Forum Perantis IOC Siri 1: Perkasa kolaborasi universiti–industri melalui program sangkutan industri
GAMBANG, 16 Julai 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh agenda kolaborasi universiti–industri menerusi penganjuran Forum Perantis IoC Siri 1: Sinergi Kerjaya dan Pemerkasaan Industri yang dihadiri hampir 100 orang warga akademik, staf bukan akademik dan wakil industri dalam satu platform perkongsian ilmu, pengalaman, serta amalan terbaik berkaitan program sangkutan industri.
Program yang dikendalikan oleh Pusat Hubungan Industri (PHI), Jabatan Jaringan Industri dan Masyarakat (JIM) merupakan sebahagian daripada inisiatif skim pemantapan kemahiran untuk memperkasakan staf akademik, kumpulan pengurusan dan profesional, serta kumpulan pelaksana menerusi perkongsian strategik.
Menurut Pengarah Kanan (Jaringan Industri dan Masyarakat) Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir. Dr. Chin Sim Yee, usaha ini bukan sahaja memperluas jaringan kerjasama, malah memberi impak positif terhadap pengajaran, penyelidikan, inovasi, dan pembangunan bakat.
“Industri dalam Kampus (IoC) merupakan satu pendekatan strategik di mana pihak industri ditempatkan atau menjalankan aktiviti terpilih di dalam UMPSA bagi tujuan pendidikan, penyelidikan, inovasi, latihan, pemindahan teknologi dan pembangunan bakat.
“Pelaksanaan IoC di UMPSA adalah selari dengan aspirasi Universiti berteraskan slogan Teknologi untuk Masyarakat serta menyokong ekosistem libatsama industri dan dasar-dasar KPT berkaitan.
“IoC juga berfungsi sebagai pemangkin kepada peningkatan kebolehpasaran graduan, pemindahan ilmu dua hala, penjanaan pendapatan universiti serta pengkomersialan hasil penyelidikan,” katanya.
Bagi memberi pemahaman jelas, forum dimulakan dengan Taklimat Polisi Program Sangkutan Industri yang disampaikan oleh Ketua Unit Kompetensi dan Pengembangan Profesional, Pusat Pembangunan Bakat, Jabatan Pendaftar, Muhammad Fauzi Ali.
Taklimat tersebut memberi penerangan terperinci mengenai prosedur permohonan, syarat kelayakan, serta insentif yang disediakan oleh universiti bagi menggalakkan penyertaan warga UMPSA dalam program sangkutan industri.
Program diteruskan dengan sesi perkongsian bertajuk ‘The Power of Industry Attachment: A Testimonial and Impact Report’ oleh Profesor Ir. Dr. Chin Sim Yee.
Beliau mengetengahkan pengalaman, manfaat, serta impak positif hasil pelaksanaan program sangkutan industri yang disertainya di Petronas Chemicals MTBE Sdn. Bhd. selama enam bulan terhadap pembangunan profesional dan pengukuhan hubungan strategik.
Kemuncak program menyaksikan sesi forum yang dikendalikan oleh Pengarah PHI UMPSA, Profesor Madya Dr. Doh Shu Ing.
Forum ini menampilkan barisan panel industri hebat, iaitu Nuraidahidayu Abdul Thalib (Talent Acquisition, Learning & Development ASEAN, Stellantis Gurun (M) Sdn. Bhd.) dan Ts. Norhaizam Mustaffa dari NanoMalaysia Berhad.
NanoMalaysia Berhad merupakan antara rakan industri yang melaksanakan program IoC bersama UMPSA.
Kerjasama ini membolehkan pemindahan teknologi nano dan pembangunan inovasi komersial dilakukan secara terus di dalam kampus, sekali gus membuka peluang sangkutan industri yang berimpak tinggi kepada warga universiti.
Dalam sesi tersebut, kedua-dua panel berkongsi maklumat serta perspektif industri mengenai pembangunan bakat, keperluan kompetensi masa hadapan, amalan terbaik program sangkutan, serta potensi kerjasama ke arah melahirkan modal insan yang relevan dan inovatif.
Pelbagai pandangan turut dikongsikan berkaitan kepentingan pengalaman industri dalam meningkatkan kompetensi, jangkaan industri terhadap bakat masa hadapan, serta usaha memperkukuh jaringan kerjasama strategik.
Forum diakhiri dengan sesi soal jawab yang memberi peluang kepada para peserta berinteraksi secara langsung dengan panel bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan program dan peluang kerjasama pada masa hadapan.
Penganjuran Forum Perantis IoC Siri 1 ini mencerminkan komitmen berterusan UMPSA dalam memperkasa ekosistem IoC melalui pengukuhan kerjasama universiti–industri, perkongsian kepakaran, dan pembangunan modal insan yang kompeten serta bersedia memenuhi keperluan industri masa kini dan masa hadapan.
Disediakan Oleh: Ahmad Hilmy Agir, Pusat Hubungan Industri
- 59 views
Reports by: