Skip to main content
Hari Terbuka Mahasiswa UMPSA platform cetusan idea dan pengembangan bakat mahasiswa

Hari Terbuka Mahasiswa UMPSA platform cetusan idea dan pengembangan bakat mahasiswa

PAYA BESAR, 18 Oktober 2026 – Hari Terbuka Mahasiswa UMPSA x Bizz Fest 2026 berlangsung meriah dengan kehadiran hampir 2,000 mahasiswa yang mengambil peluang meneroka pelbagai aktiviti serta mengetengahkan bakat, kreativiti dan idea masing-masing.

Program yang berlangsung selama dua hari bermula 17 hingga 18 Oktober 2026 di Kompleks Sukan Universiti, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Paya Besar itu merupakan acara tahunan yang dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMPSA.

Sebanyak 142 reruai dihimpunkan terdiri daripada  bidang keusahawanan, kebudayaan, daya usaha inovasi, kesukanan, kesukarelawanan, khidmat dan komuniti, pengucapan awam, residensi, kepimpinan serta badan beruniform.

Selain itu, pengisian program turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk membina jaringan, mengasah kemahiran insaniah dan meneroka peluang keusahawanan melalui penyertaan dalam pelbagai aktiviti yang disediakan.

Program dirasmikan Timbalan Naib Canselor, (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed.

Turut hadir Penolong Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa (Pengantarabangsaan dan Kerjasama Akademik), Profesor Datin Ts. Dr. Mimi. Sakinah Abdul Munaim, Penolong Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (Pembangunan Pelajar), Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Razali Daud, Pengarah Kanan (Perkhidmatan dan Pembangunan Fasiliti), JHEPA, Ts. Dr. Mohd Azri Alias, Pengarah, Pusat Pembangunan Usahawan Kreatif (PUPUK), Dr. Nurul Asyikin Abd Aziz, Pengarah Akademi A.D.A.B., Chm. Dr. Siti Umairah Mokhtar dan Komandar Kor SISPAA UMPSA, YH. Tpj. Kehormat (PA) Prof. Dato' Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli.

Menurut Profesor Mohd Rusllim, Hari Terbuka Mahasiswa memberi peluang kepada mahasiswa untuk berinteraksi, berkongsi idea, mengurus aktiviti serta mendapatkan pengalaman di luar bilik kuliah.

“Saya turut melihat penglibatan pelbagai Badan Teras Pelajar dan Badan Beuniform.

“Setiap organisasi membawa peranan dan kekuatan yang tersendiri. 

“Ada yang mengetengahkan kepimpinan, kesukarelawan, keusahawanan, inovasi, pengucapan awam, kebudayaan dan kesenian serta kesukanan,” ujarnya. 

Tambah beliau lagi, kepelbagaian ini menjadikan Hari Terbuka Mahasiswa sebuah platform yang dapat memperlihatkan pelbagai bakat dan kebolehan mahasiswa di samping membentuk mahasiswa yang bukan sahaja berilmu tetapi juga mempunyai karakter, nilai dan pengalaman. 

“Kejayaan tidak semestinya diukur melalui kemenangan semata-mata.

“Jadikan setiap aktiviti sebagai peluang untuk belajar, setiap pengalaman sebagai bekalan dan setiap maklum balas sebagai ruang untuk memperbaiki diri," katanya. 

Sementara itu, menurut pengarah program yang merupakan pelajar Tahun 2, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Nur Irdina Izzati Zakaria, Hari Terbuka Mahasiswa UMPSA 2026 bertujuan menyemarakkan kehidupan kampus dan memupuk semangat kepimpinan serta kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa. 

“Program ini berfungsi sebagai platform sehenti bagi pendaftaran pelbagai kelab, persatuan akademik, badan beruniform, dan kelab rekreasi, di samping memberi pendedahan awal kepada pelajar baharu mengenai peluang pembangunan diri di universiti. 

“Antara pengisian menarik sepanjang program termasuklah reruai pameran organisasi pelajar dan agensi luar, persembahan kebudayaan, pertunjukan bakat, serta jualan keusahawanan mahasiswa. 

“Secara keseluruhannya, Hari Terbuka Mahasiswa bukan sahaja menggalakkan penglibatan aktif mahasiswa untuk mengumpul mata merit kolej kediaman, malah mengeratkan hubungan silaturahim antara warga kampus dan komuniti sekitar," katanya. 

Turut berlangsung UMPSA Innovatech Challenge 2026 yang bertujuan mengalakkan pembangunan produk dan perkhidmatan berasaskan teknologi yang inovatif, berdaya saing serta berpotensi untuk dikomersialkan.

Sebanyak 28 penyertaan daripada syarikat pelajar yang mewakili lapan fakulti dan sebuah pusat di UMPSA telah menyertai program tersebut.

Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri