Skip to main content

Empowering Voices: Paya Besar ESG Talks 2025 didik pelajar sekolah menengah tentang nilai SDG dan kepimpinan berintegriti

KUANTAN, 26 Oktober 2025 – Program Empowering Voices: Paya Besar ESG Talks for A Sustainable Future, Siri 2 dan Siri 3 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Astaka dan Auditorium Jaringan Industri dan Komuniti, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Program anjuran Perwakilan Mahasiswa Kolej Kediaman 4 (PEKA4) bersama Pusat Khidmat Parlimen Paya Besar ini menghimpunkan sepuluh buah sekolah menengah dalam daerah Kuantan.

Objektif utama ialah untuk melahirkan generasi muda yang memahami kepentingan prinsip Sustainable Development Goals (SDG) dan Environmental, Social and Governance (ESG) dalam kehidupan seharian serta membentuk pemikiran pelajar ke arah kepimpinan yang berintegriti dan lestari.

Majlis dimulakan dengan ucapan daripada Pengasas Paya Besar ESG Talks, Datin Indera Dr. Sharifah Nur ‘Insyirah Saifuddin Shah.

Katanya, kewujudan bandar pintar sahaja tidak cukup, kita perlu membinanya dengan jiwa dan integriti. 

“Hanya dengan itu, kemajuan digital mampu membawa keadilan dan keamanan untuk semua,” ujarnya. 

Seterusnya, Timbalan Pesuruhjaya dan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk TPj Ahmad Nizam Ismail, menyampaikan ucaptama yang menyorot peranan integriti adalah tunjang kepada pembangunan mampan. 

“Tanpa kejujuran dan akauntabiliti, segala usaha ke arah SDG akan kehilangan makna dan keberkesanan,” katanya. 

Turut hadir memberikan ucaptama akademik ialah Profesor Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam, UMPSA, Profesor Dr. Khairunisa Muthusamy.

Katanya, MCMC menekankan usaha Malaysia dalam memperkukuh infrastruktur digital dan merapatkan jurang digital demi masa depan mampan selaras dengan SDG 9.

Manakala menurut Pegawai Latihan Vokasional, Nasrul Salim Pakheri, program ini menampilkan pembentangan daripada pelajar sepuluh buah sekolah menengah dengan dua topik utama iaitu SDG 9: Industri, Inovasi dan Infrastruktur bertajuk ‘How is emerging technology impacting society?’ serta SDG 16: Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh bertajuk ‘Leadership and integrity, should be inseparable, shouldn't they?’

“Bagi kategori SDG 9, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Panching muncul sebagai johan, diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Goh di tempat kedua dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin di tempat ketiga. 

“Anugerah Pembentang Individu Terbaik dimenangi oleh Syaifazwani Afrina Pauzi dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Panching manakala Anugerah Visualiti Terbaik turut dimenangi oleh sekolah yang sama. 

“Sementara itu, bagi kategori SDG 16, tempat pertama dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin, diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Goh di tempat kedua dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mahkota di tempat ketiga,” katanya. 

Tambahnya, pembentang Individu Terbaik bagi kategori ini ialah Nur Iman Alisyia Azman dari SMK Seri Mahkota dan Anugerah Visualiti Terbaik dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin.

“Pemenang kumpulan masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak RM250, RM150 dan RM100. 

“Manakala bagi kategori Pembentang Individu Terbaik dan Anugerah Visualiti Terbaik, setiap pemenang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM100,” katanya. 

Majlis turut diserikan dengan ucapan aluan oleh Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed yang mewakili UMPSA. 

Turut hadir ialah wakil Pusat Pembangunan Kelestarian UMPSA, Nor Salwana Haji Mohammad Idris. 

Kehadiran program turut melibatkan pengetua sekolah, guru pengiring serta ibu bapa pelajar yang memberikan sokongan penuh terhadap usaha memperkukuh kesedaran dan pendidikan kelestarian dalam kalangan generasi muda.

Perasmian penutup program telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah yang turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak atas usaha memperkasakan pelajar dalam bidang kelestarian dan integriti. 

Empowering Voices-1

Di akhir program, beliau turut mengumumkan pemberian geran khas kepada sekolah yang memenangi tempat pertama bagi kedua-dua tajuk SDG, masing-masing dianugerahkan Geran Projek ESG Perintis Belia Paya Besar sebanyak RM2,000.00 bagi melaksanakan projek kelestarian di sekolah.

Selain itu, UMPSA melalui Perwakilan Mahasiswa Kolej Kediaman 4 turut menerima Geran Inisiatif Komuniti Paya Besar sebanyak RM5,000.00 sebagai pengiktirafan terhadap peranan mahasiswa dalam menyokong pembangunan komuniti dan inisiatif lestari setempat.

Program ini diharap menjadi platform berterusan untuk memperkasa suara pelajar dalam memperjuangkan masa depan yang lestari dan beretika, selaras dengan aspirasi pembangunan mampan negara.

Disediakan Oleh: Nasrul Salim Pakheri, Pusat Tvet UMPSA

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri