Kelab Tarian Kencana Pawana UMPSA terus melangkah cemerlang di AEROBIPT 2026
TANJUNG MALIM, 17 Mei 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkasa pembangunan mahasiswa holistik menerusi penglibatan Kelab Tarian Kencana Pawana dalam AEROBIPT 2026 anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.
AEROBIPT 2026 merupakan pertandingan aerodance peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) yang menekankan elemen kecergasan fizikal, kreativiti koreografi dan persembahan berpasukan berasaskan muzik dan gerakan berirama.
Konsep pertandingan ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek kesukanan, malah turut menggabungkan elemen kesenian dan budaya persembahan sebagai medium ekspresi bakat ahasiswa.
Pusat Kebudayaan UMPSA bertanggungjawab menguruskan penyertaan delegasi mahasiswa yang diwakili oleh seramai lapan orang ahli Kelab Tarian Kencana Pawana daripada pelbagai program dan fakulti.
Kesemua pelajar telah menunjukkan komitmen dan semangat yang tinggi dalam membuat persiapan rapi bagi menghadapi persembahan tarian aerodance tersebut.

Malah, mereka turut menjalani latihan intensif selama kira-kira dua minggu bagi menguasai koreografi yang telah ditetapkan sekali gus membuktikan disiplin dan kesungguhan pelajar demi menampilkan persembahan yang terbaik di pentas pertandingan.
Menurut Penasihat Kelab Tarian Kencana Pawana, Shahrul Nizam Othman, penglibatan mahasiswa dalam pertandingan tersebut bukan sahaja memberi ruang kepada mereka untuk menyerlahkan kreativiti, malah turut memperkukuh nilai disiplin, kerjasama berpasukan dan keyakinan diri dalam kalangan pelajar.
“Platform seperti ini memberikan kesan positif kepada pembentukan pelajar yang lebih cekap dalam penglibatan seni dan budaya serta berdaya saing di peringkat profesional sekiranya diberi peluang.
“Penyertaan ini turut memberi impak positif kepada universiti dengan memperkukuh imej UMPSA sebagai institusi yang aktif dalam pembangunan bakat mahasiswa.
“Malah, Pusat Kebudayaan UMPSA juga sentiasa komited dalam menyediakan ruang dan peluang kepada mahasiswa untuk mengembangkan potensi mereka dalam aktiviti kesenian dan kebudayaan,” ujarnya.
Delegasi UMPSA berjaya menamatkan saingan di kedudukan tempat keempat daripada enam pasukan yang bertanding dalam Pertandingan AEROBIPT 2026, sekali gus menunjukkan komitmen dan usaha berterusan sepanjang pertandingan berlangsung.
Secara keseluruhannya, penyertaan UMPSA dalam AEROBIPT 2026 ini mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkasa pembangunan bakat mahasiswa melalui penglibatan aktif dalam bidang kesenian dan kecergasan.
Disediakan Oleh: Adibah Shaharom, Pusat Kebudayaan
- 80 views
Reports by: