

Ekspo Konvokesyen UMPSA angkat tema ‘Lestari Demi Generasi Madani’

GAMBANG, 2 November 2025 - Ekspo Konvokesyen Ke-20 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang bertemakan ‘Lestari Demi Generasi Madani’, menzahirkan komitmen universiti terhadap kelestarian alam sekitar, kesejahteraan masyarakat dan pembangunan ekonomi mampan.

Majlis Perasmian Ekspo Konvokesyen disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UMPSA, Dato' Seri Abdul Razak Jaafar bersempena dengan Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 yang bakal berlangsung pada 8 hingga 10 November 2025 depan.

Hadir sama Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr Yatimah Alias, Ahli LPU, Agha Khilfi Suarno, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha dan Pendaftar, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim.

Menurut Profesor Dr. Yatimah, Ekspo Konvokesyen Ke-20 UMPSA bukan sekadar sambutan konvokesyen semata-mata, malah merupakan sebuah platform berprestij yang mencerminkan aspirasi mahasiswa dalam membina kemahiran kepimpinan, inovasi, daya usaha dan keusahawanan.

“Ekspo Konvokesyen ini menjadi manifestasi kepada semangat mahasiswa dalam membina kemahiran insaniah dan keusahawanan, di samping memberi peluang kepada mereka menguruskan program berskala besar di peringkat universiti.

“Pada tahun ini, Ekspo Konvokesyen Ke-20 UMPSA diangkat dengan konsep Matlamat Pembangunan Mampan, Sustainable Development Goals (SDG) sebagai teras utama penganjuran, selaras dengan slogan ‘Lestari Demi Generasi’.

“Konsep ini menekankan keseimbangan antara kemajuan teknologi, inovasi dan pembangunan dengan pemeliharaan alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat.

“Pemilihan tema tersebut mencerminkan hasrat UMPSA untuk mendidik dan membentuk graduan yang berdaya saing serta bertanggungjawab terhadap masa depan negara,” ujarnya. 

Profesor Dr. Yatimah juga berkata, melalui pelbagai pameran, forum dan aktiviti interaktif, ekspo ini menjadi platform penting untuk memperkenalkan inisiatif lestari, teknologi hijau dan idea baharu yang memberi nilai tambah bukan sahaja kepada warga kampus tetapi juga kepada komuniti setempat dan negara.

“Ekspo Konvokesyen UMPSA Ke-20 bukan sahaja meraikan kejayaan para graduan, tetapi turut menjadi simbol penyatuan antara ilmu, nilai dan tanggungjawab sosial yang sejajar dengan visi universiti untuk melahirkan generasi madani yang lestari dan berilmu,” katanya. 

Selain itu, lebih 50 program berteraskan konsep umum, madani dan perpaduan, kerohanian dan kebudayaan, serta sukan turut dilaksanakan, menjadikan ekspo ini lebih inklusif dan menyeluruh dalam mendukung semangat Malaysia MADANI.

Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada mahasiswa, malah membuka peluang kolaborasi bersama agensi kerajaan, industri dan masyarakat dalam memperkukuh ekosistem pendidikan serta memperluas jaringan strategik UMPSA.

Dalam pada itu, sebagai satu-satunya universiti di Malaysia yang menerima Anugerah Bendera Hijau Eco-Campus, UMPSA terus membuktikan keunggulannya dalam menerapkan amalan hijau dan lestari di seluruh kampus.

Pengiktirafan ini selari dengan usaha universiti dalam memperkukuh agenda kelestarian sejajar dengan kerangka Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan aspirasi Malaysia MADANI.

Justeru, bagi menyokong Agenda Kelestarian Kampus, UMPSA telah membangunkan Ekosistem Kenderaan Autonomi (AV) yang merupakan manifestasi komitmen padu UMPSA dalam menggabungkan penyelidikan, inovasi dan pemindahan teknologi, ke arah memperkasa bidang mobiliti pintar dan kenderaan masa hadapan di Malaysia.

Ekosistem komprehensif ini merangkumi enam teras utama yang memposisikan UMPSA sebagai peneraju dan pakar rujuk nasional dalam bidang AV dan EV, sekali gus melahirkan modal insan bagi memacu masa hadapan mobiliti pintar serta menyokong aspirasi teknologi hijau negara sesuai dengan tema ekspo konvokesyen pada kali ini.

Lebih 5,000 pelajar hadir memeriahkan program. 

Turut berlangsung pelbagai aktiviti menarik antaranya, Karnival Ekspokonvokesyen Ke-20, Jualan Rahmah, Dialog MADANI, Pameran TVET dan Penyelidikan, Ekspo Niaga serta Pameran Agensi. 

Disediakan oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat 

Foto: Khairu Aidilnishah Rizan, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Hafizatulazlin binti Abdul Aziz