Skip to main content

JKR serah projek Dewan Konvokesyen UMPSA

PEKAN, 2 Oktober 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kini mempunyai Dewan Konvokesyen baharu yang bakal menjadi pentas utama dalam meraikan kejayaan graduan, kecemerlangan akademik serta pelbagai detik bersejarah universiti.

Dewan Konvokesyen UMPSA yang dibangunkan di Kampus Pekan telah diserahkan secara rasmi oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada UMPSA dalam satu majlis yang berlangsung hari ini, sekali gus menandakan selesainya projek pembangunan yang mengambil masa 41 bulan.

JKR serah projek Dewan Konvokesyen UMPSA

Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, kewujudan dewan berkenaan mempunyai nilai yang besar kepada universiti kerana ia bukan sekadar menjadi ruang untuk penganjuran majlis rasmi dan program berskala besar, malah bakal menjadi sebahagian daripada sejarah dan identiti UMPSA.

“Di sinilah nanti para graduan akan diraikan setelah melalui perjalanan panjang menuntut ilmu. 

“Di sinilah ibu bapa dan ahli keluarga akan menyaksikan anak-anak mereka melangkah ke pentas untuk menerima ijazah sebagai simbol kejayaan, pengorbanan dan harapan.

“Di sinilah universiti akan meraikan kecemerlangan akademik, kejayaan penyelidikan, pencapaian mahasiswa serta pelbagai detik penting yang akan menjadi sebahagian daripada sejarah UMPSA,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Siap Dewan Konvokesyen UMPSA daripada JKR kepada UMPSA di UMPSA Pekan, hari ini.

Ujarnya lagi, menariknya, reka bentuk dewan berkenaan diinspirasikan daripada bentuk Wau Pungguk serta orbit pada logo UMPSA yang melambangkan pengetahuan progresif dan visi global universiti. 

“Dewan ini turut dilengkapi  keperluan infrastruktur universiti dalam menyokong penganjuran majlis konvokesyen, istiadat rasmi, program akademik serta pelbagai acara berskala besar,” katanya. 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), JKR Malaysia, JKR Negeri Pahang serta semua agensi, perunding, kontraktor dan warga UMPSA yang terlibat dalam menjayakan pembangunan projek berkenaan.

Sementera itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Pahang, Dato’ Ir. Ts. Hafizah Zakaria berkata, penyerahan projek berkenaan menjadi satu lagi lembaran kejayaan kolaborasi strategik antara agensi teknikal kerajaan dengan institusi pendidikan tinggi dalam memperkukuh prasarana pendidikan negara.

JKR serah projek Dewan Konvokesyen UMPSA

“Struktur ikonik dua tingkat dengan reka bentuk Dewan Utama bertaraf triple volume ini dibina di atas tapak bersebelahan bangunan Canseleri Tun Abdul Razak dengan kos RM63 juta.

“Pembinaan dewan konvokesyen ini direka khusus dengan mengambil kira unjuran peningkatan jumlah graduan pada masa akan datang,” katanya.

Menurutnya, penyerahan projek tersebut dijangka memberi impak besar dari aspek pengurusan serta membawa transformasi kepada UMPSA dalam menyediakan kemudahan yang lebih komprehensif bagi menyokong keperluan universiti.

“Penyerahan projek ini dijangka memberi impak besar dari aspek pengurusan serta membawa transformasi kepada UMPSA dalam menyediakan kemudahan yang lebih komprehensif bagi menyokong keperluan universiti.

“Dalam mendepani cabaran pembinaan dan pelarasan teknikal, pengurusan projek berkenaan sentiasa dipandu oleh visi Ketua Pengarah Kerja Raya (KPKR) Malaysia yang berpaksikan prinsip ‘Delivery Is Our Priority’.

“JKR Pahang turut berharap agar Dewan Konvokesyen UMPSA akan terus menjadi wadah ilmu yang menyumbang kepada pembangunan modal insan serta melahirkan ribuan teknokrat berwibawa pada masa hadapan,” ujarnya.

Sebagai simbolik penyerahan rasmi projek, majlis turut menyaksikan Sijil Akuan Penyerahan Kerja Siap ditandatangani dan diserahkan oleh Pengarah JKR Negeri Pahang, Dato’ Ir. Ts. Hafizah Zakaria kepada Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, sekali gus menandakan bermulanya pengoperasian Dewan Konvokesyen sebagai mercu tanda baharu universiti.

Dalam majlis sama, pihak kontraktor, Kamal Engineering turut menyerahkan replika kunci Dewan Konvokesyen kepada JKR selaku Pegawai Penguasa sebelum diserahkan kepada UMPSA sebagai pelanggan, sekali gus gus menandakan bermulanya pengoperasian bangunan berkenaan sebagai kemudahan baharu universiti.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pengarah Cawangan Kerja Pendidikan, Ibu Pejabat JKR Malaysia, Dato’ Ir. Nadzri Abdul Majid; Pengurus Besar Kanan Pembinaan JKR Pahang, Ir. Ts. Adnan Ladin serta Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Kamal Yusof.

Oleh: Siti Nur Farmy Ibrahim dan Safriza Baharuddin, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim